SINAR HARIAN
KUALA TERENGGANU - Mana-mana mangsa banjir yang menipu mengenai status
mereka untuk mendapatkan bantuan RM500 wang ehsan banjir Majlis
Keselamatan Negara (MKN) bakal berhadapan dengan tindakan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Penolong Setiausaha MKN Terengganu Mohd Sarif Hassan berkata
setiap mangsa banjir diwajib membuat surat perakuan melalui borang SPRM
dan mereka yang didapati menipu akan disoal siasat badan itu.
Beliau berkata MKN kini dalam peringat awal proses penyaluran wang
ehsan itu dan setakat ini pihaknya tidak mengesan sebarang penipuan.
"Oleh kerana kita nak mengelakkan mereka ini menerima wang secara tidak
jujur, kami perlu buat semakan yang terperinci (mengenai mangsa banjir)
dan ini akan mengambil sedikit masa.
"Jika ada penipuan, kami akan terus rujuk kepada SPRM," katanya kepada
pemberita selepas mengiringi isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah
Mansor pada Majlis Gotong-royong Persatuan Pandu Puteri Malaysia di
Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak di sini, hari ini.
Mohd Sarif berkata kriteria mangsa banjir yang mengambil kesempatan
ialah mereka yang tidak terlibat dengan banjir tetapi mendaftarkan diri
di pusat pemindahan serta tidak tinggal di pusat-pusat pemindahan yang
diwartakan.
Pada majlis itu Rosmah turut meluangkan masa membantu membersihkan rumah seorang mangsa banjir.
Rosmah yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia
menyampaikan cek RM5,000 sumbangan Pandu Puteri Malaysia kepada
perumahan kawasan berkenaan dan menyampaikan bantuan wang ehsan MKN
kepada 77 penerima.
Hampir 500 orang daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Skuad
Sayang Umno, Pandu Puteri Malaysia, Sukarelawan Bomba dan Penyelamat,
Belia Daerah dan Pemuda Umno bersama-sama bergotong-royong pada majlis
itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan