HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Mei 2013

Mahasiswa, anak muda sokong PR demi masa depan

Ibnu Shahid,




Malaysia adalah sebuah negara yang amat subur dengan pelbagai sumber aslinya. Hasil minyak, gas, bijih timah, emas, sumber asas tani seperti getah, kelapa sawit dan pelbagai sumber lain lagi adalah anugerah Allah kepada seluruh rakyat di Malaysia seluruhnya.

Boleh dikatakan dengan adanya segala sumber ini negara mampu untuk menampung seluruh keperluan rakyatnya yang berjumlah kira-kira 28 juta ini. Namun apa yang berlaku sejak lebih 50 tahun negara merdeka, masih ada lagi rakyat yang hidup melarat, miskin tegar dan boleh dikatakan yang makan gaji juga hanya cukup-cukup makan sahaja.

Persoalan yang berlegar kenapa perkara ini boleh terjadi? Bukankah kita ada sumber minyak yang melimpah ruah dan kekayaan sumber asli yang lain? Di manakah hasil kekayaan negara ini disimpan?

Tidakkah kerajaan bijak dalam mengagihkan sumber kekayaan negara kurniaan Tuhan ini?

Adalah tidak boleh diterima akal sebuah negara yang kaya dengan sumber aslinya selama ditadbir oleh kerajaan yang diwar-warkan "hebat" ini masih lagi tidak mampu memberikan khidmat kebajikan yang baik kepada seluruh rakyatnya terutama di Sabah dan Sarawak?

Baru-baru ini saya ada membaca Menifesto PR dan juga Menifesto BN. Bila saya mengamati kedua-dua Manifesto tersebut amatlah tidak menghairankan saya kenapa majoriti anak muda sekarang ini terutamanya mahasiswa yang cerdik pandai menyokong PR.

Dalam kandungan Manifesto PR antaranya kerajaan PR akan diberikan pendidikan percuma kepada rakyat. Siapa yang tidak suka akan tawaran ini? Kenapa PR begitu yakin boleh memberikan pendidikan percuma kepada rakyat?

Semua terjawab di dalam penerangan-penerangan yang konkrit beserta fakta termasuk dalam penerangan mereka di dalam ceramah-ceramah mereka.

Saya begitu tertarik dan teruja dengan hujah Saudara Rafizi Ramli dalam memperincikan  Manifesto PR tersebut yang mudah diakses di dalam laman Youtube.

Bukan sahaja pendidikan percuma, saya fikir  segala yang dijanjikan dalam Manifeso PR tersebut adalah yang terbaik ditawarkan sepanjang tempoh lebih 50 negara merdeka.

Inilah masanya kita perlu memberikan laluan kepada PR agar mereka dapat membuktikan janji mereka kepada rakyat seluruhnya.

Putrajaya bukanlah barang yang boleh diwarisi oleh kroni. Ianya juga bukanlah warisan UMNO dan BN. Ianya adalah lambang  demokrasi  dan rakyatlah yang akan menentukan siapa yang akan menerajui Putrajaya di dalam pilihanraya akan datang ini.

Kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengulangi agar rakyat jangan menjadikan pilihanraya sebagai eksperimen amat menggelikan hati. Beliau ingin rakyat terus menyokong BN dan jangan menggadaikan negara dengan memberikan tampuk pemerintahan kepada kerajaan PR.

Ironinya beliau juga yang kata negara kita mengamalkan demokrasi. Di mana demokrasainya jika UMNO dan BN sahaja yang memonopoli pemerintahan sejak sejak negara merdeka lagi?

Bagaimana rakyat ingin membuat perbezaan  yang mana lebih baik di antara kerajaan BN dan kerajaan PR jika langsung PR tidak diberikan peluang? PR kalah 13 kali dalam pilihanraya untuk menerajui negara sedangkan BN dah menang 13 kali sepanjang pilihanraya diadakan.

Jadi momentum sekarang ini ramai di kalangan anak muda berkata kita akan “Ubah” dan isyarat ini semakin jelas berkumandang apabila tarikh keramat 05 Mei 2013 ini semakin hampir.

Marilah kita anak muda membuktikan “kuasa rakyat” demokrasi subur di negara tercinta ini. Ini kali lah…


Tiada ulasan: