HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Mac 2012

SPRM siasat semua kes tapi Pejabat AG tentukan ke mahkamah

Post Pic

ANTARA POS.COM


SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa badan itu menyiasat semua kes rasuah yang dilaporkan bagaimanapun ada di antaranya tidak didakwa di mahkamah oleh pejabat Peguam Negara.

Hal ini kerana menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull, terdapat kes yang dilaporkan tidak mempunyai bukti yang mencukupi.

Beliau berkata demikian memberitahu hadirin di sidang forum anjuran akhbar Sinar Harian, di sini, semalam.

"Masalahnya adalah ramai orang mahu kes yang dilaporkan didakwa di mahkamah, tetapi jika anda menanyakan saya berhubung isu ini, anda bertanyakan orang yang salah," katanya kepada hadirin.

"Kita telah mengesyorkan banyak kes kepada timbalan pendakwaraya. Bagi kami kes-kes berkenaan adalah kes yang mempunyai sebab dan bukti kukuh untuk dibawa ke mahkamah, tetapi bagi timbalan pendakwaraya, ia (kes) tidak mempunyai bukti yang kukuh, jadi apa boleh kami buat?" katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyertai forum wacana bertajuk 'Rasuah politik: Realiti Atau Persepsi', bersama Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan,Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar.

"Jika pegawai-pegawai saya mahu bertindak mengikut naluri hati kami, kami akan tangkap semua (pesalah rasuah), tetapi kami tak boleh kerana dakwaan mesti berasaskan bukti ...bukan sentimen," katanya lagi.

Shukri, juga menekankan bahawa pegawai-pegawainya di SPRM bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas mereka walaupun memiliki kecenderungan politik yang berbeza.

"Saya perlu bersikap telus dalam hal ini. Ibu bapa saya adalah hijau (menyokong Pas), tetapi orang ramai, malah ibu bapa saya sendiri tidak tahu apa 'warna' saya...itu adalah hak saya," katanya.

"Apabila ia membabitkan siasatan, saya adalah seorang profesional, saya buta warna," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: