HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Oktober 2012

Pecat Faekah: Azmin serah pada Pusat

 
Beliau mengulas mengenai desakan PKR Selangor agar parti mengambil tindakan tegas terhadap Faekah termasuk dipecat serta merta.



KUALA LUMPUR: Pengerusi PKR Selangor Mohamed Azmin Ali menyerahkan sepenuhnya konflik pemecatan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin kepada PKR Pusat untuk dipertimbangkan.

“Saya tak tahu menahu..kenyataan itu perlu dirujuk kepada Setiausaha Agung PKR kerana ini masalah pentadbiran,” katanya yang juga Timbalan Presiden PKR Pusat kepada FMT ketika ditemui hari ini.

Beliau mengulas mengenai desakan PKR Selangor yang diketuai Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri, Borhan Aman Shah agar parti mengambil tindakan tegas terhadap Faekah termasuk dipecat serta merta.

Borhan dalam sidang media semalam mahu PKR berbuat demikian kerana Faekah sebelum ini secara terbuka mengkritik Azmin yang cuba campur tangan mengenai kedudukan Tan Sri Khalid Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 13 nanti.

“Saya gesa Faekah dipecat parti berkuat kuasa serta merta. Atas kapasiti Faekah tiada apa-apa jawatan dalam parti untuk mengkritik Timbalan Presiden secara terbuka dan jawatannya diberi secara ehsan oleh parti,” kata Borhan semalam.

Azmin bagaimanapun mempertahankan kenyataan Borhan itu sebagai ‘suara akar umbi’, namun menafikannya mewakili suara Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor.

Katanya, isu mengenai Faekah tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat MPN.

“Saya percaya dalam lawatan ke Cabang ada pandangan anggota (bawahan) yang diberikan dan dia mmberikan pandangan seperti yang dinyatakan semalam.

“Pandangan itu telah disuarakan oleh anggota, terserah kepada parti untuk meneliti pandangan dan cadangan yang dikemukakan.

“Kita hormati pandangan itu dan sebagai parti yang mengamalkan demokrasi dan hak bersuara (perkara itu) kita harus hormatilah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang notis atau surat aduan rasmi mengenai rungutan atau desakan tersebut.

“Saya tak terima apa-apa (notis). Saya tak tahu tentang perkara ini,” katanya.

Beberapa pemimpin PKR termasuk Naib Presiden PKR Tian Chua ketika ditemui turut enggan mengulas lanjut mengenainya.

Ini merupakan ‘perang dingin’ kedua yang diterima Faekah dalam tahun ini selepas mengkritik Azmin mengenai isu amalan nepotisme dalam parti Jun lalu.

Satu gerakan kempen melalui laman sosial Twitter menggunakan hash tag #kamisayangPKR dan #PecatFaekah sebelum ini juga penah dilihat wujud untuk memberi tekanan kepada Faekah berundur diri dari posisinya.

Namun perkara ini segera dihalang pimpinan PKR Pusat yang mengeluarkan arahan agar sebarang gerakan atau kempen ke atas Faekah mahupun ke atas ahli parti dihentikan.

Tiada ulasan: