HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mac 2012

Semak semula Akta Mahkamah Syariah

Mohd Azmi Abdul Hamid,

Jawatankuasa Sekretariat Gerakan Sokong Syariah (Gesa) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menuntut supaya Parlimen menyemak semula Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Disemak - 1988). Akta ini yang terpakai hanya bagi semua Negeri di Semenanjung Malaysia membantutkan bidangkuasa Mahkamah Syariah. Malah ia bertaraf jauh lebih rendah dari undang-undang sivil.

Mengikut bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah yang sedia ada, di bawah undang-undang negeri, undang-undang tersebut hanya terpakai ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam.

Akan tetapi ia terikat dengan syarat tidak boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau, denda melebihi lima ribu ringgit atau, sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Bukan sahaja status ini menempatkan Mahkamah Syariah masih berada di tahap lebih rendah dari Mahkamah Sivil, malah akta yang wujud itu sendiri bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah kerana menurut Senarai 11 dalam jadual sembilan Perlembagaan Persekutuan, kuasa agama adalah terletak dalam bidang kuasa negeri. Jadi bagaimana sebuah akta diujudkan yang boleh menjejaskan kuasa negeri.

Jika Malaysia hendak memajukan status syariah di negara ini maka ia tidak boleh membiarkan undang-undang syariah terikat dan statik seperti yang berlaku sekarang.

Sesungguhnya perkembangan zaman dan keadaan semasa menuntut supaya Akta yang menghadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah diubah.

Secara bandingan, soal binatang sahaja terdapat 6 buah akta. Kadar denda di bawah Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) bagi kesalahan mendera haiwan telah diperketatkan.

Ternyata ada inisiatif untuk menaikkan hukuman kepada pendera binatang kepada cadangan denda yang lebih tinggi menunjukkan betapa rendahnya undang-undang syariah di negara ini bila undang-undang syariah hanya boleh mendenda maksima RM5,000 sahaja.

Gesa dan Mapim tidak boleh menerima samasekali kedudukan ini sedangkan Mahkamah Syariah sudah melalui pelbagai penambahbaikan dari segi prasaran dan pengurusan.

Persepsi dan hormat masyarakat terhadap undang-undang syariah ternyata sangat rendah kerana keadaan tersebut. Apatah lagi untuk menjadikan undang-undang syariah dihormati dalam masyarakat, ia jelas tidak akan mampu menjadi undang-undang yang mengekang (deterant) selagi kuasa menghukum oleh Mahkamah Syariah sangat terbatas.

Tidak mengejutkan jika pelbagai jenayah yang serius pada pandangan Islam seperti khalwat, kesalahan zina, bersekedudukan, musahaqah (lesbian), liwat, murtad, perbuatan membuang bayi, hamil luar nikah dan masalah tukar agama merupakan gejala sosial masa kini yang berleluasa.

Undang-undang syariah yang sepatutnya mempunyai keupayaan menyekat jenayah-jenayah tersebut dengan jauh lebih berkesan dari undang-undang sivil ternyata tidak mampu memberi bekas sewajarnya jika statusnya berada dalam keadaan yang sedia ada.

Gesa dan Mapim mendapati pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang terakhir dilakukan pada tahun 1988 iaitu 24 tahun yang lalu. Ini sudah tentu tidak sesuai dengan perkembangan semasa. Malah jika syariah ingin dijadikan sistem yang unggul dan boleh menawarkan penyelesaian yang terbaik kepada kemelut sosio-ekonomi dan politik umat masakini, Gesa menuntut supaya Akta Mahkamah Syariah dimansuhkan.

Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Pengerusi Gesa dan Setiausaha Agung Mapim.

Tiada ulasan: