SINAR HARIAN
KOTA KINABALU - Dua kematian dilaporkan dipercayai akibat keracunan
selepas memakan kerang yang dicemari toksik berpunca daripada fenomena
air merah di perairan pantai barat Sabah sejak keadaan itu dikesan dua
bulan lepas.
Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Rayner Stuel Galid berkata kedua-dua kematian dilaporkan di Sepanggar, Rabu lepas.
Beliau berkata sampel air laut yang diambil di perairan Sepanggar
mencatatkan bacaan toksin yang tinggi mencapai 6,000 unit mouse (MU).
"Ini menunjukkan tahap pencemaran air merah di perairan berkenaan amat
tinggi kerana bacaan yang mencapai 400 MU sudah cukup bertoksin dan
membahayakan," katanya.
Rayner berkata pencemaran air merah dikesan di perairan Papar, Putatan, Tasik Sitompok di Kuala Penyu di sini dan Tuaran.
Katanya, orang ramai yang memakan hidupan laut yang dicemari toksin
berkenaan boleh mengalami keracunan 'paralytic shellfish poisoning'
(PSP) dan jika tahap toksinnya tinggi boleh menyebabkan lumpuh serta
kematian.
"Fenomena ini dijangka berterusan sehingga Mei depan dan jabatan akan
terus memantau dan memberikan maklumat dari semasa ke semasa untuk
keselamatan orang ramai," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memakan kerang,
siput dan ikan kecil sementara ikan laut dalam, sotong dan ketam boleh
dimakan tetapi perlu dibuang insang dan dibersihkan dengan baik. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan