HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mac 2012

Batal PTPTN, tepat pada masanya – Gamis

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Ketegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika Pakatan Rakyat diberi mandat sebagai kerajaan persekutuan baru disifatkan sebagai tepat pada masanya, kata Akram Ikrami Taib Azamudden.

Akram yang juga Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) berkata, cadangan itu sangat relevan dengan situasi yang dihadapi mahasiswa ketika ini.

“Mahasiswa bukan sahaja terbeban untuk membayar pinjaman, malah kami juga didesak segera menjelaskan hutang sebaik tamat belajar walaupun belum mendapat pekerjaan.

“Oleh itu, penegasan Anwar untuk membatalkan PTPTN jika Pakatan Rakyat menawan Putrajaya bukan sahaja wajar malah sangat patut disokong,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Inspirasi baru-baru ini.

Akram berkata, adalah tidak masuk akal mahasiswa dibebani hutang dalam keadaan Malaysia memperolehi pendapatan yang tinggi.

“Malaysia negara kaya tetapi malanganya ia hanya berlegar dalam kalangan kroni dan keluarga parti pemerintah dan kita yakin jika amalan ini dibasmi, Pakatan Rakyat yang memerintah kelak mampu menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat,” tegasnya.

Anwar semasa berucap di Port Dickson 22 Mac lalu yakin Pakatan Rakyat akan membatalkan PTPTN dalam tempoh tiga tahun.

PTPTN mula diperkenal pada 1998, tahun yang sama Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan dari 1991-1998, pendapatan Petronas hanyalah RM30 bilion, namun mahasiswa dan pelajar mendapat dermasiswa dan biasiswa.

Namun kini, pendapatan Petronas melebihi RM90 bilion, tetapi mahasiswa dibebani hutang PTPTN dan mereka yang gagal membayarnya dihalang daripada meninggalkan negara ini.

Tiada ulasan: