PETALING JAYA : Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri mendedahkan, syarikat Grand Entity Sdn Bhd (GEHSB) yang diterajui pemimpin Umno Selangor, Hamzah Apandi, punca 34 peserta penanam nenas yang menyertai Skim Projek Pembangunan Usahawan (SPPU) kerugian RM408,000.
Beliau mempersoal peranan Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani dan agensi berkaitan yang membisu terhadap penyelewengan berkenaan.
“Hamzah Apandi, salah seorang pengarah syarikat GEHSB yang ada kaitan dengan Umno Selangor,” dedah Yahya.
“Masalah yang timbul sekarang ialah kegagalan GEHSB membayar ansuran bulanan kepada Agro Bank sehingga semua peserta disaman.
“Bagaimana agensi kerajaan boleh terlibat secara langsung dalam skim ala Pak Man Telo tersebut?” soal Yahya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN hari ini.
Menurut Yahya, GEHSB sebelum ini membentangkan kertas kerja SPPU, antaranya projek tanaman nenas dan ternakan lintah dan disokong agensi kerajaan termasuk Lembaga Penanaman Nenas Malaysa (LPNM) dan Agro Bank.
Projek Nenas di Taman Agroteknologi (TKPM) Bestari Jaya itu bermula pada 2010 disertai 34 orang dengan setiap mereka membuat pinjaman berjumlah RM200,000 melalui Agro Bank Cawangan Tanjong Karang.
“Setelah lebih dua tahun projek ini berjalan. Semua peserta tidak mendapat apa-apa hasil. Akaun pinjaman tertunggak lebih setahun dan tuntutan saman berjumlah RM17,000 setiap peserta,” kata Yahya yang juga Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Permatang.
Peserta pula menurut Yahya, beberapa kali menghubungi pengurusan GEHSB, namun talian telefon tidak aktif.
Lebih dikesali, kata beliau lagi, Agro Bank tahu siapa yang patut melunaskan pinjaman itu.
“Antara syarat kelulusan pinjaman ialah akujanji dari pihak GEHSB untuk membayar balik pinjaman, tetapi apa yang berlaku peserta pula disaman,” tegasnya.
“Kami hairan bagaimana pihak Agro Bank begitu mudah menyalurkan pinjaman walaupun mengetahui keadaan GEHSB yang tenat dan tidak berdaya maju?” soal Yahya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan