HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 April 2012

Fitnah agamawan UMNO

Oleh Fairuz Azhan




Saya merasa terpanggil untuk menulis kerana setiap hari ada-ada sahaja fitnah terhadap DAP dan para pemimpinnya. Meski pun dijelaskan berulang, meski pun saman di mahkamah dimenangi, modal-modal fitnah yang sama diulang-ulang hingga menjadi jelik dan bosan.

Dan lebih memeranjatkan lagi adalah fitnah-fitnah ini didukungi oleh mereka yang kononnya mengangkat diri mereka sebagai agamawan dalam UMNO. Sebagai contoh, Dr Mashitah Ibrahim dalam artikelnya yang disiarkan oleh Sinar Harian bertarikh 30 Mac jelas melakukan beberapa fitnah terhadap DAP yang berniat jahat dan bermotifkan politik.

Antaranya, beliau mendakwa bahawa kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP menghentikan sambutan Maulidur Rasul, menghalau peniaga Melayu, menghina Islam dan menjual tapak masjid. Tak cukup dengan itu, beliau terus memfitnah DAP sebagai menolak kedudukan istimewa orang Melayu.

Fitnah sebagai akidah?

Berpuluh-puluh kali kesemua pekara tersebut telah dijelaskan berulang kali, namun fitnah-fitnah yang sama dimainkan sehingga ia menjadi kebenaran yang menyebarnya. Adakan fitnah menjadi akidah para pemimpin UMNO sekarang ini?

DAP dengan jelas, sejak penubuhannya, telah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Berulang-ulang kali para pemimpin DAP menjelaskan bahawa tujuan DAP ditubuhkan adalah untuk mempertahankan Perlembagaan dan semua yang termaktub di dalamnya termasuk kedudukan istemewa orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu/Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Namun demikian, demi politik, segalanya halal buat UMNO dan agamawan mereka.

Saya fikir bahawa artikel-artikel yang terkandung dalam Roketkini telah menjelaskan pendirian DAP tersebut banyak kali yang terbit dari mulut para pemimpin DAP. Namun demikian, jika seorang agamawan boleh melakukan dan menghalalkan fitnah, apakah contoh yang diberikan pada ahli-ahli UMNO yang lain?

Atau pun sebenarnya manusia seperti Mashitah sudah tidak tahu yang mana hak dan yang mana batil kerana jentera fitnah UMNO telah melakukan terlalu banyak fitnah sehingga mereka tidak tahu yang mana fakta, yang mana auta?

Bagi akhbar nasioanl seperti Sinar Harian, ruang yang adil perlu diberikan kepada DAP dan Pakatan Rakyat untuk menjelaskan kebenaran. Jika tidak, akhbar itu akan menjadi serpihan kepada lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia, yang hanya berbekalkan kebencian kaum dan berasaskan fitnah semata-mata.

Agamawan UMNO dan budaya fitnah

Tapi kita mahu bertanya kepada golongan agamawan UMNO, bagi mereka apakah hukum memfitnah orang lain? Kalau bagi umat biasa, ia adalah antara dosa yang paling besar dalam agama, tapi bagi pemimpin UMNO, mungkin tafsiran mereka berlainan.

Di mana suara agamawan UMNO ketika anak Lim Guan Eng yang tidak berdosa telah difitnah dengan tuduhan yang amat keji oleh para pemimpin dan blogger pecacai UMNO? Di mana agamawan UMNO tatkala wang baitulmal dan zakat diselewengkan oleh pemimpin mereka? Di mana agamawan UMNO tatkala keluarga seorang menteri menyeleweng RM250 juta wang amanah untuk ternak lembu bagi membekalkan daging ekapda rakyat? Mereka hanya diam seribu bahasa.

Saya melihat bahawa budaya fitnah ini hanya mekar di dalam satu kem politik sahaja dan kem tersebut menghalalkannya. Fitnah itu merupakan satu-satunya peluru buat UMNO-BN kerana tiada benda lain untuk dipromosikan kepada rakyat.

Mungkin juga ia adalah satu taktik peralihan untuk mengaburi mata rakyat tentang pelbagai masalah pentadbiran negara yang dicetuskan oleh mereka. Namun apakah Islam menghalalkan fitnah untuk mengekalkan kuasa?

Pemimpin UMNO ajar Melayu martabatkan fitnah?

Di sebalik propaganda yang kononnya mengagungkan agama, para pemimpin UMNO dan juak-juak mereka telah memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang peliwat, kemudian dituduh Ketua Umum PKR itu sebagai penzina. Untuk menutup pembohong, didakwa pula biseksual. Dan tidak menghairankan sekiranya esok lusa beliau akan dituduh triseksual.

Sampai bilakah kerajaan UMNO-BN akan menganggap rakyat Malaysia ini merupakan manusia yang bodoh dan mudah diperbodohkan? Tidakkah mereka sedar bahawa tsunami politik 2008 adalah petanda rakyat sudah meluat dengan politik kotor, keji dan jijik?

Rakyat dengan jelas sudah muak diperlakukan sedemikian dan inginkan keikhlasan dan kejujuran tetapi yang jelasnya bahawa itu tidak mungkin sama sekali dengan kerajaan yang sedia ada yang masih mahu mengawal kebenaran dan sejarah mengikut acuan mereka.

Bagi mereka yang benar-benar beriman, nyatakanlah kebenaran tanpa memilih bulu dan hentikan memfitnah orang lain. Bagi mereka yang dianggap dan menganggap diri sebagai agamawan UMNO, kembalilah kepada jalan agama yang sebenar.

Sila jua beri pendapat ikhlas dan berjuang menentang penyelewengan, rasuah, kronisme, penindasan dan kezaliman. Bukankah itu tuntutan agama? – Roketkini.com

Tiada ulasan: