| Aslani M, |
KOTA BHARU: Biar pun Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diterajui Datuk Seri Najib Razak, malangnya lebih 361,000 golongan kelainan upaya (OKU) masih lagi terpinggir.
Ini kerana kementerian itu hanya diberikan peruntukan sejumlah RM1.65 bilion iaitu 3.39 peratus daripada RM49.7 bilion perbelanjaan pembangunan dalam bajet 2013.
Dan daripada jumlah peruntukan tersebut dipecah pula kepada lima agensi iaitu Jabatan Pembangunan Wanita, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.
Selain itu Institut Sosial Malaysia dan Institut Pengupayaan Wanita bagi Anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NIEW).
OKU pula diletak di bawah JKM yang turut bertanggungjawab menjaga kebajikan ibu tunggal, warga emas, orang-orang miskin dan pelbagai lagi.
Pengerusi Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Kelantan, Muhammad Faizal Che Yusoff berkata, kerajaan seperti gagal menilai tanggungjawab KPWKM yang begitu besar.
“Ini menggambarkan betapa kerajaan kurang prihatin kepada golongan masyarakat yang bergantung harap termasuk OKU.
“Sedangkan kementerian tersebut kini berada di Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan. Jumlah OKU berdaftar sekarang berjumlah 361,000 orang.
“Kami hanya dimomokkan dengan pemberian-pemberian kemudahan lama tapi dijenamakan semula,” katanya di sini sebagai memberi reaksi terhadap Belanjawan 2013 yang dibentang Perdana Menteri Jumaat lalu.
Muhammad Faizal yang juga seorang peguam berkata, tiadanya perhatian yang lebih fokus kepada OKU dalam pentadbiran kerajaan sekarang menyebabkan pelbagai isu didepani OKU terus berlarutan dan tiada kesudahan.
Bermula isu intervensi awalan, sokongan keluarga, pendidikan, pekerjaan, sara hidup, perumahan, infrastruktur aksesibiliti, penjagaan OKU di hari tua, serta hak kepada kebudayaan dan rekreasi terus menjadi persoalan pada OKU.
Malangnya kata beliau tiada perancangan yang dapat memberi kesan yang signifikan kepada OKU.
Oleh itu beliau melihat kementerian terbabit perlu distruktur semula bagi memastikan kehidupan OKU lebih terbela biar pun sekarang telah wujud Majlis Kebangsaan Bagi OKU dan Jabatan Pembangunan OKU.
Beliau berkata, KPWKM wajar dipecahkan setidak-tidaknya kepada dua kementerian. Hal ehwal wanita dan keluarga diletakkan di satu kementerian, manakala hal ehwal OKU dan kesejahteraan masyarakat diletak di kementerian lain.
“Dengan mengecilkan saiz tanggungjawab yang kini dipikul KPWKM, ia diharap mampu memberi lebih ruang yang cukup untuk menteri lebih fokus dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Dalam situasi sekarang kata Faizal, OKU lebih meletak pengharapan kepada Pakatan Rakyat bagi memberi perhatian khusus dalam hal tersebut terutamanya merancang dan melaksanakan pembangunan OKU secara menyeluruh.
“Dalam hal ini perlulah suatu perancangan yang begitu fokus diberi perhatian Pakatan Rakyat dalam mengimpikan Malaysia baru selepas pilihanraya umum ke-13,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan