Exco kerajaan Selangor menegaskan gangguan
bekalan air berlaku kerana kegagalan Syabas menjalankan tugas seperti
dipersetujui dalam konsesi perjanjian
PETALING JAYA: Penduduk di Kuala Lumpur, Gombak dan Ampang yang terlibat ekoran kerosakan pam air di rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru yang menghadapi gangguan bekalan air disaran memfailkan tuntutan terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
“Kerajaan negeri bersedia menjadi saksi kepada pengguna bagi menfailkan tuntutan terhadap Syabas dengan membekalkan beberapa dokumen laporan siasatan terhadap kecuaian Syabas menyelenggarakan unit pam pam serta peralatan berkaitan.
“Semakan menunjukkan bahawa tidak berlaku sebarang situasi kekurangan air di kawasan yang terbabit kerana rumah pam Wangsa Maju menerima dan mengagih air terawat dari loji rawatan air Wangsa Maju (kapasiti 41 Juta Liter Sehari (JLS), Loji SSP1 (950 JLD) dan Loji SSP3 (800 JLS). Jumlah keseluruhan ialah 1,791 Juta Liter Sehari pada hari-hari biasa adalah jauh lebih mencukupi untuk kegunaan kawasan terbabit
“Kerajaan negeri berharap dengan menfailkan tuntutan tersebut, Syabas akan sedar dan bertanggungjawab terhadap penjagaan peralatan di fasiliti-fasilitinya demi menjamin bekalan air yang sempurna dan berterusan kepada pengguna di masa-masa akan datang,” kata Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar dalam satu kenyataan media hari ini.
Lebih 100,000 akaun pengguna berhadapan dengan gangguan bekalan air sejak enam hari yang lalu dan keadaan ini dijangka berterusan seminggu lagi.
Xavier mendakwa gangguan bekalan air tersebut berpunca daripada kegagalan dan kecuaian Syabas menyelenggara lima unit pam di rumah pam tersebut.
Beliau menegaskan bahawa rakyat perlu mengetahui bahawa soal pembekalan dan pengagihan air merupakan tanggungjawab Syabas.
“Rakyat harus diberikan penjelasan bahawa pembekalan dan agihan air adalah merupakan tanggungjawab Syabas dan bukannya kerajaan negeri seperti termaktub dalam perjanjian konsesi air.
Di samping itu, beliau menggesa agar rakyat tidak dijadikan tebusan ekoran krisis air yang dicipta dan keengganan kerajaan negeri untuk meluluskan projek pembinaan Loji Langat 2.
“Syabas tidak sepatutnya menjadikan rakyat sebagai “tebusan” dalam agenda ‘mereka cipta’ krisis air di Selangor ekoran keengganan Kerajaan Negeri memberikan kelulusan projek pembinaan Loji Langat 2.
“Kerajaan negeri ingin tegaskan bahawa kegagalan pam beroperasi di rumah-rumah Pam dibawah kendalian seratus peratus Syabas tidak ada kena mengena dengan pembinaan Loji Langat 2 seperti yang digembar-gemburkan oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan