HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Januari 2013

Felda tiada hak halang ceramah Pakatan – Peguam

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Tindakan pengurus Felda mengeluarkan arahan menghalang ceramah dan aktiviti politik Pakatan Rakyat di gugusan Felda sejak kebelakangan ini dianggap melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Penasihat Undang-undang Anak, Haris Abdullah (gambar) berkata, tidak wujud sebarang seksyen atau undang-undang dibenar bertentangan Perkara 10 Perlembagaan yang mengiktiraf kebebasan bersuara dan berhimpun.

Menurutnya, terdapat bukti surat pekeliling dikeluarkan oleh ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur mengarahkan pengurus menghalang ceramah atau aktiviti politik bukan Umno BN di kawasan Felda menggunakan Seksyen 34 Akta Penempatan Berkelompok (GSA).

“Kita telah mengkaji akta GSA dan tidak jumpa kuasa yang memberi hak untuk Felda menghalang aktiviti politik.

“Kalau ada pun, seksyen itu tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Fasal 4, Fasal 9 (2) dan Fasal 9 (3) jelas memperuntukkan kebesasan rakyat bergerak dalam mana-mana kawasan persekutuan Malaysia.

“Hanya Sabah dan Sarawak mengikut Perlembagaan dibenar mengenakan larangan masuk. Atau kawasan wabak bencana. Namun Felda bukanlah dalam kategori tersebut.

“Pihak Anak akan membuat saman pemula di mahkamah dan mohon perisytiharan arahan yang dibuat (menyekat ceramah) oleh pengurus Felda sebagai tidak sah. Sekiranya berjaya tetapi masih wujud sekatan maka pihak yang menyekat boleh dikenakan hukuman penjara kerana menghina arahan mahkamah,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, semalam.

Menurut Haris lagi, peristiwa pada 22 Disember tahun lalu apabila Kembara Oren Anak disekat di Felda Jengka 12 menggunakan pasukan Rela dan menutup pagar serta menghalang laluan masuk sama sekali bertentangan dengan akta GSA.

Katanya, Seksyen 34 GSA yang dirujuk tidak menjelaskan kuasa Felda melakukan sekatan terhadap aktiviti politik yang dilaksana oleh peneroka.

Tiada ulasan: