Oleh : PERISIK LIAWAN
BEBERAPA Projek Jalan Perhubungan Desa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) di Liawan, Keningau dianggap sebagai projek membazirkan dana awam dan membantu kroni mendapat keuntungan mudah.
Agak menghairankan kerana banyak Jalan Perhubungan Desa ini dibina untuk kepentingan orang tertentu tetapi terlepas pandangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara.
Sebagai contoh, jalan masuk ke rumah mantan Pengerusi JKKK di Kampung Tanah Merah yang baru diturap (aspal). Persoalannya, adakah projek ini menggunakan kewangan sendiri ataupun berlaku pecah amanah dan salah guna kuasa dalam pelaksanaan projek tersebut; apatah lagi dilihat dilaksanakan oleh kroni pemimpin tertentu.
Anehnya, jalan berbatu kelikir sejauh 300 meter menuju jalan utama kampung tersebut tidak dinaiktaraf; sebaliknya jalan menuju ke kebun-kebun di Kampung Bangau telah diturap sekalipun kebun tersebut tidak berpenghuni.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, banyak jalan masuk ke rumah penduduk tidak diturap kerana kontraktor melakukan kerja terpilih dan hanya menurap jalan menuju ke rumah persendirian sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk.
TANAH MERAH.....Kawasan ramai penghuni dan tetapi jalan tidak diturap.
TURAP.....Jalan berturap menuju ke sebuah rumah.
JANJI....Jalan kampung Pamalan yang pernah dijanjikan untuk diaspal tetapi jalan ke kebun Kg Bangau lebih penting dari kampung yang berpenghuni.
PINTU.....Rumah Mantan Pengerusi JKKK Kg Tanah Merah diaspal sehingga ke depan pintu rumah.
Dalam pada itu, Penyelaras PKR Liawan, Risham Mail berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) perlu masuk campur untuk menyiasat mengapa hanya orang tertentu yang menikmati projek penurapan jalan sehingga ke tangga rumah; sedangkan penduduk lain masih menggunakan jalan becak dan berdebu.
“Ada halaman rumah turut diaspal sehingga ke tangga. Adakah itu termasuk dalam skop kerja? Jika ya, mengapa hanya melibatkan orang tertentu?” tanya Risham yang kesal kerana pemantauan terlalu longgar dan mutu kerja ala kadar.
Tegas Risham, memang ada yang tidak kena dengan projek tersebut kerana tidak memberi manfaat kepada penduduk Kampung Tampulan dan Kg Tanah Merah kerana selain meninggalkan sejauh 350 meter jalan tidak berturap; malah turut membazirkan premix untuk menurap jalan masuk ke kawasan perkebunan.
“Lebih ramai yang menggunakan jalan besar dari kampung Tampulan tapi malangnya walaupun hanya sejauh 350 meter, jalan ini terus diabaikan,” kata Risham yang mendesak agar Menteri KKLW memberikan jawapan telus kepada penduduk kampung yang teraniaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan