HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 September 2012

Sedia jumpa keluarga ‘tunjuk punggung’

KL TODAY

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia untuk bertemu dengan keluarga pelajar kolej yang melondeh seluar ke arah gambarnya ketika sambutan Perhimpunan Janji Bersih, 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Tidak ada masalah, saya terima sesiapapun tetapi prinsipnya proses undang-undang tak boleh dikompromi dan mesti diteruskan. Soal dia nak berjumpa dengan saya tu boleh diatur bila-bila masa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Hari Raya Aifilfitri di Kampung Tasek Tok Lebai, Besut.

Media hari ini melaporkan permohonan maaf ayah kepada seorang pelajar lelaki kolej swasta yang menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara pada malam kejadian itu.

Ayah pelajar itu turut menyatakan hasrat bertemu Najib bagi meminta maaf secara peribadi.

Jelas Perdana Menteri, semua rakyat Malaysia perlu menghormati kedaulatan undang-undang negara.

Pihak pengurusan sebuah kolej swasta di Cheras dilapor mengambil keputusan memberhentikan pelajar itu berikutan insiden tunjuk punggung terbabit.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan sama ada pelajar itu boleh merayu untuk menyambung semula pengajiannya terpulang kepada budi bicara kolej berkenaan.

Tiada ulasan: