HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 April 2012

PR Selangor tidak yakin hadapi PRU serentak, kata Khir Toyo

AHMAD NORMAN ABU TALIB

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo
SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menyifatkan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor kurang berkeyakinan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) serentak.

Oleh itu katanya, tindakan Selangor tidak akan menyertai PRU13 itu sebagai tindakan ‘bijak’ kerana mereka ingin lebih masa untuk mengumpul strategi.
 
“Sebab itu mereka ‘seronok’ untuk tidak menyertai PRU serentak kerana ingin mengumpulkan data terlebih dahulu," katanya lagi.
 
Kata beliau, tumpuan PR adalah bagi merebut kerusi Parlimen kerana itu adalah lebih penting bagi pakatan itu.
 
“PR tak berkeyakinan maka mereka lebih ‘seronok’ tidak menyertainya serentak kerana ia bakal memberi kelebihan pada mereka untuk melihat terlebih dahulu keputusan dan mengumpulkan data-datanya.
 
“Kemudian mereka boleh fokus menyusun strategi dan ia dilihat lebih memberi kelebihan kepada mereka kerana keputusan kerusi Parlimen lebih penting,” katanya semalam.
 
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pengumuman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan baru-baru ini bahawa Selangor tidak akan mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan Parlimen selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membersihkan daftar pemilih negeri itu.
 
Kenyataan itu bercanggah dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid yang sebelum ini membayangkan akan menyertai PRU serentak sekiranya diadakan selepas Jun ini.
 
Semalam Sinar Harian melaporkan Timbalan Pengerusi Umno, Datuk Seri Noh Omar menyifatkan PR takut menghadapi PRU kerana angin perubahan dibawa Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
 
Mohamad Khir berkata, beliau turut berpendapat PR tidak ingin menyertainya kerana mereka ingin menunaikan janji-janji PRU sebelum ini hingga ke saat-saat akhir.
 
Ketika ditanya sama ada rakyat negeri kini kembali yakin kepada BN, beliau berkata, keyakinan itu dapat dilihat berdasarkan populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sangat baik kepada rakyat dan secara tidak langsung menggugat PR.

Tiada ulasan: