HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mac 2012

MB Kedah: Tiada jaminan Adun dicalon PRU13

SINAR HARIAN

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak membayangkan kemungkinan ada calon yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) tidak dipilih bertanding pada PRU13.

Beliau berkata, nama calon boleh menang telah disenarai oleh Pas Kedah dan dikemukakan kepada Majlis Syura Pas Pusat untuk tapisan serta penentuan mereka yang paling layak dipilih bertanding.

"Saya tidak boleh jamin mereka yang menang dulu dipilih lagi... mungkin ada muka baru dicalonkan kali ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Katanya, Majlis Syura akan membuat tapisan daripada pelbagai aspek khususnya moral, integriti, kematangan serta keupayaan calon bagi memastikan mereka adalah calon boleh menang, dan Pas Kedah hanya boleh memberi pandangan.

Azizan, yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah, berkata beliau tidak mengetahui spekulasi bahawa Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan bekas Timbalan Presiden parti itu Nasharuddin Mat Isa akan bertanding di Kedah pada PRU kali ini.

"...kita dalam Pas tak ada masalah. Sesiapa saja yang dicalonkan boleh bertanding di mana sahaja," katanya.

Beliau berkata, pembahagian kerusi antara parti dalam Pakatan Rakyat di Kedah diselesaikan mengikut formula PRU 2008, kecuali sedikit masalah membabitkan DAP
dan PKR.

Azizan berkata, Pas akan bertanding di 24 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala DAP, yang diberi satu kerusi pada 2008, meminta tambahan empat kerusi daripada 11 yang diperuntukkan kepada PKR.

"Saya tidak akan campur tangan masalah mereka kerana masalah ini akan diselesaikan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Rakyat," katanya.

Mengenai Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan Pas Pusat bagi memantau pentadbiran kerajaan pimpinannya, beliau berkata, beberapa pertemuan diadakan dan perbincangan hanya menyentuh isu pentadbiran, program pembangunan, halangan serta pencapaian Pas Kedah menunaikan janji dalam manifesto PRU12. - Bernama

Tiada ulasan: