HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Mac 2012

Tolak hapus PTPTN hina kebijaksanaan mahasiswa

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Kumpulan mahasiswa menyifatkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menolak tuntutan menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai menghina keintelektualan mahasiswa dan ahli akademik.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhamad Safwan Anang berkata, walaupun peruntukan pinjaman itu bernilai berbilion ringgit ia masih realistik untuk dimansuhkan.

“Itu bukannya suatu benda yang tidak boleh dibuat… RM6.1 bilion, (berbanding) dengan ketirisan puluhan bilion. Takkan kerajaan tidak boleh selesaikan,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Khaled sebelum itu menyifatkan cadangan Pakatan Rakyat yang mahu menghapuskan pinjaman itu jika berkuasa sebagai tidak relevan, mengurangkan semangat daya saing dan membebankan kerajaan.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sementara itu, Mandeep Singh yang kini menggerakkan “Kelab Mangsa PTPTN” dalam PSM berkata, kerajaan patut membebaskan kira-kira 130,000 peminjam tabung berkenaan daripada disenaraihitamkan.

Ini kerana, tindakan itu menyukarkan peminjam untuk ke luar negara seperti yang dihadapinya pada Julai tahun lalu – sehingga beliau bertindak menyaman PTPTN di mahkamah.

Beliau turut mendesak Pakatan Rakyat berbuat demikian jika memerintah kelak.

KEADILAN dan PAS sebelum ini memberikan komitmen untuk menghapuskan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma hingga ke universiti jika berjaya menawan Putrajaya.

Tiada ulasan: