SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Seorang anggota biro Undang-undang Majlis Agama Islam
Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini mencadangkan sebuah Suruhanjaya
Kedaulatan Agama Islam ditubuhkan bagi mengatasi ancaman-ancaman baru
terhadap agama Islam di negara ini.
Mahamad Naser Disa berkata suruhanjaya itu perlu dinaungi oleh Yang
di-Pertuan Agong dan dianggotai ilmuan agama supaya setiap masalah dan
aduan berkaitan agama Islam dapat diselesaikan secara muzakarah.
Beliau berkata meskipun Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf dan
memartabatkan kedaulatan Islam, namun kini terdapat pihak tertentu
sering melakukan pelbagai usaha bagi menimbulkan kekeliruan di kalangan
umat Islam.
"Islam tidak sepatutnya dijadikan bahan pertimbangan politik.
Penglibatan Majlis Raja-Raja akan dapat pastikan Islam sentiasa
didaulatkan," katanya ketika membentang kertas kerja bertajuk
"Ancaman-ancaman terhadap Kedaulatan Islam Sebagai Agama Negara" pada
Seminar Mendaulatkan Islam Agama Negara (SEMAIAN) di Pusat Islam di
sini.
Katanya suruhanjaya itu perlu memastikan semua pihak termasuk rakyat
bukan Islam untuk menghormati kedaulatan Islam sebagai agama
Persekutuan.
Beliau berkata ancaman kepada Islam boleh timbul dalam situasi yang
dianggap kecil dan tidak penting seperti mengutamakan kepentingan hak
asasi manusia serta mainan politik agama sesetengah pihak.
"Prinsip hak asasi manusia akhir-akhir ini telah melampaui batas agama
Islam. Tuntutan untuk membolehkan umat Islam murtad, hak kepada LGBT
(Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual) dan hak kesamarataan agama
dikemukakan dalam suasana politik negara yang dirasakan memberi peluang
untuk menghentam Islam," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Datuk Mustapha Othman berkata cadangan penubuhan suruhanjaya itu sedang
dipertimbangkan dan dijangka ditubuhkan akhir tahun ini.
Beliau berkata Institut Kajian Strategik Islam Malaysia yang turut
dicadang untuk ditubuhkan telah pun mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.
"Institut itu akan ditubuhkan bila-bila masa," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)
Datuk Ibrahim Ali berharap satu memorandum berkaitan memperkasa
kedaulatan agama Islam yang ditandangani semua ilmuan agama dan tokoh
perundangan terkenal negara ini dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong
dan Perdana Menteri.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan