SHAH ALAM:
Selangor akur dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris
Shah bahawa kalimah Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat
Islam tidak boleh sama sekali digunakan di negeri Selangor oleh
mana-mana agama bukan Islam.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim berkata penggunaan kalimah Allah itu mengikut kepada tetapan
yang telah difatwakan dan diwartakan oleh kerajaan negeri pada 18
Februari 2010.
“Mengikut
warta kerajaan, lafaz kalimah Allah merupakan kalimah suci yang khusus
bagi agama serta umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau
disamakan dengan agama bukan Islam yang lain.
“Oleh itu,
wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan
sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap
kalimah tersebut, maka ia perlu disekat,” katanya kepada pemberita di
sini, Rabu.
Baru-baru
ini Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilaporkan membangkitkan
semula isu kalimah Allah melalui laman blognya dengan menggesa kerajaan
pusat membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah
Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.
Berikutan
gesaan itu, Sultan Selangor melalui Setiausaha Majlis Agama Islam
Selangor (Mais) Datuk Mohd Misri Idris mengeluarkan satu kenyataan pada
Selasa dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah merupakan
kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan
di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam lain sebagaimana
yang telah diwartakan.
Sultan
Selangor turut menitahkan Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)
mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sama ada orang bukan
Islam atau di kalangan orang Islam sekalipun yang masih mempersoal atau
memperlekeh fatwa yang telah dikeluarkan mengikut peruntukan
undang-undang sedia ada di Selangor.
Mengenai
pendirian Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju
orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah, Abdul Khalid
enggan mengulas dan berkata pendirian kerajaan negeri mengikut apa yang
telah diwartakan.
“Di
Selangor, kalimah Allah dijaga di bawah Enakmen Kerajaan Negeri supaya
tiada unsur penghinaan dan penyalahgunaan berlaku dan kita mengikut apa
yang telah kita wartakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan