KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz gagal menjawab soalan apabila diminta menjelaskan pengakuan SPR yang diarahkan Kabinet untuk membatalkan dakwat kekal pada pilihanraya umum 2008.
Sebelum itu dalam perbahasan, Nazri yang juga Ahli Parlimen Padag Rengas begitu lantang dan yakin mempertahankan bahawa SPR adalah badan bebas daripada cengkaman eksekutif dan perundangan (legislatif).
“Apabila menyebut tentang kebebasan SPR, ia bermaksud bebas dari eksekutif ia juga bebas daripada legislatif.
“Kita boleh memberi pandangan tetapi akhirnya SPR kena ambil keputusannya sendiri… Ada cadangan yang kita cadangkan mungkin agak sukar dilaksanakan, jadi kita perlu beri kebebasan untuk mereka buat keputusan,” kata Nazri.
Tidak berpuas hati dengan jawapan Nazri, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua bangun mencelah dan meminta penjelasan Nazri berhubung pengakuan Pengerusi SPR beberapa tahun lalu.
“Saya menghormati pendirian kerajaan bahawa SPR perlu bebas daripada cengkaman eksekutif dan legislatif.
“Tetapi saya inginkan penjelasan, Pengerusi SPR pernah mendedahkan pada pilihanraya lepas, beliau dan SPR sudah bersedia untuk menggunakan dakwat kekal tetapi diarah kabinet supaya dakwat kekal tidak diteruskan.
“Saya ingin penjelasan sekali lagi sama ada Pengerusi SPR tidak berkata benar? Kalau tidak, bolehkah berikan penjelasan seperti kerajaan dakwa menghormati kebebasan SPR?” soalnya di Dewan Rakyat.
Nazri yang menyedari terperangkap dengan soalan itu terdiam seketika sebelum menjawabnya dalam keadaan tergagap beberapa saat kemudiaan.
“(Terdiam seketika) Tuan yang dipertua… dia.. dia.. Tuan Yang Dipertua.. dia.. kita ni.. di negara kita ni..banyak… (terdiam seketika).
“Tuan Yang Dipertua di Malaysia ini kita selalu dikongkong mantan – mantan setiausaha, mantan menteri, mantan pengerusi, mantan Umno..
“Selalunya begitulah mantan ini akan bercakap setelah dia tidak lagi memegang apa-apa jawatan dan dia memang bebas untuk bercakap,” kata Nazri sambil mengelak menjawab soalan itu kerana mendakwa telah menjawab soalan itu beberapa tahun lalu.
Mei 2008, SPR mendedahkan kabinet memutuskan pada hari pembubaran Parlimen untuk menolak pelaksanaan dakwat kekal di jari pengundi dalam pilihanraya umum 8 Mac.
Pengerusinya pada masa itu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, SPR sudah bersedia memperkenalkan langkah tersebut demi menolak keraguan orang ramai tentang pengundian berganda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan