Anak
syarikat Tabung Haji, TH Global Services, memberi jaminan bahawa
makanan yang disediakan untuk jemaah haji Malaysia di Tanah Suci adalah
bersih dan mengikut piawaian tertinggi kerajaan Arab Saudi, meskipun
kebanyakan bahan mentahnya diimport.
Ketua Pegawai Operasi TH Global
Services, Adly Mohamed berkata jemaah haji tidak perlu bimbang kerana
penyediaan makanan di sembilan dapurnya iaitu lima di Makkah, tiga di
Madinah dan satu Jeddah, adalah mengikuti piawaian ditetapkan kerajaan
Arab Saudi dan Malaysia.
“Tahap
kebersihan dan kesegaran dapur-dapur dan bahan mentah kita akan
diperiksa pada setiap masa oleh pegawai kesihatan dari Malaysia dan
Arab Saudi, menu makanan disediakan oleh pakar makanan dari Malaysia,”
katanya kepada media yang meninjau ‘rumah masak’ atau dapur TH Global
Services di Wadi Naseem.
Dapur tersebut yang berada dalam sebuah bangunan dua tingkat terletak kira-kira 11 kilometer dari ibu pejabat Tabung Haji.
Adly, yang
berpengalaman luas dalam perkhidmatan penyajian makanan di hotel-hotel
antarabangsa berkata, terdapat bahan mentah yang perlu dibawa dari
Malaysia seperti lengkuas dan beberapa jenis rempah.
Setiap
hari dapur tersebut yang dilengkapi dengan teknologi Eropah akan
menyediakan makanan tengahari dan malam untuk kira-kira 5,000 orang.
“Dalam
sehari, kita akan masak sebanyak 15 guni beras panjang dari Thailand
untuk jemaah haji kita. Kita juga perlu memastikan para pekerja di sini
memasak nasi dan lauk pauk mengikut resipi Malaysia,” katanya.
Seramai 41
tukang masak termasuk penyelia didatangkan khas dari Malaysia dan
kesemua mereka telah melalui proses temu duga dan ujian yang ketat,
katanya.
Beliau
juga tidak menafikan bahawa jemaah haji Malaysia sangat cerewet dalam
soal makanan berbanding jemaah negara lain yang terpaksa menikmati
makanan ala kadar sahaja.
“Ada
jemaah dari negara jiran hanya makan nasi, kicap dan ikan goreng.
Mereka ini kadang-kadang mencuri masuk ke khemah jemaah haji Malaysia
untuk menikmati makanan kita. Itu pun, masih ramai jemaah kita yang
masih tidak berpuas hati dengan rasa makanan yang kita hidangkan,”
katanya.
Katanya
bagi menampung selera berbeza jemaah, pihaknya turut menyediakan
perkhidmatan restoran atau kantin berbayar yang akan memasak makanan
mengikut cita rasa jemaah.
Setiap
juadah makanan yang disediakan TH Global ditanggung Tabung Haji dengan
kos antara 9 riyal hingga 10 riyal (1 Saudi riyal bersamaan RM0.8143)
termasuk kos pembungkusan dan pengangkutan, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan