HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mac 2012

Peminjam PTPTN disenarai hitam banyak sekatan

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenaraihitamkan bukan sahaja tidak dibenarkan keluar negara bahkan mereka tidak boleh membuat sebarang pinjaman dengan mana-mana bank.

Seorang peguam, Abdul Malik Abdul Hakim (gambar) berkata, peminjam tidak boleh membuat pinjaman peribadi, kad kredit, rumah atau kenderaan sekiranya disenaraihitamkan.

"Tiga bulan tidak bayar hutang PTPTN, tiga bulan hutang tertunggak yang dianggarkan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sudah di'blacklist' terus," katanya ketika mengunjungi Harakahdaily.

Malah beliau menyifatkan PTPTN lebih 'teruk' berbanding bank-bank yang ada di negara ini.

Malik berkata, PTPTN tidak dilesenkan sebagai sebuah institusi kewangan di bawah peruntukan Akta Perbankan dan Institusi Kewangan, apatah lagi tidak dikawal selia atau di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia.

"Kalau kita disenaraihitamkan oleh bank kerana tidak membayar hutang baik rumah, atau kereta paling tidak mereka dakwa kita di mahkamah mengikut prosedur, dan kita masih boleh ke mana-mana hatta ke luar negara sekali pun," katanya.

Beliau yang mewakili Mandeep Singh, pelajar Unisel yang pertama menyaman PTPTN berkata, anak guamnya ditahan di LCCT pada 6 Julai tahun lalu meskipun telah menjelaskan jumlah hutang sebagaimana yang ditetapkan PTPTN sebelum itu.

Ekoran kejadian tersebut, perjalanan Mandeep ke China terpaksa ditangguhkan.

8 Jun 2011, Mandeep telah menjelaskan tunggakan sebanyak RM2,330.82 dan PTPTN telah mengesahkan pembayaran tunggakan itu, tetapi 6 Julai 2011 pelajar terbabit ditahan di LCCT oleh pegawai Imigresen kerana disenaraihitamkan dalam sistem komputer Jabatan Imigresen Malaysia.

"Di sini pihak PTPTN tidak mengeluarkan nama anak guam saya di dalam senarai hitam walaupun hutang tunggakan sudah dilangsaikan.

"Dan bagi anak guam saya, yang paling penting adalah soal keadilan kepada peminjam sepertinya yang baru merasai kehidupan selepas tamat pengajian," katanya.

Tambahnya, kira-kira 1.8 juta peminjam PTPTN dan mereka ini antara golongan muda yang berumur 20 hingga 35 tahun, akan merasai keperitan membayar balik hutang mereka.

Beliau juga mendapat maklumat sekurang-kurangnya purata sehari seramai 60 peminjam PTPTN ditahan Imigresen di lapangan terbang antarabangsa ketika mahu keluar negara.

Beliau mengingatkan mahasiswa supaya meneliti kandungan perjanjian dengan PTPTN atau serius mendapatkan nasihat peguam, sebelum perjanjian itu ditandatangani.

Sebelum wujudnya PTPTN, katanya, seseorang anak muda hanya mempunyai tiga sumber kewangan untuk membiayai pengajian ijazahnya, iaitu biasiswa sama ada dari kerajaan atau badan bebas yang lain, pinjaman daripada institusi kewangan seperti bank atau lazimnya ditanggung ibu bapa.

"Anak muda pada usia sebaik sahaja berjaya memasuki pusat pengajian tinggi mereka tidak mempunyai banyak pilihan pada ketika itu, kecuali untuk menerima pinjaman PTPTN, ditambah hanya tabung itu sahaja memberikan tawaran," katanya.

Tiada ulasan: