HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 Oktober 2012

Kerajaan mungkin tidak laksana gaji minimum

Muhammad Faizal,
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani (gambar) berpendapat kerajaan tidak akan melaksanakan gaji minimum sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Beliau menjelaskan, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan pada 30 April yang lalu mengatakan perlaksanaan gaji minimum akan bermula pada 1 Januari 2013.

"Tempoh percubaan bagi perlaksanaan gaji minimum adalah selama enam bulan dan jika terdapat cadangan atau apa-apa masalah maka tempoh percubaan itu dilanjutkan lagi untuk tempoh enam bulan.

"Ini bermakna tempoh percubaan sudah mengambil masa setahun, jika dicampurkan dengan tarikh pengumuman Najib sebelum ini maka sudah hampir dua tahun," katanya ketika ditemui di Parlimen.

Tambah Abdullah lagi, Majlis Konsultasi Gaji Negara telah menetapkan garis panduan bahawa setiap dua tahun penilaian semula perlu dilakukan.

"Jika keadaan ini yang berlaku iaitu dalam situasi percubaan dan penilaian, saya yakin kerajaan sebenarnya tidak berhasrat untuk melaksanakan gaji minimum seperti mana yang diumumkan sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau juga turut menolak dakwaan bahawa negara akan bankrup jika gaji minimum di bawah RM1,200 dilaksanakan.

"Hanya mereka yang tidak faham dalam soal perkiraan ekonomi sahaja berpendapat jika perlaksanaan gaji minimum di bawah RM1,200 menyebabkan negara akan bankrap.

"Laporan Bank Dunia juga ada melaporkan jika tahap gaji tersebut sebagai gaji minimum negara tidak akan mengalami masalah terutamanya soal bankrap," sambung beliau lagi.

Abdullah juga menekankan, Pakatan Rakyat memandang serius tentang perlaksanaan gaji sebanyak RM1,100 apabila berjaya menawan Putrajaya pada pilihanraya nanti.

"Bilamana kita laksanakan gaji minimum dengan suntikan RM2 bilion untuk Industri Kecil dan Sederhana, kita memastikan setiap syarikat yang tidak mempunyai keupayaan kita akan membantu bagi memastikan ia dapat dilaksanakan.

"Manakala syarikat yang berkemampuan tapi tidak melaksanakannya kita akan mengambil tindakan yang tegas," sambung beliau lagi.

Tiada ulasan: