HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 September 2012

Ular makin banyak di Setapak dan Cheras

KL TODAY

 

Kawasan kediaman di Setapak, Cheras dan Jinjang di sini dikenal pasti sebagai antara kawasan yang sering dimasuki ular sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata secara purata, pihaknya melakukan tiga kerja menyelamat sehari membabitkan ular memasuki rumah, majoritinya di kawasan tersebut.

Beliau berkata berdasarkan bantuan menyelamat yang diberikan, bomba mengenal pasti spesis ular sawa batik dan tedung kerap memasuki kediaman di kawasan berkenaan yang dahulunya merupakan ladang kelapa sawit.

“Selalunya kita mendengar kes ular memasuki rumah hanya berlaku di kawasan kampung, namun pembangunan pesat di sekitar ibu kota menjadikannya tidak terlepas daripada ancaman reptilia itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang tanggungjawab lain yang dijalankan oleh anggota pasukan itu selain tugas memadamkan kebakaran di mana salah satunya ialah menangkap ular yang mengganggu penduduk.

Khirudin berkata bagaimanapun tiada laporan membabitkan mangsa diserang atau dipatuk selepas kediaman dimasuki spesis itu setakat ini.

Beliau berkata kehilangan habitat asal menjadi antara faktor kejadian ular memasuki rumah atau di bahagian-bahagian yang bersuhu lembab di kawasan kediaman seperti di dalam longkang bagi mencari makanan dan tempat perlindungan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di kawasan itu serta kawasan lain yang berisiko supaya sentiasa memastikan persekitaran kediaman kekal bersih bagi mengurangkan kebarangkalian kejadian ular memasuki rumah daripada berlaku.

“Penghuni diingatkan supaya memastikan rumah dan kawasan kediaman bebas daripada sampah sarap dan semak-samun yang tinggi,” katanya.

Khirudin berkata memandangkan kes itu telah menjadi sebahagian daripada rutin tugasan pasukannya setiap hari, setiap anggota bomba telah dibekalkan dengan latihan dan kemahiran dalam mengendalikan kes sebegitu supaya kerja menyelamat yang dilakukan tidak mencederakan reptilia itu dan juga anggota yang mengendalikannya.

Beliau berkata setiap anggota diwajibkan menjalani kursus selama dua hari, sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh perkhidmatan bagi memahirkan mereka dengan sikap, sifat dan habitat reptilia itu daripada tenaga pengajar yang diundang khas daripada taman-taman ular.

“Memandangkan ular sawa batik dan tedung merupakan spesis dilindungi, reptilia yang ditangkap itu akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan sebelum dilepaskan semula ke habitat asal di hutan,” katanya.

Tiada ulasan: