Datuk Osman Salleh
Beliau yang dihubungi Sinar Harian Online semalam menegaskan dakwaan seumpama itu tidak berasas sama sekali.
“Mana ada Exco terlibat kes culik. Saya rasa perkara ini sangat mengarut,” kata beliau.
Tambah Osman: “Saya tidak menerima sebarang arahan (untuk siasat) dari Bukit Aman.”
Pada 30 September lalu, Presiden Persatuan Pembela Kebajikan Komuniti Negeri Sembilan, Jaya Selvamoni menerusi laman mikro Twitter mendakwa seorang Exco Kerajaan Negeri Sembilan terlibat dalam aktiviti jenayah terbabit.
“Exco Kerajaan Negeri Sembilan terlibat dalam aktiviti gengsterisme, ugutan dan penculikan kanak-kanak. Nama akan dikeluarkan kemudian,” bunyi mesej yang dihantar kepada kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan, media, juga pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).
Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mohtar Radin membalas pesanan tersebut dengan menyifatkan ia sebagai tuduhan yang berat dan meminta laporan polis segera dibuat.
Jaya kemudiannya membalas pesanan itu mengatakan bahawa Bukit Aman sudah dimaklumkan dan laporan polis telah dibuat ke atas Exco terbabit.
“(Sudah) laporlah, Bukit Aman tengah siasat. Siapa masuk mahkamah, kita tengoklah nanti,” tulis beliau.
Bung Mohtar yang kemudiannya dihubungi Sinar Harian Online memberikan amaran keras supaya pihak yang menyebarkan berita terbabit menggunakan saluran yang betul dan bukannya secara semberono menggunakan medium laman sosial untuk mendedahkan sesuatu perkara.
“Kita tidak boleh lempar tuduhan tanpa bukti. Sekiranya dakwaan itu tidak berasas, penyebar maklumat boleh didakwa.
“Namun sekiranya benar, saya tiada halangan (untuk siasat) walaupun ia melibatkan Exco,” kata beliau.
“Saya juga minta pihak berkuasa segera menyiasat dan pastikan jangan sampai ada yang terainiaya,” tambah beliau.
Jaya kira-kira jam 4 petang semalam sekali lagi menghantar pesanan memberitahu Bukit Aman telah mengarahkan Osman untuk menyiasat perkara terbabit.
“Bukit Aman sudah minta Datuk Osman (KPN9) siasat. Kes culik budak Exco Negeri Sembilan. Yang terlibat mesti didakwa,” tulis beliau.
Jaya yang berjaya dihubungi Sinar Harian Online petang semalam berkata, sebenarnya yang terlibat dalam kes seumpama itu dua orang.
“Ada dua Exco terlibat. Bila saya ada maklumat mendalam, saya akan beritahu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan