Melalui program ini, syarikat yang tergolong dalam kumpulan Teras akan beroleh pinjaman bernilai sehingga RM30 juta dana dengan pembiayaan daripada SME Bank bagi keperluan pembiayaan untuk modal kerja dan pembelian aset dengan tempoh pembiayaan sehingga 35 tahun.
"Pembiayaan ini diperkenalkan untuk memudahkan pengembangan perniagaan syarikat berprestasi tinggi dalam program Teras.
"SME Bank telah membuat penilaian dan setakat ini 130 syarikat telah dipilih berdasarkan skor antara tiga hingga lima bintang dan penilaian kredit yang tinggi," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop kepada pemberita di pejabat Teraju di sini.
Program pembiayaan yang menggunakan kaedah kewangan Islam itu adalah hasil kerjasama antara Teraju dan agensi pembiaya daripada SME Bank.
Kadar keuntungan yang ditawarkan untuk pinjaman modal kerja adalah lima peratus manakala bagi pinjaman aset berdasarkan kadar pinjaman.
Selain itu, mana-mana syarikat yang mempunyai rekod pembayaran yang konsisten akan diberi rebat satu peratus bagi pinjaman modal kerja.
"Pinjaman ini hanya layak dipohon oleh syarikat yang tergolong dalam kumpulan Teras," kata CEO Teraju, Husni Salleh.
Menurutnya, pinjaman itu diwujudkan kerana memahami masalah sesetengah syarikat yang sukar untuk membuat pinjaman kerana syarat ketat yang dikenakan ke atas mereka oleh agensi kewangan.
Teraju menyediakan RM50 juta kepada SME Bank untuk membantu dalam modal risiko yang mana diambil daripada peruntukan pembangunan Teraju.
Sehingga kini, dianggarkan terdapat 130 syarikat Teras dalam Teraju dan mereka berharap ianya dapat ditingkatkan kepada 1,100 syarikat dalam tempoh tiga tahun.
Syarikat-syarikat Teras ini dipilih berdasarkan keupayaan mereka dan kedudukan kewangan yang kukuh, disamping potensi perkembangan yang berterusan.
Teraju turut mengumumkan program baru bagi membantu akauntan Bumiputera dengan mensasarkan pemegang Ijazah Sarjana Muda dengan CGPA 3.0 untuk menyertai firma perakaunan bagi memberikan mereka pendedahan dan seterusnya ditawarkan pekerjaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan