HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mac 2012

Sekretariat ditubuh didik peneroka Felda mengenai pelaburan

FREE MALAYSIA TODAY

Ini ekoran permintaan peneroka yang mahu belajar lebih jelas mengenai kelebihan pelaburan dan pasaran saham.


SHAH ALAM: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) Felda bersama Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (Pribumi) menubuhkan Sekretariat Pendidikan Pelaburan Peneroka Generasi Felda (S3PGF) yang akan menjelajah seluruh negara bertujuan menerangkan kepada peneroka tentang selok belok pelaburan saham.

Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Gabungan Peneroka Generasi Wawasan Felda Kebangsaan (Gempak) dan Persatuan Pengamal Undang-undang Generasi Felda Malaysia (PPUGFM) mengambil inisiatif itu ekoran permintaan peneroka yang mahu belajar lebih jelas mengenai kelebihan pelaburan dan pasaran saham.

Timbalan Pengerusi GWGF Datuk Abdullah Abu Bakar memberitahu pemberita bahawa S3PGF akan mula turun padang mulai Khamis ini di Felda Kerteh 6 di Terengganu bagi menerangkan tentang pasaran saham, aspek perundangan yang terlibat serta faedah yang diperoleh.

Beliau berkata sepanjang sesi jelajah itu juga peneroka akan didedahkan tentang peluang untuk menyertai pelaburan pasaran saham yang terdapat di negara ini serta khidmat nasihat dari pakar yang turut sama semasa sesi penerangan berkenaan dijalankan.

“Peneroka yang berminat boleh membuka pelaburan mereka semasa siri jelajah ini diadakan di kawasan mereka,” katanya.

Terdahulu, kesemua NGO terbabit menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) penubuhan S3PGF disaksikan oleh Pengerusi GWGF Tan Sri Rozali Ismail.

Rozali dalam ucapannya berkata penubuhan sekretariat itu adalah satu langkah proaktif bagi menyokong penuh hasrat murni kerajaan berkaitan penyertaan warga peneroka dan generasi Felda dalam pasaran modal khasnya penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

“Kita harap isu seperti prosedur dan penyenaraian serta penglibatan peneroka dapat dijelaskan. Kita jangan jadi kacang lupakan kulit, semua warga Felda perlu hargai dan ingat semua jasa peneroka terdahulu.

“Kerajaan sendiri telah berjanji dan menjamin bahawa kepentingan seluruh warga Felda akan dipelihara,” katanya. Bernama

Tiada ulasan: