HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Mac 2012

Pas Terengganu nafi beri Adun parti tanah

Wartawan Sinar Harian

Datuk Seri Ahmad Said

KUALA LUMPUR - Pas Terengganu menafikan dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bahawa parti itu pernah mengagihkan kawasan tanah yang luas kepada wakil rakyatnya sewaktu memerintah negeri itu dari 1999 hingga 2004.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menegaskan, parti itu hanya meluluskan permohonan tanah yang dibuat menggunakan nama syarikat, bukan atas nama wakil rakyat seperti yang didakwa.

Individu yang dimaksudkan ialah Adun Ladang ketika itu, Dr Sulaiman Abdullah.

Beliau yang merupakan ahli lembaga pengarah sebuah syarikat memohon tanah untuk mengusahakan tanaman limau madu di Lembah Sitrus, Durian Mentangau.

"Tidak timbul Pas bagi tanah kepada individu. Beliau (Dr Sulaiman) pohon atas nama syarikat.

"Ketengah luluskan permohonan syarikat lain tapi syarikat beliau ditolak pada hal peringkat jawatankuasa Ketengah dan jawatankuasa pertanian negeri dah luluskan tapi Exco Umno ketika itu tolak.

"Lepas tu bila Pas perintah kita kata tak adil orang lain lulus tapi dia tak lulus sedangkan syarikat beliau berpotensi," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Dipetik Harakahdaily, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, tindakan Pas ternyata berbeza dengan cara Umno memberi tanah kepada wakil rakyatnya sekarang.

"Fakta dan senario berbeza. Dia mohon atas nama syarikat dan sebelum menjadi wakil rakyat untuk majukan pertanian di bawah Ketengah," katanya.

Abdul Wahid bagaimanapun berkata, beliau akan meminta Dr Sulaiman sendiri membuat sidang media bagi menjelaskan dakwaan itu.

"Saya juga akan terus dedahkan nama wakil rakyat Umno yang menerima tanah," katanya.

Tiada ulasan: