HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Mac 2012

Bagaimana masyarakat Islam mencabar kekuatan arus dunia yang melanda nanti...

Nik Abdul Aziz Nik Hassan


Kembali kepada tajuk pokok apa yang dipolimik oleh Ustaz Uthman terhadap tulisan Anwar iaitu tentang Pluralisma agama saya ingin mengajukan beberapa pandangan di bawah ini. Umumnya mendefinasikan Pluralisma agama membawa erti kepada wujudnya pelbagai penganut agama dalam sebuah masyarakat dan negara. Taraf dan status kedudukan agama dalam masyarakat Pluralisma agama itu sama. Adalah menjadi satu kesalahan bagi umat Islam yang berimankan kepada Al-Quran menerima dan akur dalam jiwanya bahawa kehidupan masyarakat Pluralisma agama sebagai satu matlamat. Kalaulah dirujuk kepada risalah MUQADDIMAH TAKWIL AL-QURANUL HAKIM, Rasulullah S.A.W. diutuskan untuk membawa dua perkara kepada masyarakat dunia,

i) Membawa hidayah Al-Quran kepada kesemua manusia di dunia ini.
ii) Menubuh dan membina Din nul Haq (keadilan sejati) dalam konteks masyarakat dan negara.

Penyebaran hidayah Al-Quran hendaklah disampaikan kepada kesemua anggota masyarakat secara berhikmah dan lemah lembut berasaskan kepada prinsip fitrah (human nature). Manakala penubuhan dan pembinaan Din nul Haq yang membawa erti kepada konsep hidup bersama dalam berbagai agama dalam suatu masyarakat dan negara dengan bertujuan untuk membawa keadilan sejati dalam masyarakat. Di bawah pemerintahan Din nul Haq pihak pemerintah boleh melakukan kekerasan jika perlu demi mempertahankan keutuhan Din nul Haq bagi menegakkan keadilan kepada kesemua anggota masyarakat berasaskan kepada konsep kemanusiaan yang satu. Di bawah Din nul Haq juga tiap-tiap penganut agama bebas menjalankan upacara agama dengan syarat mereka kesemuanya mesti setia kepada konsep Din nul Haq yang menjamin keselamatan, keadilan, kebahagiaan dan kebajikan kepada kesemua anggota masyarakatnya. Prinsip hidup bersama ini dibina di atas dasar hormat menghormati walaupun dalam beberapa hal berbeza dari segi rupa undang-undang, bentuk ibadah dan upacara-upacara keagamaan dan budaya. Sudah tentu dalam kehidupan masyarakat yang terdiri daripada berbagai penganut agama ini akan wujud orang-orang mukmin, kafir dan munafik. Justeru kerana realiti masyarakat demikian maka pihak pemerintah yang berada dalam badan Hizbullah (dalam zaman Rasulullah S.A.W. badan ini dipengerusi oleh Rasulullah S.A.W. sendiri dan di anggotai oleh wakil-wakil daripada agama masing-masing), berfungsi untuk merangka undang-undang dan peraturan secara musyawarah dan kemudiannya melaksanakan keputusannya dalam masyarakat. Atas dasar mempertahankan kelangsungan Din nul Haq ini umat Islam dikehendaki berkorban dan berjihad bila perlu. Al-Quran menghendaki setiap anggota masyarakat dan negara Din nul Haq mesti mengenepikan kepentingan diri apabila kepentingan kepentingan itu bertembung dengan kepentingan umum.

Firman Allah S.W.T. dalam surah At-Taubah ayat 111

"Ertinya: Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan memperolehi syurga supaya mereka berjuang di jalan Allah maka mereka membunuh dan terbunuh dengan janji yang benar dalam Taurat dan Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menyempurnakan janji daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jalan yang kamu jual beli dengannya. Itulah kemenangan yang amat besar".

Dan firman Allah S.W.T. dalam surah At-Taubah ayat 24

"Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad) jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan isteri-isteri kamu (atau suami-suami) dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah kediaman yang kamu suka (jika semua itu) menjadi perkara yang kamu sayang lebih daripada (pengajaran Allah dan pengajaran Rasul) dan berjihad di jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan balasanNya, Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik."

Di atas prinsip untuk mempertahankan Din nul Haq ini kata penulis risalah ini, Islam tidak menghendaki umatnya bersikap "Ruhban" ataupun hidup semata-mata secara kesamian. Demi untuk mewujudkan perpaduan hakiki, Al-Quran kata penulis risalah ini lagi menyatukan kesemua falsafah Millah-millah berasaskan kepada Syariat Hanafiyah. Penyatuan ini boleh wujud di atas prinsip-prinsip di bawah ini.

1..Sekata tentang keesaan Allah S.W.T. (tauhid) dan kesucianNya dari segala kekurangan serta bersifat dengan kepujian kesempurnaan.
2.Sekata tentang menjauhi semua jenis dan bentuk syirik dalam amal ibadat, memohon pertolongan, zikir, sembelihan haiwan, nazar, sumpah dan menyucikan dari sifat beranak, beristeri, lupa, lalai, lemah, jahil, bakhil dan zalim.
3.Sekata tentang perlu menyucikan semua nama Allah dari sesuatu yang boleh memahamkan kekurangan atau kecacatan.
4.Sekata tentang tidak harus membicara bagaimana Allah S.W.T. bersifat dengan semua kesempurnaan yang sabit padaNya dan setiap orang mengakui sabit semua mafhum nama-nama itu pada zat Allah S.W.T. sahaja dengan semangat tidak menyerupaiNya sesuatu pun.
5.Sekata tentang mengakui perutusan atas risalah yang dibawa oleh semua Rasul daripada Allah S.W.T. dan mengakui kitab-kitab yang diturunkan melalui mereka dan mengakui adanya malaikat dan perlu menyucikan mereka dari segala kejahatan dan beradab sopan dengan mereka dan mengakui adanya hari Hisab amalan (Yaumil akhir) dan janji-janji yang dikhabarkan Allah kepada manusia tentang negeri Akhirat kelak.
6.Sekata tentang perlunya mengakui segala perkara pengurusan yang pasti dilakukan untuk menjaga kepentingan Millah Hanifiah dan menegaskan asas-asasnya.

Berasaskan kepada perpaduan dan keadilan kehidupan ini, Rasulullah S.A.W. selaku pengerusi badan Hisbullah akan mengetuai suatu gerakan dakwah dalam berbagai bentuk pendekatan demi membawa risalah Al-Quran (hidayah) kepada orang-orang Kristian dan Yahudi di atas asas unsur-unsur yang benar yang masih ada dalam pengajaran kitab-kitab Nabi-nabi mereka.

Memang kalau dilihat pengertian Pluralisma agama dan pengertian Din nul Haq walaupun masih ada unsur-unsur persamaan akan tetapi dari segi jiwa matlamatnya jauh berbeza. Meletakkan pengajaran Al-Quran setaraf dengan pengajaran kitab-kitab Illahi sebelum sangat-sangat tidak tepat. Al-Quran turun ke bumi melalui Rasulullah S.A.W dalam pusingan terakhir demi untuk

1. Mengesahkan kitab-kitab Illahi sebelum
2. Mentashihkan unsur-unsur penyelewengan kitab-kitab tadi justeru kerana korupsi dan manipulasi sejarah
3. Menyempurnakan ajaran-ajaran kitab kitab Ilahi sebelum, demi untuk menjadi formula kepada kehidupan masyarakat manusia hingga akhir zaman.

Dalam pengertian ringkas fungsi Al-Quran ialah untuk "confirm" dan "superseed" kitab-kitab Illahi sebelum. Tulisan Anwar yang dibentangkan di LSE. dalam suasana masyarakat London (yang mana umat Islam tidak dominan, ditambah lagi dengan penyakit psikologi Islamophobia di Eropah), kalaulah dilihat didalam konteks hikmah adalah merupakan sesuatu yang positif. Setidak-tidaknya dalam realiti masyarakat Eropah kini biarlah terlebih dahulu status umat Islam berada di paras yang sama dengan masyarakat lain di Barat terutama orang-orang Kristian. Kewujudan masyarakat Pluralisma agama di Barat kalaulah dilihat secara positif boleh menjadi platform bagi umat Islam untuk mengenengahkan ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah secara ilmiah sebagai yang paling agung dengan lebih efektif demi untuk menyelesaikan masalah kehidupan masyarakat Eropah kini. Justeru kerana itu umat Islam termasuk di Malaysia hendaklah bersifat terbuka dan bersedia untuk "accomadate" segala perkembangan ilmu dan kemudian bersifat kritikal secara berhemah dan berhikmah kepada fenomena-fenomena kini yang terang-terang dan yang tersirat bercanggah dengan jiwa Al-Quran dan Al-Sunnah.

Umat Islam mestilah ingat mulai peristiwa konflik dan peperangan puak puak saidina Ali dan puak puak Muawiyyah elemen elemen negatif dalam pengajaran Islam mulai wujud. Elemen-elemen ini bertambah tambah lagi masuk dalam minda dan "world view" ummah selepas kejatuhan kota Baghdad (1258 AD) dan seterusnya kejatuhan Andalusia (Spain 1492AD). Keadaan demikian wujud apabila "world view" ummah telah berjaya dicemari oleh korupsi dan manipulasi golongan hegemoni yang terdiri dari pada kalangan pihak pihak berkuasa Umat Islam itu sendiri. Seterusnya penularan pengaruh luar yang negatif khususnya daripada kuasa kuasa hegemoni barat menambahkan lagi porak peranda minda ummah sehingga kemudiannya wujud kelesuan minda yang juga boleh diistilahkan sebagai "the captive mind" atau orang orang yang terjajah pemikirannya. Kewujudan pusat-pusat pengajian Islam di seluruh dunia banyak berdiri di atas paradigma yang haru biru demikian. Justeru kerana itu adalah menjadi tanggung jawab pemerintah pemerintah dunia Islam dan ummah untuk mengislahkan pengajaran Islam supaya kemurnian ajarannya dalam zaman keagungan silam dapat dikembalikan demi kebaikan dan kesejahteraan dunia.

Dalam realiti hidup kini amalan untuk hidup bersendiri dan secara eksklusif daripada etnik-etnik yang berbeza dan penganut-penganut agama lain walaupun dalam soal-soal keagamaan adalah tidak praktikal dan berhikmah. Mahu tidak mahu dalam kehidupan bersama ini banyak pegangan dan nilai nilai hidup seseorang anggota masyarakat itu akan menyentuh nilai hidup etnik etnik dan penganut penganut agama yang berbeza. Berpandukan kepada "nature" pengajaran Al Quran yang menganjurkan suatu formula hidup bersama kepada masyarakat dunia dan selaku pengajaran Ilahi yang "superseed" kesemua ajaran kitab kitab sebelum saya tidak nampak kenapa persoalan "interfaith" dan forum antara agama agama di Malaysia tidak digalakkan diadakan di negara kita. Memang tidak dapat dinafikan persoalan bagaimana forum itu hendak diadakan perlu dibincangkan terlebih dahulu demi menjaga akidah Islamiah dan sensitiviti penganut agama masing-masing. Akan tetapi forum yang bersifat demikian sepatutnya menjadi salah satu keutamaan demi untuk membolehkan umat Islam yang berilmu menyampaikan mesej dakwah Al Quran dan Al Sunnah kepada pnganut penganut agama lain. Secara tidak langsung forum demikian juga sekiranya dikendalikan secara jujur dan positif boleh membina ke arah negara bangsa Malaysia.

Dalam kontak demikian umat Islam hendaklah berilmu bersikap terbuka dan bersedia menangani segala perubahan dunia dalam semua lapangan. Yang membimbangkan kita ialah di bawah arus globalisasi yang semakin kuat melanda kini dengan hakikat "steering" kenderaan dunia dipandu oleh puak puak hegemoni rakus dengan sokongan teknologi dan media massa yang canggih, umat Islam tanpa penghayatan Ilmu Al Quran dan Al Sunnah yang tulin akan ditelan dan tertelan secara langsung dan tidak langsung oleh nilai-nilai global yang negatif yang datang di celah-celah pemikiran dan perkembangan politik, ekonomi, pendidikan dan sosial yang canggih. Tanpa penghayatan jiwa Al Quran dan Al Sunnah sudah tentu masyarakat Islam tidak mampu dan berkeupayaan untuk mencabar kekuatan arus dunia yang melanda nanti. Oleh yang demikian seruan ulamak ulamak Islah supaya kita kembali kepada Al Quran dan Al Sunnah melalui metodologi-metodologi ulama besar terutama ulamak ulamak mutakhadimin sebelum, hendaklah kita renung renungkan bersama secara jujur. (Bahagian kedua, tamat)

Bahagian pertama: Pluralisme agama dalam masyarakat majmuk

*Analisa balas Komentar Ustaz Muhammad Uthman El Muhammady ke atas Kertas Kerja Anwar Ibrahim yang dibentangkan di London School of Economics pada 18 Mac 2010 yang bertajuk "Religion and Pluralisme in a Divided World".

**Nik Abdul Aziz Hj. Nik Hassan adalah bekas pensyarah Jabatan Sejarah dan Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan UKM.

<(Analisa ini penulis kendalikan berasaskan kepada sebuah risalah yang tidak dicetak berjudul MUQADDIMAH TAKWIL AL-QURANUL HAKIM. Karangan Haji Nik Mohd Salleh Musa (1920 – 1972). Risalah ini diedarkan kepada sebahagian besar murid-murid pengarang itu dan kepada orang-orang tertentu di Negeri Kelantan dalam penghujung tahun 1960-an. Haji Nik Mohd Salleh ialah anak kepada bekas Mufti Negeri Kelantan, Haji Wan Musa bin Haji Abdul Samad. Beliau mendapat pendidikan agama di pondok ayahandanya di Kota Bharu, Kelantan, di Mekah dan di India. Antara guru yang paling beliau minat belajar ialah Maulana Ubaidillah Al Sindhi (seorang ulama yang otoritas dalam Tariq Shah Waliullah Al Dihlawi>.

Tiada ulasan: