HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Oktober 2012

Reformasi kerajaan tempatan, jika terpilih sekali lagi sebagai MB, kata Khalid Ibrahim


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau inginkan penduduk Selangor berbangga dengan bandar mereka. — Gambar fail
KUALA LUMPUR— Jika terpilih sekali lagi untuk memimpin negeri Selangor, reformasi kerajaan tempatan adalah antara agenda utama bagi negeri tersebut kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 “Saya mahu melakukan reformasi dalam kerajaan tempatan. Akan tetapi saya tidak mempunyai waktu untuk melakukannya.

“Kerajaan tempatan seharusnya menjadi operator kepada kerajaan negeri dari segi menguruskan bandar dan seharusnya mempunyai kemampuan untuk mencipta persekitaran dimana orang dalam bandar tersebut merasa memiliki bandar tersebut,” kata Abdul Khalid dalam wawancara bersama The Malaysian Insider baru-baru ini.

Menurut Abdul Khalid beliau mahu penduduk Selangor berbangga dengan bandar mereka sebagaimana penduduk kota London.

“Untuk menjadikan sesuatu bandar itu baik, kita harus mempunyai seseorang Datuk Bandar yang baik sebagaimana penduduk kota London yang berbangga dengan Datuk Bandar mereka yang tidak menyikat rambut itu,” katanya.

Datuk Bandar kota London, Boris Johnson yang terkenal dengan gaya rambutnya yang tidak bersikat membanggakan penduduk kota tersebut seperti penganjuran Sukan Olimpik 2012.

Menurut Abdul Khalid, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah diantara yang terbaik di negeri Selangor selain mempunyai kutipan hasil tertinggi.

“Saya baru sahaja melancarkan laporan tentang MBPJ yang memungut hasil menghampiri RM300 juta. MBPJ juga mempunyai penduduk majoritinya graduan yang mempunyai pendapatan yang berpatutan.

“Masalahnya sekarang, penduduk Petaling Jaya tidak merasakan Petaling Jaya sebagai bandar mereka, mereka melihat Kuala Lumpur sebagai bandar mereka dan Petaling Jaya hanyalah tempat tidur mereka.

“Inilah yang saya mahu ubah, penduduk Petaling Jaya harus merasa Petaling Jaya adalah bandar mereka” katanya.

Abdul Khalid percaya untuk mereformasikan kerajaan tempatan, cara berfikir masyarakat tentang peranan kerajaan tempatan harus ditukar.

“Apabila masyarakat dilibatkan dalam perbincangan untuk pembangunan sesuatu bandar itu, mereka akan merasa memiliki serta tidak keberatan untuk membayar apa sahaja yuran atau cukai demi untuk kepentingan sesuatu kerajaan tempatan itu.

“Mereka akan merasa bangga jika bandar mereka bersih dan selamat untuk didiami, bangga dengan persembahan kebudayaan dan pasukan sukan seperti pasukan bolasepak,” katanya.

Abdul Khalid adalah MB Selangor pertama bukan dari Umno semenjak pilihan raya pertama di jalankan selepas merdeka pada tahun 1959.

Buat pertama kali dalam sejarah, negeri paling kaya di Malaysia, Selangor jatuh ke tangan pakatan PKR, DAP dan PAS pada tahun 2008.

Selain daripada itu, majoriti tradisi dua pertiga BN juga dinafikan oleh pembangkang yang menubuhkan Pakatan Rakyat (PR) selepas kejayaan dalam pilihan raya 2008.

Selangor akan terus menjadi tumpuan dalam pilihan raya akan datang yang dijangka paling sengit dalam sejarah politik negara.

Isu air akan menjadi isu besar dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 dimana perlawanan panjang dan tuding-menuding jari antara PR dan BN dalam rangka untuk mengawal sumber air di Selangor, negeri terkaya di Malaysia telah membuka mata ramai pihak tentang berapa banyak jumlah wang yang bakal dipertaruhkan dan berpotensi menjadi satu lagi contoh kegagalan projek penswastaan era Mahathir.

Krisis ini juga boleh mempengaruhi undi dalam pilihan raya akan datang di Selangor dan Kuala Lumpur, bergantung kepada siapa yang bakal disalahkan sekiranya bekalan air mereka terputus.

PR sekarang memerintah Selangor dan memenangi 10 daripada 11 kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: