Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini dituduh di Mahkamah Rendah Syariah Klang kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah surau di Kapar, Klang, pada 16 Ogos tahun lalu.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.
Khalid dituduh mengajar tentang agama Islam tanpa tauliah di surau Taman Seri Sementa antara jam 10 malam hingga 11.30 malam.
Khalid yang juga ahli jawatankuasa Pusat PAS diwakili peguam Muhamad Burok, manakala pihak pendakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diwakili oleh Muhamad Saufi Mastorlani.
Hakim menetapkan tarikh 7 Jun depan untuk sebut semula kes tersebut setelah menimbangkan permohonan pendakwaan.
Hakim Norafizi Fitri Ab Manaf juga melepas tertuduh dengan jaminan RM1,500 yang dibayar oleh seorang penjamin.
Pada mulanya pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM2,500 tetapi dibantah Muhamad Burok membantah permohonan pendakwa kerana jumlah tersebut "agak mahal".
"Cadangan (jumlah itu) supaya beliau hadir ke mahkamah. Tidak mungkin orang sepertinya tidak hadir dan membelakangkan perintah mahkamah," katanya yang mencadangkan jumlah RM1,500.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan