HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mac 2012

Tekanan Keluarga & Pernah Dihalau Faktor Remaja Lari Dari Rumah - Kajian

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Tekanan keluarga serta pernah dihalau menjadi faktor pendorong bagi golongan remaja bertindak untuk melarikan diri dari rumah, menurut dapatan satu kajian yang dikeluarkan pada Rabu oleh sebuah badan sosial.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Mohd Fadzil berkata berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun 2010 itu, didapati sebanyak 37.2 peratus daripada 379 remaja yang pernah melarikan diri dari rumah menyatakan mereka berbuat demikian kerana pernah dihalau keluar rumah selepas melakukan kesalahan.

"Kajian ini yang dijalankan ke atas remaja berusia 12 hingga 18 tahun masing-masing 42.7 peratus lelaki dan 57.3 peratus perempuan turut mendapati faktor lain berpunca daripada rasa ingin bebas daripada kongkongan, pernah bergaduh dengan anggota keluarga dan rakan selain daripada pengaruh ajakan rakan-rakan," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Katanya daripada jumlah tersebut, remaja berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun mencatatkan peratusan tertinggi bagi kes lari rumah iaitu 67.8 peratus diikuti dengan 14 hingga 15 tahun (27.9 peratus) dan 12-13 tahun (4.3 peratus).

"Kes lari rumah untuk kali pertama yang dilakukan oleh mereka ini adalah ketika mereka berusia 13 hingga 15 tahun dengan mencatatkan sebanyak 65.2 peratus diikuti dengan 10 hingga 12 tahun (20.1 peratus), 16 hingga 18 tahun (12.1 peratus) dan 10 tahun merekodkan sebanyak 2.6 peratus.

Katanya, bagi golongan remaja seperti ini mereka berpotensi bertindak secara berani untuk melarikan diri dari rumah secara berulangan apabila sekali mereka pernah berbuat demikian.

Prof Mohd Fadzil berkata, remaja seharusnya sedar bahawa tindakan lari dari rumah itu sebenarnya secara tidak langsung boleh merisikokan mereka untuk terbabit dalam kegiatan jenayah.

"Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan peningkatan jumlah pembabitan kanak-kanak serta remaja perempuan dalam kegiatan jenayah sehingga 30 peratus pada tahun 2009 berbanding 10 peratus pada tahun 2005 iaitu daripada 300 kes kepada 1,000 kes yang dicatatkan," katanya yang juga tidak menafikan pembabitan wanita dalam kegiatan jenayah hari ini semakin serius dan sekiranya tidak diatasi akan mendatangkan kemudaratan.

Prof Mohd Fadzil berkata, biasanya tempoh golongan remaja ini melarikan diri dari rumah adalah selama satu hingga tiga hari iaitu dengan mencatatkan sebanyak 41.9 peratus, empat hingga tujuh hari (26.3 peratus), lebih daripada 30 hari (17.2 peratus) manakala lapan hingga 28 hari (14.6 peratus).

"Kebanyakan mereka ini sebenarnya lari rumah dan menuju ke rumah rakan mereka, merayau di bandar, pergi ke rumah teman lelaki dan ada juga yang merayau-rayau di pusat membeli-belah.

"Remaja yang lari rumah ini kebanyakannya jadikan rumah rakan-rakan mereka sebagai tempat perlindungan, ada juga yang tinggal di rumah keluarga rakan mereka termasuk rumah teman lelaki dan keluarga teman lelaki selain menjadikan rumah ibu bapa saudara mereka sebagai tempat perlindungan".

Beliau berkata, dalam kajiannya turut mendapati remaja yang datang dari bandar menunjukkan peratusan tertinggi bagi kes lari rumah iaitu sebanyak 61.5 peratus manakala dari luar bandar sebanyak 38.5 peratus dan majoriti daripada mereka masih bersekolah.

Katanya, ironinya kebanyakan mereka yang lari rumah bukan datang dari keluarga yang bercerai sebaliknya 64.4 peratus daripada mereka tinggal bersama ibu bapa kandung dengan status masih berkahwin.

"Hanya 35.6 peratus sahaja remaja yang lari rumah datang dari keluarga yang bercerai-berai manakala 22.2 peratus remaja mempunyai bapa yang berpoligami".

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah) Jeevan S. Ramamurthy berkata tidak dinafikan bahawa remaja yang bertindak untuk melarikan diri dari rumah boleh mendorong mereka untuk terbabit dalam kegiatan jenayah.

"Apabila dia lari rumah, dia kena fikir bagaimana dia nak hidup, makanan dan pakaian serta di mana dan bagaimana dia nak dapatkan rumah untuk berlindung dan sebagainya, jadi dalam keadaan terdesak apatah lagi selepas tiada sebarang pengawasan daripada ibu bapa, tanpa berfikir panjang mereka akan pergi ke pasaraya untuk mencuri pakaian dan begitulah seterusnya.

"Manakala bagi mereka yang lari ikut kekasih pula, akan terjebak dengan jenayah sekiranya kekasihnya itu tadi merupakan seorang peragut dan perlu bersekongkol dengan kekasihnya untuk jalankan kegiatan itu tetapi sekiranya dia enggan untuk membantu kekasihnya, dia bimbang mungkin dia akan hilang tempat bergantung dan ditinggalkan kekasih," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: