SHAH ALAM - Keputusan pilihan raya kampus universiti awam
tempatan yang baru selesai tidak boleh dijadikan ukuran arah aliran
sokongan golongan muda dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), demikian
menurut beberapa penganalisis.
Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Dr Jayum Jawan menegaskan,
keputusan pilihan raya kampus yang menunjukkan kumpulan Pro-Aspirasi
menguasai sebahagian besar institusi pengajian tinggi di negara ini
tidak ada kaitan dengan pilihan raya umum.
“Pilihan raya kampus tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya
umum, jadi keputusannya juga tidak ada kaitan dengan pilihan raya
peringkat nasional itu.
“Melalui pilihan raya kampus ini, ia dapat menjadi sebahagian
daripada latihan kepada pelajar yang bakal menjadi pemimpin kepada masa
depan,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Beliau berpandangan bahawa setiap calon wajar diberi ruang untuk
mengutarakan idea dan pendapat di hadapan pengundi yang terdiri daripada
pelajar tanpa sekatan.
“Tindakan melaga-laga antara pelajar tidak wajar dilakukan, malah
universiti juga tidak sepatutnya menyekat mereka daripada memberi
pandangan kerana kita mahukan pandangan yang pelbagai,” jelasnya.
Keputusan pilihan raya kampus bagi memilih Majlis Perwakilan
Pelajar (MPP) sesi 2012/2013 termasuk dua kerusi yang menyaksikan
pengundian semula kelmarin menunjukkan kumpulan Pro-Aspirasi menguasai
sebahagian besar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Pengundian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditangguhkan ekoran masalah teknikal.
Daripada 20 IPTA, Pro-Aspirasi dilihat menang sekurang-kurangnya 13
universiti setakat Selasa lalu. Ia juga mendakwa telah menguasai
Universiti Malaya susulan pengundian semula kelmarin dan pendirian dua
wakil bebas dikatakan menyokong mereka. Bagaimanapun Pro-Mahasiswa
mendakwa kemenangan di UM masih memihak kepada mereka.
Sementara itu, menurut pensyarah Universiti Pendidikan Sultan
Idris, Prof Mohd Bustamam Abd Karim, kemenangan kumpulan Pro-Aspirasi
dalam pilihan raya kampus sesi ini merupakan indikator kepada PRU13.
“Kemenangan ini memberi kesan kepada golongan muda memandangkan
ramai daripada mereka merupakan pengundi baru yang layak mengundi,”
katanya.
Tambahnya, “malah ia memberi gambaran jentera pilihan raya sedia ada tidak kira Barisan Nasional ataupun pembangkang.”
Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari
Universiti Utara Malaysia pula berpendapat bahawa kemenangan
Pro-Aspirasi yang berjaya menawan dua pertiga IPTA itu bukan jaminan
sokongan ke atas BN dalam pilihan raya umum akan datang.
“Tidak semestinya, jika sekarang Pro-Aspirasi menang, semua pelajar akan menyokong ideologi mereka pada pilihan raya nanti.
“Ada juga pelajar yang menyokong
Pro-Aspirasi di kampus tetapi pada pilihan raya peringkat nasional
menyokong pembangkang begitu juga sebaliknya. Perkara ini sukar
diramal,” katanya.
Tiga penganalisis ini bersetuju bahawa
pilihan raya kampus merupakan proses yang signifikan dalam universiti
bagi memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menjadi pemimpin.
Mereka juga sependapat di mana perbuatan melabel pelajar seperti Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa merupakan satu kesilapan.
“Tindakan melabel pelajar ini silap.
Kita tidak boleh melabel pelajar sebagai Pro-Aspirasi atau Pro-Mahasiswa
kerana mereka pelajar.
“Apabila mereka menang dalam pilihan raya ini, pelajar yang menang. Bukan Pro-Aspirasi mahupun Pro-Mahasiswa,” jelas Jayum.
Menurut Azizuddin pula, kesemua pelajar
yang bertanding dalam pilihan raya kampus sebenarnya bertanding secara
individu dan sepatutnya tidak wujud Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa.
“Sewajarnya tidak wujud label seperti
ini tetapi hakikatnya, sejak dulu lagi memang wujud perlawanan ideologi
sehingga mewujudkan Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa,” katanya.
Bustamam pula berkata label Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa itu
hanya sekadar ‘cap’ sahaja yang akan dihapuskan selepas dilantik sebagai
MPP.
“Jangan sisihkan golongan minoriti yang menang tetapi berbeza
ideologi, kerana pemimpin perlu mengawal secara menyeluruh untuk
kemajuan semua pihak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan