HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mac 2012

Pelajar Afrika paling ramai salah guna pas

Bagi kes pelajar yang didakwa dan disabitkan kesalahan dan telah tamat menjalani hukuman, mereka akan diusir dan disenaraihitamkan, kata Datuk Wira Abu Seman Yusop.


Sekitar Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR: Pelajar asing daripada Afrika dikenal pasti paling ramai menyalahgunakan pas pelajar, Kementerian Dalam Negeri (KDN)
memberitahu Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata mengikut statistik Jabatan Imigresen pada tahun 2009, 50 pelajar asing ditangkap atas kesalahan menyalahgunakan pas pelajar, 24 daripadanya daripada Afrika yang terdiri daripada 11 pelajar Algeria, Nigeria (2), Bosnia (2), Libya (2), Lesotho (1) dan Afrika Selatan (1).

Pada tahun 2010, seramai 23 orang ditangkap menyalahgunakan pas, empat daripadanya warga Nigeria, seorang Sudan, Yaman (1), dan Zimbabwe (1).

Manakala pada tahun 2011 jumlah itu menurun kepada sembilan tangkapan, namun tiada warganegara Nigeria dan hanya seorang daripada Yaman.

Datuk Wira berkata, mereka dihukum mengikut jenis kesalahan yang dilakukan, pada yang tinggal melebihi tempoh mereka akan didakwa atau dikompaun, sementara bagi yang melanggar syarat pas mereka akan dikompaun dan pas pelajar dibatalkan, seterusnya diusir dan disenaraihitamkan.

“Bagi kes pelajar yang didakwa dan disabitkan kesalahan dan telah tamat menjalani hukuman, mereka akan diusir dan disenaraihitamkan,”
katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen BN-Kuala Kurau Datuk Ismail Mohamed Said.

Kes jenayah tinggi

Beliau berkata, KDN kini turut mengetatkan proses pengeluaran pas pelajar terhadap warga Afrika dan negara yang berisiko tinggi
menyumbang salah laku jenayah di Malaysia dengan mewajibkan mereka mengemukakan sijil tiada bantahan daripada negara asal, selain melarang berada di Malaysia sebelum permohonan pas mereka diluluskan.

Ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen DAP-Kepong Dr Tan Seng Giaw mengenai peratusan pelajar asing yang dibenarkan, Abu Seman berkata jumlah itu diputuskan berdasarkan bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), namun tidak dapat memberikan memberikan jumlah yang tepat jumlah pelajar yang melakukan kesalahan dan masih belum ditangkap.

Diperingkat awal, Abu Seman berkata pelajar asing boleh menggunakan pas sosial untuk melawat negara dan melihat institusi pendidikan untuk dapatkan tempat, namun pihaknya tetap mengawal selia melalui pengambilan data biometrik untuk kemasukan warga asing, melaksanakan naziran berkala, penubuhan badan pemantau untuk selesaikan masalah antara institusi pendidikan dan pelajar secara bersama selain mengetatkan garis panduan pengambilan dan pengurusan pelajar.

“Sebelum Jabatan Imigresen meluluskan pas pelajar antarabangsa, KDN pelu memastikan mereka bukan imigran larangan tapi tulen dan tak menyalahgunakan pas pelajar, perlu melalui tapisan dan perlu mendapat sokongan agensi kawal selia yang berkaitan termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pelajaran Malaysia, serta Kementerian Sumber Manusia.

KPT pada Februari lalu mumutuskan untuk menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing ke negara ini bagi membendung penyalahgunaan pas berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian itu hanya akan mengeluarkan visa pelajar kepada penuntut asing selepas mereka menerima tawaran daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kelolaan kementerian.

Beliau berkata perkara itu telah pun dibincangkan dengan Jabatan Imigresen memandangkan mereka yang dikesan terbabit dengan kegiatan jenayah dan penyeludupan dadah kebanyakannya pelajar yang mengikuti program sementara dan pengajian bahasa di IPT yang bukan di bawah kelolaan KPT.

Tiada ulasan: