Muhammad Yusri Amin, |
KOTA BHARU: “Kami rakyat negeri Kelantan masih perlukan Tok Guru terus memimpin kami.
“Walau apa pun kata musuh, tetapi kemampuan Tok Guru terbukti dan diakui oleh semua pihak sampai ke peringkat antarabangsa,” kata Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff.
Beliau berkata, kehebatan dan keistimewaan yang ada pada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebabkan pemimpin Umno-BN termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad makin resah dan gelisah.
Justeru katanya mereka cuba menyerang kepimpinan dan peribadi Mursyidul Am PAS.
“Dr Mahathir dan Umno-BN sudah habis ikhtiar mahu menawan Kelantan sejak 22 tahun lalu. Bermacam-macam senjata mereka cuba termasuk menyerang peribadi Tok Guru,” katanya.
Beliau yang juga anggota Parliman Rantau Panjang ditemui pada program Penghayatan Hari Wuquf Peringkat Negeri di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke-IV di sini hari ini.
Lebih 1,000 sebahagian besar muslimat hadir pada program anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan. Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar.
Hadir sama anggota-anggota Exco, Dato’ Abdul Fattah Mahmood, Dr Mohammad Fadzli Hassan dan Wan Ubaidah Omar. Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus, dan pensyarah Universiti Malaya, Roslan Mohammad.
Siti Zailah juga berkata, Umno cuba mengalih isu dengan melaga-lagakan pimpinan PAS dengan DAP supaya orang Cina hilang keyakinan kepada Pakatan Rakyat.
Kata beliau isu terbaru apabila pemimpin MCA mempertikaikan hukum hudud sehingga melempar tuduhan jelik dengan mendakwa Tok Guru Nik Aziz menggalakkan orang merogol wanita Cina.
“Ini adalah satu fitnah yang sangat biadab. Kami menuntut MCA menarik balik dakwaan fitnah itu,” katanya.
Baru-baru ini Naib Pengerusi Wanita MCA, Heng Seah Kie melemparkan tomahan terhadap Tuan Guru Nik Aziz kononnya membenarkan merogol wanita bukan Islam sekiranya mereka tidak mematuhi kod etika pakaian Islam.
Ekoran itu Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke bangkit mempertahankan Menteri Besar Kelantan di persidangan parlimen dengan menyifatkan kenyataan Seah sebagai biadap.
Program Penghayatan Hari Wuquf diadakan sejak awal 1990-an sempena Hari Wukuf di Padang Arafah. Sempena program berkenaan diadakan solat hajat dan ceramah agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan