Ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, SPR perlu lebih telus dalam mengendalikan hal ini supaya rakyat tahu dan faham apa yang berlaku sebenarnya.
“Apa yang enam cadangan itu? Mereka ada beritahu? Sepatutnya enam cadangan itu dimaklumkan kepada rakyat supaya kita lebih faham.
“Mungkin ia sudah diumumkan dalam Parlimen tetapi orang awam tidak tahu, jadi ia wajar dijelaskan dengan terang,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa enam daripada 32 cadangan dalam PSC berhubung penambahbaikan proses pilihan raya tidak dapat diteruskan ekoran kekangan faktor perundangan dasar dan melibatkan kos kewangan yang besar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, keputusan itu bagaimanapun tidak bererti bahawa syor-syor itu tidak dapat dilaksanakan pada masa hadapan.
Beliau memaklumkan secara keseluruhannya terdapat 32 syor PSC berhubung dengan penambahbaikan proses pilihan raya terdiri 10 syor yang diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Disember 2011 dan 22 syor dipersetujui Dewan Rakyat pada 3 April 2012, untuk dilaksanakan SPR dan agensi-agensi kerajaan berkaitan.
"SPR telah memaklumkan bahawa sebahagian syor tersebut telah pun diberi perhatian dan tindakan yang wajar telah dan sedang dilakukan untuk merealisasikannya," katanya.
Bersih 2.0 membuat persediaan untuk mengadakan Konsert Bersih 2.0 pada Sabtu ini susulan kepada perhimpunan Bersih 3.0 April lalu.
Mengulas lanjut, Maria Chin menuntut SPR menyenaraikan kesemua 32 cadangan itu dengan menyatakan apa yang sudah, belum dan apa yang tidak dapat dilaksanakan.
Maria sempat mengulas soal pengundi luar negara yang sudah dibenarkan mengundi namun bersyarat.
“Rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara kini dibenarkan mengundi dengan syarat sudah kembali ke Malaysia untuk tempoh lima tahun. Ini tidak ada dalam Perlembagaan kerana dalam Perlembagaan, jika dia rakyat Malaysia, dia boleh mengundi.
“Mereka tidak patut meletakkan syarat seperti itu kerana syarat itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara tidak dapat mengundi,” katanya.
Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara mungkin akan dibenarkan mengundi kerana pindaan bagi peraturan pilihan raya akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.
Namun, setaka ini hanya pelajar Malaysia yang menuntut sepenuh masa serta pasangan mereka, dan kakitangan awam serta pasangan mereka sahaja yang layak mengundi secara pos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan