SINAR HARIAN
PUTRAJAYA - Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa
Malaysia (UNI-MLC) mendakwa lebih 500,000 pekerja swasta akan tamat
perkhidmatan jika pelaksanaan umur persaraan minimum 60 tahun untuk
sektor itu berkuat kuasa mulai 1 Julai.
Justeru, Presidennya Mohamed Shafie BP Mammal mahu Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam penentuan tarikh
penguatkuasaan umur persaraan minimum untuk pekerja sektor swasta dengan
menetapkannya pada 1 Januari bukannya 1 Julai.
"Dianggarkan dari Januari hingga Jun terdapat sekitar setengah juta
pekerja yang bersara iaitu hampir seratus ribu pekerja bersara setiap
bulan merangkumi syarikat kecil dan besar.
"Apa yang kita mahu pada hari ini ialah tarikh kuatkuasa dan tarikh
pelaksanaan itu mestilah disatukan. Jadi mereka yang telah bersara pada 1
Januari hingga Jun, terus diambil untuk bekerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai kira-kira
300 anggota UNI-MLC menyerahkan memorandum kepada pegawai khas perdana
menteri di sini hari ini.
Menurutnya keputusan kerajaan yang menetapkan tarikh kuat kuasa umur
persaraan pada 1 Julai ternyata mengecewakan pekerja yang terjejas dan
anggota keluarga mereka.
Pekerja juga perlu diberi peluang untuk memilih opsyen sama ada untuk
terus bekerja sehingga 60 tahun atau menamatkan perkhidmatan mereka pada
usia 55 tahun. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan