HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Oktober 2012

Mansuh AP minyak sawit untuk elak kuota diagih kepada kroni

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR : Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi digesa mansuhkan permit kebenaran  (AP) eksport minyak sawit bagi mengelak kuota diagih kepada kroni dan memberi kesan negatif kepada harga pasaran kuota eksport bebas cukai (CPO).

“Dasar AP merupakan dasar tidak masuk akal. Dasar untuk memperkayakan kroni dengan AP tambahan telah merosakkan harga sawit dan akan menjejaskan ekonomi dan industri negara.

“Memandangkan harga minyak sawit terus menjunam, kementerian harus mengambil tindakan wajar tanpa gangguan politik. Kalau Kementerian tak nak terima nasihat kami, saya syorkan Tun Dr Lim Keng Yaik beri tunjuk ajar kepada kementerian,” kata Biro Pelaburan dan Perdagangan KEADILAN, Wong Chen dalam kenyataan hari ini.



Chen berkata, tambahan permit AP bukan sahaja menyebabkan pasaran lembap, malah minyak sawit yang diproses tidak terjual.

“Penambahan dua juta metrik tan CPO kepada pasaran yang sudah lembap telah gagal menarik minat pembeli-pembeli baru. Menteri Tan Sri Benard Dompok minggu lalu memberi penerangan bahawa masih ada 2.5 juta metrik tan AP yang tak terjual.

“Malah penambahan AP ini menyebabkan CPO tidak dapat dihantar kepada pembeli kerana tangki-tangki minyak sawit di loji-loji penapisan dan pelabuhan-pelabuhan sudah sesak penuh dengan minyak kelapa sawit yang telah diproses, tetapi tak terjual,” jelas Chen lagi.

Katanya, kerajaan perlu menyenaraikan senarai penerima AP supaya rakyat jelas berhubung perkara tersebut.

“KEADILAN terus menggesa kementerian memberi jawapan rasmi sama ada senarai penerima AP adalah rahsia rasmi. Isu ini penting kerana baru-baru ini, The Edge melaporkan bahawa Palm Oil Refiners Association of Malaysia (PORAM) menerima jawapan daripada Kementerian bahawa senarai itu adalah rahsia rasmi.

“Jika Kementerian tidak mempunyai apa yang hendak disembunyikan, ia mesti membuat senarai ini terbuka kepada penelitian awam. Kementerian juga mesti mendedahkan jumlah kuota yang diperuntukkan bersama justifikasi penerimaan untuk setiap satu penerima,” katanya.

Tiada ulasan: