Oleh Norhidayah Che Din
KUALA LUMPUR: Seramai 45,000 pelajar sekolah Sekolah Rendah Agama (SRA)
dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang diselia Jabatan Agama
Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kini menikmati pendidikan percuma
berikutan keputusan JAWI memansuhkan yuran bulanan RM10 kepada muridnya.
Pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam itu sebagai langkah meringankan beban ibu bapa, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pelajar mendapatkan pendidikan agama.
“Dengan peruntukan besar ini, kita akan lebih berupaya memperbaiki kecemerlangan di kalangan pelajar dan kualiti pendidikan, seterusnya menjayakan misi kerajaan ke arah menjana modal insan yang berkualiti dengan minda kelas pertama,” katanya selepas merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik JAWI 2012, di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim; Ketua Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha dan Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali.
Jamil berkata, pemansuhan yuran membabitkan 66 KAFA dan 84 SRA selaras permintaan tinggi permohonan untuk memasuki sekolah agama termasuk di luar kawasan.
Beliau juga mengumumkan peruntukan RM39 juta bagi membina enam sekolah agama di sekitar Wilayah Persekutuan, antaranya Segambut, Kampung Batu Muda dan Setapak yang dijangka siap pada akhir 2014.
“Enam sekolah ini dibina sebagai persediaan negara menuju status negara maju yang bukan saja mempunyai kemajuan daripada sudut pembangunan semata-mata, malah turut cemerlang dalam aspek agama dan kerohanian.
“Melalui cara inilah kita memulangkan semula wang kutipan zakat setiap tahun kepada golongan asnaf dan fakir miskin,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan