Pak Man menerima wang daripada orang ramai yang mengikuti ceramah di Kota Bharu.
Mahu dikenali sebagai Pak Man dan Mak Esah, pasangan berusia 50-an dari Kampung Berangan, Tumpat itu sanggup ke Kota Bharu dengan menaiki bas kerana mengakui dengan meminta sedekah adalah jalan yang mudah untuk mendapat wang.
Dakwanya, biarpun mempunyai empat cahaya mata, namun dia dan isterinya masih tetap menyukai kegiatannya itu memandangkan kudratnya yang terbatas untuk melakukan perkara sukar. Lagipun mereka tidak mahu menyusahkan anak-anak.
Katanya, dalam sehari tanpa perlu bekerja keras pasangan suami isteri tersebut boleh mendapat RM80 dan itu sudah dikira lumayan baginya sekeluarga. Bayangkan dalam tempoh sebulan dengan hanya mengutip sedekah mereka mampu mengumpul lebih RM2,000.
Di awal perbualan Pak Man berdolak-dalik katanya, dia ke bandar ini bukan untuk mengemis, tetapi mahu mendengar ceramah, namun setelah diberitahu bahawa tindakannya dengan meletakkan bekas kosong di atas pahanya sejak beberapa jam lalu sudah diperhatikan, dia terus mendiamkan diri.
Pak Man akhirnya mengakui sudah mengutip sedekah lebih 10 tahun lalu bersama isterinya dengan menjual tisu, kadang kala duduk sambil memegang bekas kosong dan mengelilingi bandar dengan menggunakan tongkat.
“Kami suka dengan cara ini kerana dengan inilah kami mendapat wang untuk menyara hidup berdua yang kadangkala sangat-sangat memerlukan wang ringgit untuk membeli makanan. Malahan ada kalanya hanya makan telur rebus dan nasi sahaja.
“Kami bukan merompak dan menyakitkan hati sesiapa pun, apa yang kami buat ini sekadar yang saya mampu bagi menyara isteri dan meneruskan kehidupan saya sendiri,” katanya.
Katanya, dia tidak malu menjadi pengemis kerana itu adalah cara untuknya mencari rezeki biarpun ada yang beranggapan serong.
“Niat kami adalah untuk menyimpan wang bagi masa depan kami sendiri di hari tua nanti. Lagipun kami suka kerana orang ramai amat pemurah untuk memberikan kami wang setiap hari,” katanya.
Dalam pada itu, Sinar Harian juga terserempak dengan dua kanak-kanak warga asing yang merayau-rayau dengan menjual buku Yasin kepada orang ramai.
Kanak-kanak berusia belasan tahun itu mendakwa dia pelajar di sebuah pondok di negeri ini, bagaimanapun ketika ditanya dia tidak memberitahunya secara spesifik lokasi tersebut dan masing-masing memandang antara satu sama lain.
Ketika itu juga, mereka memaksa orang ramai membeli buku agama tersebut dan sekiranya tidak mengambilnya kanak-kanak tersebut akan menunggu serta memaksa sehingga ia dibayar dalam jumlah yang dimahukan.
Setelah hampir dua minit berbual, mereka menyedari gelagat yang cuba menjual buku agama kepada penulis dengan harga RM5 dirakam lensa Sinar Harian dan secara spontan terus menarik buku yang dipegang penulis.
Kemudiannya, mereka terus menghilangkan diri setelah penulis cuba mengekorinya dan mahu memerhatikan kegiatannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan