HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Januari 2013

Unisel kosongkan asrama untuk keselamatan pelajar, sediakan kediaman sementara

NURKHAIRINI JUMARI & JANATUL FIRDAUS YAACOB

Anuar Ahmad
Prof Dr Anuar Ahmad
 
SHAH ALAM – Universiti Selangor (Unisel) muktamad dengan keputusan mengosongkan 44 blok mengandungi sembilan kluster penempatan asrama pelajar di Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor disebabkan mendapan yang berlaku bagi memastikan kesihatan dan keselamatan para pelajarnya terjamin.

Naib Canselornya, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, Unisel telah menyediakan kediaman sementara kepada kira-kira 3,000 pelajarnya yang sebelum ini menetap di asrama berkenaan termasuk 500 pelajar baru yang akan mendaftar hari ini.

Menurutnya, pelajar akan ditempatkan di kediaman sementara di Kota Puteri, Ijok; Azalea Court Bandar tasik Puteri, Rawang; Resort Mega Crystal Kuala Selangor; Taman Ilmu di Bestari Jaya dan sekitar Bukit Minyak di sini.

“Semua pelajar baru yang mendaftar pada hari ini akan ditempatkan di asrama Kota Puteri yang terdiri daripada 100 buah rumah berkembar dua tingkat di mana boleh menempatkan 1000 pelajar.

“Pelajar lama yang akan mendaftar pada 11 Januari ini akan ditempatkan di Azalea Court Bandar Tasik Puteri untuk pelajar perempuan manakala yang lain akan menginap di Bukit Minyak Bestari Jaya, Mega Crystal Resort Kuala Selangor dan Taman Ilmu Bestari Jaya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, ibu bapa dan pelajar tidak perlu risau kerana pihak Unisel turut menyediakan perkhidmatan bas ulang alik manakala kadar sewa bulanan RM200 sebulan termasuk pengangkutan, utiliti api dan air serta khidmat kawalan keselamatan.

Kira-kira 3,000 pelajar Unisel Kampus Bestari Jaya tinggal di asrama daripada lebih 6,000 pelajar yang kini mengikuti pengajian sepenuh masa peringkat Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Asas di kampus berkenaan.

Dr Anuar turut menegaskan bahawa Unisel tetap dengan keputusan itu walaupun syarikat konsesi pengurusan asrama iaitu Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) sebelum ini memberi maklumbalas bahawa struktur bangunan asrama selamat didiami.

“Langkah ini diambil berikutan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor yang mendapati bangunan asrama pelajar menghadapi masalah pemendapan menyebabkan kerosakan serius pada sistem kumbahan yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselesaan pelajar.

“JKR Selangor melaporkan keseluruhan struktur tidak mengalami kerosakan dan tidak membahayakan tetapi geoteknikal mendapati keadaan mendapan tanah di sekeliling masih mengalami aktiviti mendapan dan menyebabkan semua servis seperti sistem kumbahan, kabel bawah tanah, sistem perparitan dan jalan mengalami kerosakan yang serius,” katanya.

Beliau berkata, laporan itu juga mendapati apron bangunan dan longkang perimeter bangunan termasuk pendawaian kabel elektrik bawah tanah semakin tegang dan hampir putus dan boleh mengundang isu keselamatan kepada penghuni bangunan terbabit.

“Kita akan mengadakan perjumpaan sekali lagi dengan JKR pada Isnin untuk membincangkan penyelesaian masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Anuar menjelaskan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM20 juta kepada Unisel Kampus Bestari Jaya untuk kerja baikpulih struktur tanah di kampus tersebut yang telah dikesan kerosakannya sejak tahun 2005 selepas siap dibina pada tahun 2002.

Menurutnya, bagaimanapun peruntukan tersebut tidak dapat disalurkan kepada JNSB kerana Unisel ingin mengadakan rundingan dan timbang tara namun ditolak syarikat tersebut.

“Dua kali pihak Unisel menghantar surat kepada JNSB untuk mengadakan rundingan bagaimanapun mereka tidak memberi maklum balas. Macam mana kita nak bayar,” katanya.

Menurutnya, kajian jurutera perunding yang dilantik melaporkan untuk menimbus bekas tapak lombong bahaya dan sekiranya menggunakan kaedah buih, memerlukan kos yang tinggi dengan anggaran RM60 juta sedangkan kos pembinaan asrama hanyalah RM45 juta.

“Dengan kos tinggi itu, lebih baik kita bina blok asrama baru , dan jadikan lokasi berkenaan sebagai padang bola," katanya.

Tiada ulasan: