Oleh Aedi Asri
KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan negara yang berkesan patut menekan strategi dan program pembangunan untuk membebaskan rakyat dari kemiskinan, bukannya bantuan bersifat sementara.
“Kelemahan (Bajet 2013) adalah bantuan bersifat sementara seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)…ia tidak bebaskan rakyat dari kemiskinan, tapi itulah yang dibesar-besarkan.
“Kerajaan perkenalkan rebat RM200 untuk beli telefon pintar, (sedangkan) saya dimaklumkan jika beli (telefon pintar) dengan terus beserta tawaran yang ada, potongannya lebih RM500.
“Ini semata-mata ingin tarik sokongan anak muda…Tak tahulah agen mana yang bagi nasihat (tentang rebat ini),” kata Anwar sinis.
Tambahnya, ia sebagai tanda kerajaan Umno BN menggalak dan meneruskan ‘sindrom kebergantungan’ dalam dasar negara.
Anwar berkata, fokus pembangunan dalam Bajet 2013 juga berkecamuk dan dapat dilihat melalui peruntukan pendidikan yang berkurangan saban tahun.
“Punca permasalahan adalah mutu pendidikan…kita ingin lahirkan (pelajar) yang berkelayakan,” katanya pada perbahasan Bajet 2013 di Parlimen semalam.
Dalam Bajet 2013, Kementerian Pelajaran mendapat peruntukan sejumlah RM38.7 bilion, jauh kurang dari tahun sebelumnya iaitu RM50.2 bilion.
Bajet 2013 meremehkan wanita
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menyifatkan Bajet 2013 meremehkan golongan wanita apabila tiada bahagian dikhususkan untuk mereka.
“Golongan wanita tidak disentuh langsung, selain minta wanita jadi Ahli Lembaga Pengarah Syarikat,” kata beliau.
Sebaliknya, Belanjawan Pakatan Rakyat menawarkan skim Caruman Wanita Nasional bagi membantu golongan wanita terutama suri rumah.
“Selain caruman sendiri, kerajaan Pakatan Rakyat juga akan mencarum RM600 setahun untuk mereka,” jelas Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan