SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Cadangan menetapkan kos pengambilan pembantu rumah dari
Indonesia pada harga RM6,700 oleh Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing
Malaysia (Papa) bukan sahaja tidak munasabah malah turut membebankan
majikan.
Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Fauzi Engku
Muhsein berkata, mereka membantah cadangan struktur kos baharu itu dan
menganggapnya satu kesilapan yang serius jika dilaksanakan.
"Jika keputusan itu benar hendak diambil, saya tidak bersetuju kerana
terang-terang harga itu tidak munasabah dan masih tinggi dan hanya akan
membebankan majikan lagi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pengumuman oleh Presiden Papa, Jeffrey Foo
semalam bahawa kos pengambilan pembantu rumah Indonesia ditetapkan pada
harga RM6,700, berkuat kuasa serta merta.
Struktur kos baharu itu tidak termasuk tambahan RM1,800 sebagai
pinjaman kepada pembantu rumah untuk berkongsi yuran Penempatan Tenaga
Kerja Indonesia Sektor Domestik di Indonesia.
Foo berkata, cadangan struktur kos baharu itu dicapai antara pihaknya
dengan Asosiasi Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (APJATI) dan
berharap cadangan yuran baharu itu dapat diterima oleh kerajaan Malaysia
dan Indonesia.
Engku Fauzi turut meluahkan kehairanan mengapa hanya PAPA terlibat dalam rundingan dengan Apjati.
"Pandangan semua pihak termasuk Mama perlu diambil kira agar keputusan
sepakat boleh dicapai tetapi kami hairan kenapa kami tidak dilibatkan
dalam rundingan... jika satu pihak yang letakkan harga, itu tidak sihat
malah majikan yang menjadi mangsa.
"Kami percaya banyak cara alternatif untuk mengurangkan kos dan kami
boleh buktikan harga tersebut boleh direndahkan sekiranya pandangan kami
turut diambil kira," katanya.
Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Indonesia dan
Malaysia sebelum ini, bayaran kepada agensi pembantu rumah asing
Indonesia ditetapkan sebanyak RM4,511 iaitu RM2,711 dibayar oleh majkan
dan RM1,800 oleh pembantu rumah berkenaan.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia
(Pikap), Datuk Raja Zulkepley Dahalan ketika dihubungi berkata pihaknya
akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi memperjelaskan
cadangan itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan