HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Mac 2014

Rakyat digesa berjimat, kos jamuan PM, menteri pula meningkat

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: Perbelanjaan rumah terbuka Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri menunjukkan berlaku peningkatan dari dari tahun 2009 hingga 2013.

Kos perbelanjaan makan dan minum bagi tahun 2009 sebanyak RM 1.7 juta, tahun 2010 (RM 2.1 juta), 2011 (RM 1.7 juta), 2012 (RM 2.8 juta) dan tahun 2013 (RM 2.9 juta).

Majlis tersebut dihadiri oleh pelancong asing serta tetamu kenamaan dalam kalangan ketua jabatan kerajaan, duta-duta dan perwakilan asing di Malayia serta tokoh-tokoh korporat tempatan dan luar negara.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan kerjaan yang selalu mengingatkan rakyat supaya berjimat cermat apabila dibebani dengan kenaikan kos hidup.

"Tetapi melihat perbelanjaan rumah terbuka Perdana Menteri ini, adalah sangat tidak wajar kerajaan berbelanja begitu besar? Hanya untuk rumah terbuka,"bidas Mahfuz.

Beliau turut mempersoalkan mengapa perbelanjaan rumah terbuka pada tahun 2013 begitu besar sedangkan jumlah pelancong asing pada tahun itu menurun berbanding negara jiran Thailand.

Tegasnya, kerajaan wajar mengkaji semula program seperti ini kerana ia membabitkan perbelanjaan yang semakin bertambah tiap-tiap tahun.

"Ataupun kerajaan boleh mencari katering lebih murah dalam masa yang sama kerajaan buat penelitian setiap tahun tentang perbelanjaan. Nampaknya tidak!"katanya merujuk kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim untuk soalan lisannya pada 27 Mac 2014

MH370: Menteri jangan mainkan parlimen dengan jawapan andaian

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Pemuda Pemuda PAS Malaysia menggesa pihak kerajaan supaya tidak bermain dengan andaian dalam isu yang melibatkan keselamatan negara.

Timbalan Kketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi (gambar) berkata, pihaknya kecewa dengan jawapan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri dalam Parlimen 26 Mac lalu bahawa TUDM sekadar beranggapan bahawa pesawat MH370 yang berpatah balik, mendapat arahan dari menara kawalan.

"Tidak layak bagi sidang Parlimen dan rakyat diberikan jawapan berdasarkan andaian untuk isu pertahanan negara dan tragedi MH370 yang kedua-duanya mempunyai kepentingan nasional.

"Ianya menjatuhkan maruah dewan yang mulia dan mandat rakyat yang mahukan jawapan yang telus dan benar ketika soalan ditanyakan secara rasmi di dalam Parlimen," kata beliau.

Khalil mempersoal, sudah lebih 20 hari insiden ini berlaku, apakah yang terlalu sukar untuk kerajaan mendapat kepastian tentang apa yang berlaku di stesen radar tentera pada malam kehilangan MH 370 sehinggakan kerajaan masih memberi jawapan berdasarkan andaian? 

Sesungguhnya isu MH 370 ini kata beliau, terus mendedahkan sikap kerajaan yang memandang enteng institusi Parlimen dengan memberikan jawapan-jawapan yang santai.

"Sekiranya benar andaian tersebut, apakah bukan menjadi protokol keselamatan untuk pihak tentera mengesahkan dengan pihak menara kawalan penerbangan awam (DCA) bahawa terdapat penerbangan awam yang mencurigakan?

"Apakah terlalu sukar untuk kawalan perintah tentera membuat panggilan telefon ke menara kawalan DCA untuk pengesahan," soal beliau lagi.

Beliau turut menuntut pengesahan dari pihak kerajaan Malaysia serta Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat mengenai status latihan ketenteraan yang berlangsung di Trang dan Korat, Thailand, dari 2 hingga 11 Mac dan 10 hingga 21 Mac baru-baru ini.

Latihan tentera udara di Korat sebagai contohnya melibatkan 76 pesawat dan 42 sistem pertahanan darat ke udara dari AS, Thailand dan Singapura.

"Apakah latihan ketenteraan tersebut telah menyebabkan pihak tentera kita membuat terlalu banyak andaian sehinggakan fokus pengesahan, pengesanan dan pencarian MH 370 terganggu?      

"Oleh itu saya bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen PAS Pokok Sena agar panel penyiasatan di Raja ditubuhkan bagi menyiasat insiden ini.

"Aspek pertahanan negara harus menjadi sebahagian dari proses siasatan ini kelak dan tidak boleh disisihkan agar rakyat jelas dengan kronologi tragedi MH370 ini," tegas beliau.

Getah: Pekebun tanggung kos tak wajar

ANIS NAZRI 


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menuntut kerajaan memenuhi lima tuntutan berkaitan harga getah yang merudum muktahir ini bagi membela golongan penoreh memperoleh kehidupan yang lebih terjamin.

Selain memberi kuasa kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) mendapatkan dokumen kontrak syarikat yang menjadi rujukan harga purata getah, Pemuda PAS turut mendesak kerajaan menetapkan harga lantai yang munasabah bagi pekebun kecil getah, menetapkan harga kos atau harga kilang pada aras RM1 bagi setiap kilogram getah.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat, turut menyeru kerajaan agar mengkaji kesesuaian pekebun menanggung kos penyelidikan dan kos tanaman semula dalam keadaan harga getah yang sangat rendah serta memberi bantuan jangka pendek kepada pekebun kecil.

"Berdasarkan rujukan kami di laman web LGM, kami mendapati penentuan harga pekebun kecil mengikut harga getah SMR20. Terdapat 11 syarikat yang menawarkan harga bagi penentuan harga getah, namun LGM hanya menentukan purata harga tawaran belian getah daripada 11 syarikat tersebut yang dijadikan harga getah harian SMR20," kata beliau pada satu sidang media, di Pusat Media PAS, hari ini.

Tambah beliau, pihak LGM sebagai mewakili kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengesahkan sama ada harga tawaran yang diberikan syarikat itu mengikut harga pasaran sebenar ataupun tidak.

Beliau turut menyatakan, berdasarkan semakan harga SMR20 pada bulan Januari, Februari dan Mac 2014, terdapat hanya tiga syarikat yang menawarkan harga di atas purata berbanding lapan syarikat yang menawarkan harga di bawah purata.

"Keadaan ini menjadikan semakin rendah tawaran dan semakin banyak syarikat yang menawarkan harga rendah, maka semakin rendahlah purata harga SMR20.  Apabila harga SMR20 rendah maka pekebun-pekebun kecil akan menerima harga yang rendah," jelas beliau lagi.

Tambah Suhaizan lagi, perbezaan antara tawaran harga daripada syarikat yang paling tinggi dengan yang paling rendah juga ketara iaitu pada bulan Januari sebanyak 64 sen, Februari sebanyak 51 sen dan Mac sebanyak 44 sen bagi setiap kilo SMR 20.

Dalam pada itu, Suhaizan beranggapan pekebun kecil seumpama tempat pelupusan beban pengilang dan kerajaan apabila mereka terpaksa menangung kos proses kilang, kos penyelidikan dan kos tanaman semula.

Malah, katanya mereka juga terpaks menanggung kerugian apabila harga modal bagi satu kilogram 'cuplump' adalah RM2.80, sementara berdasarkan Memorandum Pekebun Kecil Getah Generasi Ke-2 Kampung Nyalas Melaka adalah RM3.21.

"Jika mengikut harga modal yang ditetapkan oleh LGM pun pekebun kecil sudah rugi RM0.47 bagi setiap kilogram 'cuplump'.

"Justeru, kami menuntut kerajaan untuk memenuhi lima tuntutan di atas bagi memastikan golongan ini benar-benar dapat dijamin kehidupan mereka," tegas beliau.

Lojing yang indah dan hebat dimata?

MSO


Selasa lepas menghantar anak perempuan ke kampusnya di Seri Iskandar, Perak saya melalui Simpang Pulai menuju Lojing untuk pulang ke kampung halaman di kampung Gual Nibong, Rantau Panjang, Kelantan. Perjalanan bersama tiga beranak tengah hari itu dari Simpang Pulai hingga ke Gua Musang melalui Lojing, melalui bukit bukit, menurun cerum dan lembah, sangat menyeronok dan menyegarkan minda.

Beginilah pemandangan disepanjang jalan di Lojing.
Pemandangan alam semula jadi yang segar di beberapa buah kampung Orang Asli, Post Broke, Kampung Raja dan lain hinggalah ke simpang ke Kuala Betis di Gua Musang mendamaikan. Alam flora dan fuana semulajadi masih kekal menjadikan keamanan yang dinikmati di negara ini bertambah-tambah.

Apa lagi angin dari tanah tinggi Lojing yang ketinggi 2,000 meter dari paras laut berhembus dari lereng-lereng banjaran Titiwangsa menyegar dan melegakan nafas.


Kesejutan deruan anginnya cukup membolehkan kita tidak memerlukan penghawa dingin dalam kereta. Jarak dari Simpang Pulai ke Gua Musang sekitar 110 km, keadaan jalan yang lawas dan terelak kesibukan dan jam memakan masa kira-kira 1 jam 15 minit.

Agak lama saya tidak melalui tanah tinggi Lojing ini. Kali terakhir ialah kira-kira empat tahun lalu, sebelum pilihan raya umum ke-13. Kerja-kerja pembotakan dan menarah bukit bukau di Lojing pernah menjadi isu hangat. Ia dikaitkan dengan kegagalan kerjaaan Kelantan dalam melihara alam sekitar. Disebabkan kebimbang kerana berlaku pencerobohan menyebabkan Lojing diawasi secermatnya di pembentukannya sebagai daerah kecil Lojing dilaksanakan pada tahun 2005.

Lojing sudah jadi bandar sayur.
Satu dokumentari khas mengenai pembotokkan tanah tinggi Lojing disediakan. Ia memberi gambaran kerakusan pihak berkuasa kerajaan Kelantan. Video dan foto stil disebarkan dalam internet. Apa yang ditunjuki oleh gambar-gambar itu suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Memang banyak bukit bukau di Lojing digondolkan. Malang sedikit pendedahan itu tidak begitu tepat dan berasas fakta jitu menyebabkan ia dilihat semata-mata kerana ingin memburukkan kepimpinan kerajaan Pas Kelantan yang ketika itu dibawah pimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Khemah sayur dari bawah hingga ke puncak bukit.
Masih saya ingat, seorang bekas Exco pernah menjawab isu yang dibangkitkan itu. Menurutnya pembotakan memang berlaku di tanah tinggi Lojing untuk tujuan pembangunan. Penarahan bukit bukau untuk tujuan industeri pertanian tidak dapat dielakkan. Tetapi yang penting pembugaran alam semujadi itu masih mematuhui piwaian yang ditentukan termasuk Penilaian Alam Sekitar (EIA).

Ketenangan di sebatang jalan di Lojing.
Sebagai rekod, tanah tinggi Lojing mula diusik pada zaman kerajaan Kelantan dibawah UBN lagi. Dari tahun 1985 seluas 3,978.98 hektar telah dibugar menerui beberapa agensi kerajaan. Antaranya ialah PKINK, Yakin, KADA dan dua buah syarikat Multi Syestem dan Jasa Benar. Manakala sejak tahun 1990 hingga tahun 2008 dizaman Pas memerintah, kerajaan Kelantan memberi lesen kepada 22 buah syarikat pembalakan dan juga pertanian.

Pembugaran oleh syarikat-syarikat yang diberi lesen masih mengikut peraturan yang ditetapkan. Hanya kalau ada pun pencerobohan ialah oleh peladang sayur yang tamak dan tidak tahu tata rakyat meluaskan kawasan mereka tanpa merujuk kepada pejabat tanah.

Pembangunan masih terpelihara, ini terbukti bila mana tidak banyak syarikat yang dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan telah ditetapkan. Dalam kata lain suasana dan pembangunan di Lojing masih terkawal dan mengikut lunas-lunas pembangunan alam yang dikanunkan. Berertinya, kerajaan Kelantan baik dizaman Nik Aziz membawa ke zaman Ahmad Yaakub mengawasi pembangunan di tanah tinggi Lojing itu sesuai dengan pembangunan yang dituntut oleh undang adat dan agama juga.

Manakala ternyata apa dijelaskan bkas exco dulu itu benar. Hari ini bukit bukau yang berbanjaran di pinggir jalan Lojing ke Gua Musang yang dulu gongol kini sudah tidak botak lagi. Ibarat kepala yang rambutnya dicukur kini ia sudah tumbuh kembali. Menghijau. Kawasan yang dulu 'lebut' dan terang kini dipenuhi dengan ribuah kehemaah atau cnopy sayur-sayuran. Bagaimana kelihatan bukit-bukit yang kelihatan botak kini adalah bukit yang baru ditarah.

Sungguh merujakan saya tatkala melewati sepanjnag jalan di Lojing. Ia mengenangkan saya kepada apa yang disaksikan di Arafah pada musim haji, dimana Arafah dipenuhi dengan khemah jemaah. Suasana memutih, dikiri kanan dan jalan hingga ke puncak bukit, menjulung rasa bangga di dalam hati. Loijing kini benar-benar sudah menjadi kawasan perindusterian sayur mayur menyamai Cameron Hinghland.

Di samping hati merasa bangga dengan pemandangan itu, kerana ia menggambarkan kehebatan Kelantan dalam industeri pertanian, di dalam hati tertanya-tanya siapakah yang memiliki semua perkebunan itu? Apakah ianya kepunyaan rakyat Kelantan atau pun rakyat asing? Kalau ia kepunyaan rakyat Kelantan berapakah nisbahnya berbanding dengan syarikat-syarikat asing? Dan apakah agensi kerajaan yang menjadi penjana kewangan untuk negeri seperti Kompleks Pertanian Kelantan (KPK), PKINK atau Yakin dan lain-lain turut memilik aset di tanah tinggi itu?

Pertanyaan ini menuntut satu penjelasan yang tidak perlu dijawab. Sekiranya agensi kerajaan ataupun syarikat-syarikat GLC Kelantan turut memilik aset dengan apa yang ada di tanah tinggi Lojing itu, amatlah berbesar hati kita semua selaku rakyat Kelantan. Tetapi kalau ia adalah milik orang asing dan kerajaan hanya mengutik hasil tidak seberapa, jadilah pembangunan dan kemakmuran dilihat di tanah tinggi Lojing itu tidak membawa banyak erti.

Kita hanya akan dapat melihat keindahan dan kehebatannya, tatakala melalui lenggang lenguk sepanjang jalan ke Lojing, tetapi tidak dapat merasai hasil kemakmuran. Maka apa yang ada di Lojing itu tak lebih dan tidak kurang sebuah pemandangan panorama indah sebuah lukisan minyak dalam kanvas, ia boleh dilihat tetapi tidak boleh disentuh dan rasa.

Objek dikutip tiada kaitan dengan MH370

MH370


KUALA LUMPUR - Beberapa objek yang dikutip oleh HMAS Success dan Haixun 01 pada Sabtu telahpun diperiksa dan dipercayai tiada kaitan dengan MH370 yang hilang pada 8 Mac.
  
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) malam tadi, berkata objek berkenaan diperiksa di atas kedua-dua kapal dan dinyatakan sebagai peralatan menangkap ikan dan buangan terapung.
  
Bagaimanapun, menurut AMSA, pesawat di kawasan pencarian terus melaporkan penemuan objek serupa seperti yang dilaporkan sebelum ini.
  
Objek yang dikesan tidak dapat disahkan atau dianggap sebagai serpihan dari pesawat MH370. Setakat ini, tiada objek yang disahkan adalah dari MH370.
  
Pesawat Boeing 777-200ER, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang dari radar pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.

Penerbangan MH370, yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
  
Menurut AMSA, aktiviti pencarian hari ini meliputi kawasan seluas 252,000 kilometer persegi membabitkan sembilan pesawat.
  
Antaranya, dua pesawat P3 Orion Tentera Udara Diraja Australia (RAAF), sebuah pesawat P3 Orion Jepun, pesawat Ilyushin China, sebuah pesawat P3 Orion Tentera Laut Korea Selatan, sebuah pesawat P8 Poseidon Tentera Laut Amerika Syarikat, sebuah pesawat C-130 Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia dan dua pesawat awam.
  
Kenyataan itu juga menyebut lapan kapal ditugaskan di kawasan pencarian MH370 dan ini merupakan jumlah terbesar yang pernah menyertai operasi SAR setakat ini.
  
Menurut kenyataan itu, cuaca di kawasan pencarian agak baik dengan jarak penglihatan melebihi 10 kilometer.
  
Sementara itu, Kapal Kementerian Pertahanan Australia 'Ocean Shield' dijadual berlepas dari Perth hari ini selepas dilengkapi alat pengesan kotak hitam dan kenderaan di bawah air.
  
Operasi pencarian bersambung hari ini. - Bernama

Berkata Hanya Yang Benar Atau Diam Jika Tidak Tahu Apa-Apa: Jamil Khir

Jamil Khir
Jamil Khir Baharom.
 
Oleh: BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Rakyat Malaysia perlu mengiktiraf dan menghormati kenyataan rasmi yang dikeluarkan kerajaan berhubung insiden membabitkan pesawat milik Malaysia Airlines, MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata Islam tidak membenarkan sebarang penyebaran maklumat tidak tepat kerana ia memberi kesan negatif terhadap masyarakat dan dalam konteks MH370, rakyat perlu berkata hanya yang benar atau lebih baik diam sahaja jika tidak tahu apa-apa.

"Rakyat juga perlu menghentikan serta merta sebarang hebahan maklumat yang tidak tepat kerana ia sangat menghiris perasaan keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat.

"Kerajaan Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam segenap aspek termasuk menyalurkan maklumat yang disahkan sahaja dalam setiap sidang media yang diadakan sejak peristiwa itu berlaku pada 8 Mac lalu... jadi tidak perlulah hendak pertikaikannya kerana kerajaan sangat teliti dengan setiap maklumat yang disampaikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan multaqa imam, guru takmir dan anggota jawatankuasa masjid peringkat negeri Terengganu di sini Isnin.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata dunia turut mengiktiraf usaha Malaysia dalam menangani krisis MH370 ini dan menghormati setiap kenyataan yang dikeluarkan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Daripada membuat perkara seperti itu (spekulasi, terutama di media sosial), lebih baik rakyat teruskan berdoa dan membuat solat hajat agar kita semua diberikan petunjuk dari Allah berhubung pesaway MH370.

"Setakat ini, nasihat saya agar berpegang teguhlah hanya kepada setiap kenyataan rasmi yang dikeluarkan kerajaan tanpa sebarang tokok tambah cerita dan pada masa sama, hentikan perbuatan yang tidak berfaedah dalam penyebaran maklumat tidak tepat itu," katanya.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Lenyapkah jalinan Malaysia, China?


Lenyapkah jalinan Malaysia, China?
 

KEAKRABAN Malaysia-China bukan baru berputik, malah ia sudah bermula sejak berkurun lama. Bukan sekadar hubungan politik dan diplomatik, tetapi boleh dianggap sebagai bersaudara apabila hubungan ini sudah mencecah lebih 700 tahun, dan mungkin lebih lama lagi.

Hubungan ini bermula sejak wujudnya laluan laut antara China dengan India. Ketika itu ‘Duyuan’, nama sebuah persinggahan, atau pelabuhan tempat kapal dagangan China berhenti berehat sebelum meneruskan perjalanan tercatat dalam sejarah pelayaran negara China. Nama itu, sebenarnya merujuk kepada Pulau Duyung di Terengganu.

Menurut sebuah buku bertajuk Malaysian Historical oleh KG Tregonning dan The Encyclopedia Americana, mencatatkan bahawa ‘Duyuan’ atau Semenanjung Tanah Melayu merupakan tempat persinggahan terbaik bagi kapal-kapal perdagangan China.

Dengan deretan artifak seramik dari zaman Dinasti Qin tahun 221, kedatangan Zheng He atau Cheng Ho ke Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-15, Sultan Muzaffar Syah bersama keluarga dan rombongan pengiringnya juga telah melawat China pada zaman Dinasti Ming. Ini satu peristiwa besar yang tercatat dalam sejarah perhubungan kedua-dua negara ini.

Hari ini, hubungan antara Malaysia-China di era moden, terjalin dengan lebih kukuh bermula tahun 1974 sehingga kini. Perdana Menteri Malaysia dari awal memegang tampuk pemerintahan akan melawat China seperti Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.

Tun Dr Mahathir  sendiri  pernah melawat China sebanyak tujuh kali ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Kini, di era pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak, hubungan dua hala antara Malaysia dan China terus diperkukuhkan.

Malaysia merupakan antara 10 negara pelabur terbesar di China sejak tahun 2008.

China adalah rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia. Kebanyakan import Malaysia adalah dari China.

Hubungan ekonomi kukuh

Dua tahun lalu, Malaysia melakar sejarah penting dalam hubungan dua hala dengan China apabila diberi kepercayaan untuk bekerjasama bagi merealisasikan Taman Perindustrian Qinzhou (QIP) China-Malaysia di Guangxi Nanning.

Tidak hanya itu, kedua-dua negara ini  bersetuju membangunkan taman perindustrian seluas 606 hektar di Gebeng, Kuantan secara usahasama.

Pihak pengurusan bandar Shaoxing, China telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Melaka yang bertujuan untuk menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang ekonomi dan pertukaran teknologi.

Bukan hanya ekonomi, malah Malaysia-China menandatangani perjanjian bersama pemeliharaan dua ekor beruang panda yang dipinjamkan kerajaan China kepada Malaysia bagi tempoh 10 tahun. Ia adalah simbolik dalam menghargai perhubungan dua hala yang telah terjalin sejak sekian lama.

Rumah panda akan dibina di Zoo Negara. Pembinaan rumah panda yang bernilai RM20 juta akan dilengkapi pendingin hawa, buluh import dari China dan dijaga kakitangan yang khusus.

Pegawai kanan Zoo Negara berkata, pihaknya akan melakukan persiapan yang rapi untuk menyambut panda dari China. Penghantaran panda berkenaan hasil pertemuan kali ketiga perdana menteri kedua-dua negara.

Hubungan dua hala antara Malaysia-China terus diperkukuhkan apabila sebanyak 37 anggota Persatuan Industri Tekstil China (PITC) akan melabur RM500 juta di Terengganu untuk menjalankan perniagaan di Kompleks Tekstil di Bandar Baru Kijal, Kemaman, termasuk membina sebuah gudang tekstil di kawasan itu.

Perkara itu telah dipersetujui bersama kerajaan negeri setelah PITC melakukan kunjungan ke Bandar Baru Kijal, Jumaat lalu.

PITC akan menjadikan Bandar Baru Kijal sebagai hab tekstil yang terbesar di Asia Tenggara.

Begitu banyak jalinan kerjasama antara kedua-dua negara ini, namun, dengan tragedi yang menimpa pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, seolah-olah membakar semua jalinan kerjasama dan perpaduan dua negara.

Seluruh kesetiaan kedua-dua negara ini seakan lenyap dan kebanyakan rakyat China membangkitkan kemarahan dan kebencian terhadap Malaysia.

Dihamburkan dengan kata-kata kurang senang, media Malaysia yang membuat liputan di Beijing, China juga tidak mendapat layanan sebaiknya. Ironinya kisah kasih sayang sejak lampau diibaratkan sudah pupus hanya kerana tragedi tersebut.

Ada juga di kalangan ahli keluarga yang melakukan protes di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing. Umum mengetahui, China mempunyai jumlah penumpang paling ramai dalam pesawat jenis Boeing777-200ER itu iaitu seramai 153.

Tragedi dunia, bukan hanya China

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini berharap kesemua mereka bersabar kerana ia bukan sahaja melibatkan warganegara China malah negara lain.

“Secara peribadi, ia agak sukar untuk saya. Sebagai seorang ayah dan saudara, saya memahami apa yang mereka sedang lalui. Selagi kita belum jumpa objek itu dan mengesahkan ia adalah milik MH370, kita tidak boleh memberikan mereka sebarang jawapan.

“Saya juga berharap agar pihak keluarga di Beijing dapat memahami bahawa bukan mereka sahaja yang kehilangan orang tersayang. Mereka perlu faham bahawa kita di Malaysia juga ada kehilangan ahli keluarga. Ia melibatkan warganegara lain juga,” kata Hishammuddin dalam sidang media.

Beliau berkata, sungguhpun dapat mengawal tunjuk perasaan di kedutaan Malaysia di Beijing, namun ia tidak menjejaskan kerajaan China dan Malaysia.

“Hubungan government-to-government (G2G) mempunyai kefahaman yang erat dan mendalam,” katanya.

Dalam pada itu, mengapakah rakyat Malaysia secara keseluruhannya harus menerima kesan amarah itu? Terkini, penyanyi Shila Amzah yang kini sedang bertanding dalam pertandingan I Am Singer, turut menjadi sasaran kemarahan terhadap tragedi ini.

Buktinya, laman sosial nombor satu China Weibo.com telah dipenuhi dengan komen-komen negatif dari peminat yang bukan sahaja menghina dan memaki Shila malah ada yang cuba menghalau Shila dari bertanding dalam program tersebut.

Namun begitu di sebalik komen-komen yang negatif yang diterima Shila , ada juga peminat China yang menyokongnya dan meminta peminat lain berfikir secara rasional dan tidak mengaitkan nama Shila dengan tragedi itu.

Tidak hanya Shila, malah ia turut yang berlaku kepada mana-mana rakyat Malaysia yang berada di China dipandang serong dan dimaki hamun.

Apa pun, rakyat China tidak boleh disalahkan kerana emosi kesedihan bercampur baur dengan kemarahan menguasai diri mereka.

Diharapkan, ia tidak akan menjejaskan hubungan baik kedua-dua negara memandangkan sejarah persaudaraan Malaysia-China sudah termateri sejak beratus tahun.

MH370: MAS, MAHB Kenakan Pemeriksaan Keselamatan Penerbangan Lebih Ketat

MAS
Pramugari MAS membuat pemeriksaan di bahagian kabin sebelum pesawat dinaiki penumpang.
 
Oleh: T. SELVA


KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kini melaksanakan pemeriksaan keselamatan penerbangan lebih ketat di udara dan darat berikutan tragedi pesawat MH370.

Menurut satu pekeliling MAS, Juruterbang dan pembantu juruterbang kini tidak dibenarkan untuk ditinggalkan bersendirian di dalam kokpit, walaupun salah seorang daripada mereka ke tandas.

Di bawah peraturan baharu itu, seorang anak kapal perlu berada di dalam kokpit sehingga juruterbang atau pembantu juruterbang kembali semula dari tandas.

Apabila makanan dibawa ke kokpit, krew penerbangan dikehendaki berjaga di pintu untuk memastikan tiada penumpang memasuki kawasan larangan itu.

Ketua Jurutebang MAS bagi keselamatan penerbangan dan faktor manusia, Datuk Kapten Missman Leham mengeluarkan pekeliling tersebut kepada semua anak kapal.

Sementara itu, MAHB mewajibkan mereka yang terlibat dalam penerbangan antarabangsa untuk melalui dua pengesan logam dan menjalani pemeriksaan badan sebelum memasuki pesawat.

Para pelancong juga kini perlu menanggalkan kasut, tali pinggang, jaket dan meletakkan sebarang peranti elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba untuk pengimbasan secara berasingan. Air minuman yang dibotolkan tidak dibenarkan dibawa ke dalam pesawat.

Amerika Syarikat, Britain dan Australia meminta supaya pemeriksaan keselamatan ke atas semua penumpang yang terbang ke negara-negara itu dipertingkatkan.

MAHB turut melaksanakan pemeriksaan tersebut untuk penerbangan antarabangsa lain dan mengguna pakai senarai barangan larangan, yang sama digunakan oleh Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat.

Peraturan itu berkuat kuasa pada 8 Mac, hari sama pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal.

Jurucakap MAS mengesahkan bahawa syarikat penerbangan itu mempertingkatkan keselamatan dan menyediakan prosedur pemantauan di dalam semua pesawat.

"Bagaimanapun, untuk tujuan keselamatan kami tidak dapat membincangkan sebarang prosedur ini secara terbuka.

"Pemeriksaan keselamatan adalah mandat oleh pihak berkuasa keselamatan penerbangan dan ia dijalankan oleh mereka," kata jurucakap itu.

Seorang juruterbang MAS memberitahu The Star bahawa terdapat beberapa prosedur keselamatan untuk anak-anak kapal dan kokpit pesawat.

Menurutnya, terdapat satu peraturan di mana juruterbang dan pembantunya akan diberikan set hidangan makanan berbeza, yang bertujuan menggelakkan sebarang kemungkinan kedua-dua mengalami keracunan makanan pada masa yang sama.

"Selepas ini anak kapal perlu membuat semakan terhadap semua bahagian di dalam kokpit, kabin , kawasan rehat anak-anak kapal, dapur dan tandas untuk mengesan sebarang objek asing sebelum pesawat dinaiki penumpang.

"Pramugara dan pramugari juga perlu memantau pelancong yang berkelakuan mencurigakan atau penumpang yang mengambil bagasi masuk ke dalam tandas," kata juruterbang itu yang enggan dikenali.

MAHB mengingatkan semua pelancong yang berlepas dari KLIA untuk penerbangan destinasi antarabangsa bahawa mereka perlu membuat pemeriksaan di dalam tempoh tiga jam yang ditetapkan.

"Ia supaya mereka akan mendapat masa yang mencukupi untuk pemeriksaan imigresen dan keselamatan. Pemeriksaan ketat adalah untuk keselamatan pesawat, penumpang dan anak kapal, dan semua orang perlu memberi kerjasama sepenuhnya," kata jurucakap itu.

Rakyat kita terus bantah


Rakyat kita terus bantah Laporan Sinar Harian pada 29 Mac yang memaparkan bantahan rakyat Malaysia terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada penyokong Mursi.


KOTA BHARU - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Cakna Palestin meminta kerajaan dan rakyat negara ini bersama-sama menyatakan solidariti mengecam tindakan Kerajaan Mesir serta sistem mahkamah yang menganiaya rakyat sendiri.

Presidennya,  Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa berkata, dalam masa terdekat satu perhimpunan solidariti akan diadakan bagi menyatakan pendirian terhadap isu tersebut.

“Di mana letaknya kewarasan sebuah kerajaan seandainya mendakwa dan membunuh rakyatnya sendiri? Puluhan pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin (IM) didakwa sebagai pencetus rusuhan rakyat diburu, ditangkap dan dipenjarakan.

“Terbaharu, mereka bertindak di luar batasan dengan menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi. Kita sifatkan tindakan itu sebagai jenayah terancang,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkara tersebut.

Wan Mohd Sharafi berkata, Cakna Palestin membantah sekeras-kerasnya keputusan Mahkamah Mesir itu kerana dianggap tragedi terbesar dalam sistem kehakiman negara tersebut.

“Tidak munasabah sama sekali untuk menjatuhkan hukuman selepas hanya dua hari perbicaraan atas keputusan yang menyebabkan kes kematian seorang anggota polis.

"Di manakah fungsi mahkamah rayuan kerana jelas perbicaraan tersebut tidak adil berdasarkan beberapa laporan yang diterima," katanya.

Beliau juga menganggap perkara tersebut sebagai satu bencana dan permulaan kepada pergerakan yang lebih besar serta sangat membimbangkan.

“Mereka yang membangkang kerajaan akan dibunuh, aktivis politik yang kebanyakannya daripada IM ditangkap malah turut dibunuh.

"Hak kemanusiaan dan perlindungan politik rakyat negara tersebut juga dinafikan sejak penggulingan Muhammed Mursi oleh pasukan keselamatan di Mesir pada Julai 2013," katanya.

Menurutnya, laporan terbaharu akhbar memberi sedikit harapan apabila adanya bantahan daripada Hak Asasi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry.

“Adakah bantahan akan tinggal bantahan tanpa tindakan susulan atau sekadar mengeluarkan keluhan tanpa sebarang tekanan kepada kerajaan pimpinan Al-Sisi?" soalnya.

Waris penumpang dibawa sembahyang di tokong

MH370


SUBANG - Kesemua 29 anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang tiba semalam, dibawa menghadiri upacara sembahyang di sebuah tokong di Petaling Jaya pagi ini.

Mereka dibawa dari Hotel Holiday Villa di sini ke rumah ibadat Fo Guang Shan, yang terletak di SS3 Petaling Jaya dengan menaiki dua buah bas, 10 pagi tadi dan kembali ke hotel tersebut kira-kira tiga jam kemudian.

Turut kelihatan bersama-sama dengan ahli keluarga tersebut ialah pegawai dari Malaysia Airlines dan para sukarelawan dari MCA.

Seramai lapan orang anggota keluarga penumpang rakyat China yang kini menetap di Hotel Bangi-Putrajaya di Bangi, turut sama menyertai upacara sembahyang tersebut.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China, dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.  - Bernama

Anak gadis Zaharie bidas laporan The Daily Mail

Anak gadis Zaharie bidas laporan The Daily Mail


KUALA LUMPUR - Aishah Zaharie, anak perempuan Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih hilang, membidas laporan The Daily Mail yang mendakwa bapanya mengalami gangguan emosi beberapa minggu sebelum tragedi itu.
  
"Kepada Daily Mail, anda patut menimbang untuk membuat filem memandangkan anda memang cekap mengada-adakan cerita dan skrip... Semoga Tuhan merahmati jiwa anda. Saya tidak akan memaafkan anda," katanya dalam catatan terbaharunya dalam Facebook.

Selain itu, catatan itu juga menerima sokongan rakan-rakannya dan seorang daripadanya Izni Disney membalas catatan itu dengan menyatakan bahawa Zaharie adalah seorang yang baik.
  
Semalam, The Daily Mail memaparkan tajuk berita 'Anak perempuan akui Kapten MH370 Kelihatan Keliru dan Terganggu'.
  
Pada 8 Mac, penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi menuju ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal, sebelum hilang daripada radar sejam kemudian. - Bernama

Hutang isi rumah meningkat, pendidikan merosot, Wawasan 2020 hanya mimpi?


lge kanak2



KUALA LUMPUR: Kualiti sistem pendidikan merosot dan peningkatan hutang isi rumah merupakan ancaman besar yang mampu merosakkan Wawasan 2020, kata Ahli Parlimen DAP Bagan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, hutang isi rumah yang tinggi akan menurunkan kualiti kehidupan dan rekod sosial membuktikan bahawa pendidikan anak-anak akan menjadi mangsa pertama apabila kesempitan ekonomi melanda.

“Pendapatan negara tidak meningkat dengan cukup untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

“Peningkatan harga barangan seperti gula, petrol, tarif elektrik dan premium insuran motor dari Kerajaan BN tahun lalu makin menekankan hakikat bahawa upah tidak dapat mengatasi inflasi,” katanya ketika berucap dalam Perbahasan Bajet Tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Demikian itu, beliau mencadangkan agar kerajaan melaksana gaji minimum RM1,100 bersekali tempoh tangguhan selama 5 tahun untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya dapat meningkatkan pendapatan rakyat serta membantu pertumbuhan ekonomi.

Jelasnya, dasar gaji minimum PR sebanyak RM1,100 boleh diterima PKS asalkan ia tidak merangkumi pekerja asing.

“Setelah tempoh tangguhan 5 tahun, PKS harus membayar gaji minimum kepada semua pekerja, sama ada asing atau tempatan. Malaysia kerugian apabila pekerja asing hanya menghantar balik kebanyakan gaji mereka.

“Jumlah kiriman wang pekerja asing sah berganda daripada RM10 bilion pada 2009 kepada hampir RM20 bilion tahun lalu. Angka ini dijangka berganda apabila gaji minimum dilaksanakan ke atas pekerja asing.

“Untuk itu, majikan dan pekerja harus dijaga dengan memastikan mereka menikmati gaji minima lebih tinggi iaitu RM1,100 sebulan dan dengan memberi PKS satu tempoh tangguhan selama 5 tahun agar dapat menyesuaikan diri sebelum membayar gaji minimum kepada pekerja asing,” ujarnya. -Roketkini.com

Ahli keluarga minta bukti MH370 berakhir di Lautan Hindi

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Ahli keluarga penumpang MH370 warga China berjalan keluar dari bilik selepas mendengar taklimat di sebuah hotel di Subang Jaya, semalam. Gambar fail The Malaysian Insider.Ahli keluarga penumpang MH370 warga China berjalan keluar dari bilik selepas mendengar taklimat di sebuah hotel di Subang Jaya, semalam. Gambar fail The Malaysian Insider.



























Kerajaan Malaysia diminta mengadakan satu sesi taklimat bagi menjelaskan kepada semua ahli keluarga penumpang terutamanya dari China bukti pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di Lautan Hindi.

Tuntutan tersebut disuarakan oleh kira-kira 30 ahli keluarga penumpang yang tiba dari China semalam.

Mereka berharap taklimat tersebut dapat diadakan secepat mungkin dengan bantuan Kedutaan Besar China di Malaysia.

Wakil daripada ahli keluarga penumpang, yang hanya mahu dikenali sebagai Jiang Hui, berkata walaupun pelbagai taklimat serta penjelasan diadakan di China, namun mereka masih tidak jelas dan mahukan data lengkap terutamanya daripada pakar.

"Selama 22 hari menunggu, jawapan yang kami dapat daripada pihak MAS di sana (China) adalah terhad. Semuanya perlu dirujuk terlebih dahulu kepada kerajaan Malaysia untuk membuat sebarang kenyataan kepada kami.

"Oleh itu kami membuat keputusan datang ke Malaysia untuk mendapat lebih banyak maklumat mengenai insiden ini, terutamanya daripada pakar penerbangan seperti Rolls Royce dan Syarikat Boeing, selain daripada kerajaan Malaysia dan MAS," kata lelaki itu kepada pemberita.

Bercakap dalam bahasa Mandarin, beliau berkata, pihaknya juga menuntut kerajaan Malaysia memohon maaf atas kelewatan penyebaran maklumat mengenai pesawat itu.

Jiang berkata, pihaknya berharap kerajaan Malaysia dapat menunjukkan keikhlasan membantu mereka daripada segi membekalkan maklumat sahih.

"Kami tidak akan meninggalkan Malaysia sehinggalah kami berpuas hati dengan penjelasan mengenai pesawat itu," katanya.

Difahamkan, kumpulan ini ditempatkan di Holiday Villa Subang pada pukul 10 pagi tadi dengan disambut oleh Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting, Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, dan kira-kira 40 ahli Crisis Relief Squad of MCA (CRSM).

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China dan 12 kru, hilang pada pagi 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat itu hilang bahawa penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama,

Tragedi Memali -Siapa Bersalah ?



Oleh Mohammad Agus Yusoff


Ramai yang meminta saya menjelaskan siapa yang bersalah dalam kes tragedi Memali--Tun Dr Mahathir atau Tun Musa?

Yang pasti, Menteri Dalam Negeri pada waktu itu ialah Tun Musa. Maka, beban tanggungjawab perlulah diletakkan di bahu beliau.

Tapi tragedi ini adalah sejarah hitam negara. Justeru, sebagai sebuah kerajaan, maka kabinet Dr Mahathir pada waktu itu yang DSAI adalah juga menteriya perlu memikul tanggungjawab bersama dengan tragedi ini.

Soal siapa bersalahnya subjektif kerana yang pentingnya dalam pemerintahan negara ialah kebertanggungjawapan bersama.

Mengenai dakwaan Tun Musa bahawa Tun Dr Mahathir berada dalam negara pada waktu itu, dakwaan ini perlu siasatan lanjut yang boleh dilakukan dengan empat cara.

Pertama, semak semula rekod Imigresen kedua-dua buah negara. Kedua, Tun Dr Mahathir perlu tampil memberikan penjelasan balas. Ketiga, semak semula laporan akhbar pada tarikh berkenaan. Keempat, tanya mereka yang berkaitan pada tarikh berlakunya tragedi ini.

Sekadar itu pandangan saya. Yang penting, rekod sejarah ini perlu dibetulkan jika ada kesilapan

Satu rakyat, satu undi tidak jamin keadilan, kata Shahidan

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Satu rakyat, satu undi tidak menggambarkan sistem pilihan raya adil, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim. Gambar fail.Satu rakyat, satu undi tidak menggambarkan sistem pilihan raya adil, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim. Gambar fail.




























Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan satu rakyat satu undi tidak menggambarkan sistem pilihan raya adil sebaliknya perlu dilihat daripada latar belakang ekonomi, keluarga, pengangkutan dan populasi penduduk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, persepsi itu adalah pandangannya secara peribadi dan tidak mewakili pandangan kerajaan secara keseluruhannya.

“Kami mahu memberikan keadilan rakyat dan satu rakyat satu undi tidak menunjukkan situasi sebenar,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berhubung saranan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan sistem pilihan raya di Malaysia.

Loke berkata, jawapan diberikan Shahidan tidak menjawab apa yang dimaksudkannya berhubung satu rakyat satu undi.

Shahidan menolak dakwaan Loke dengan berkata: “Saya ada PhD. Saya faham apa yang dimaksudkan. Kamu hanya ada ijazah. Kamu perlu dua ijazah lagi untuk menandingi saya.”

Shahidan berkata, sistem pengundian di Malaysia perlu berteraskan kepada komposisi kaum agar dapat memberi keadilan kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Kaum Cina mewakili 23%, Bumiputera mewakili 67% dan India sebanyak 8%. Jika kita mempunyai 100 kerusi, Cina mendapat 23 kerusi tetapi kini ada 40 kerusi. Manakala India seharusnya terdiri daripada empat kerusi tetapi kini mempunyai lapan kerusi,” katanya.

Buka semula kes Memali sebelum jadi isu perkauman, kata bekas polis

OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA


Mangsa peristiwa berdarah Memali 1985, Ibrahim Libya (kiri) bergambar bersama beberapa rakannya. Gambar fail milik keluarga Ibrahim Libya.Mangsa peristiwa berdarah Memali 1985, Ibrahim Libya (kiri) bergambar bersama beberapa rakannya. Gambar fail milik keluarga Ibrahim Libya.































Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim menggesa kerajaan membuka semula penyiasatan kes pembunuhan beramai-ramai di kampung Memali, Baling, Kedah pada 1985 yang meragut 18 nyawa termasuk empat anggota polis sebelum ia dijadikan isu perkauman.

Mat Zain berkata, jika kes pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali atau "Batang Kali Massacre" pada 1948 yang melibatkan kaum Cina dan kerajaan British boleh dibuka semula, bukti baru didedahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam minggu lalu mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Malaysia semasa kejadian dan bukan di China seperti dipercayai sebelum ini, cukup kuat untuk dijadikan asas memulakan semula siasatan.

"Saya berpendapat jika kerajaan gagal atau sengaja enggan membuka semula penyiasatan tragedi Memali yang meragut 18 nyawa termasuk 4 anggota polis, selepas pendedahan mengejut yang dibuat oleh Musa beberapa hari lalu, ia mungkin akan dijadikan isu perkauman yang boleh menggugat ketenteraman awam lebih-lebih lagi dalam suasana politik negara hari ini," katanya kepada The Malaysian Insider, hari ini.

"Sekiranya kes ini tidak dibuka semula, besar kemungkinan ada pihak yang akan menimbulkan persoalan mengapa kerajaan sedia menyiasat semula Batang Kali Massacre dengan semua mangsa yang terbunuh adalah orang Cina, sedangkan kerajaan enggan menyiasat semula tragedi Memali kerana semua mangsanya adalah orang Melayu yang beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata, Batang Kali Massaccre dibuka semula selepas 45 tahun laporan dibuat, manakala bagi kes Memali pula, ia ditimbulkan semula hanya selepas 29 tahun kemudian.

"Soal sama ada Dr Mahathir berada dalam negara atau berlepas ke China atau negara lain pada hari kejadian, atau ada di Malaysia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana kedua-duanya, Dr Mahathir dan Musa dipercayai dimaklumkan dan mengetahui operasi Memali sebelum ia dilaksanakan pada 19 November, 1985,” katanya yang juga Ketua Polis Daerah Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah pada ketika itu.

Balai polis itu terletak hampir dengan Balai Polis Daerah Baling, lokasi kejadian tragedi Memali berlaku.

Mat Zain berkata, beliau turut terlibat secara langsung dengan operasi menahan Ibrahim Mahmud yang juga dikenali sebagai Ibrahim Libya mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau berkata, Dr Mahathir dan Musa yang juga menteri dalam negeri pada ketika itu tidak boleh lari daripada mengambil tanggungjawab tertentu secara persendirian atau secara kolektif, di atas peristiwa berdarah tersebut, sama ada mereka berada di dalam atau luar negara.

"Sebelum peristiwa di Kampung Memali itu, daerah Padang Terap dianggap daerah paling 'panas' di Kedah, setelah tercetusnya peristiwa berdarah di Felda Lubuk Merbau pada pertengahan Januari 1985, dengan seorang penyokong PAS terbunuh ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan pada masa itu.

"Ketika kejadian, saya baru sahaja seminggu mengambil alih jawatan ketua polis daerah Kuala Nerang. Saya yang menangani kes di Lubok Merbau itu. Peristiwa berdarah Lubok Merbau turut diambil kira semasa mesyuarat perancangan Ops Memali tersebut," katanya ketika mengulas artikel disiarkan The Malaysian Insider semalam bertajuk Luka Memali berdarah kembali.

Selepas 29 tahun peristiwa Memali berlaku, Musa mendedahkan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur, bukannya China sebagaimana yang diberitakan sebelum ini.

Musa mendedahkan perkara ini dalam Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang diadakan di Kota Baru minggu lalu.

Turut serta dalam majlis itu sebagai panel adalah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan moderatornya adalah Profesor Madya Datuk Dr Mohmamad Agus Yusof.

Musa ketika menjawab soalan Agus berkata, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika kejadian itu bahkan, "Dua tiga hari selepas kejadian itu pun dia berada di Kuala Lumpur."

Ia disambut oleh Agus dengan berkata "Oh my God," dengan nada terkejut ekoran pendedahan Musa itu kerana media melaporkan Dr Mahathir berada di China ketika kejadian itu berlaku.

"Ok, my God, our God," kata Musa menyambut kenyataan Agus sambil ketawa dengan pendedahan itu.

Dalam diskusi itu, Musa berkata:"Titik hitam dalam politik saya adalah Memali, saya cakap terus terang."

Peristiwa berdarah Memali mengorbankan Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya serta empat polis yang bertugas dalam operasi tersebut.

PAS menyifatkan Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya mati syahid manakala Sultan Kedah yang kini merupakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim pernah menziarahi kubur Ibrahim Libya dan pengikutnya serta menyiramkan air mawar di atas pusara mereka.

Menunggu Jawapan Mahathir Mengenai Memali

shahbudindotcom


Setelah lebih 30 tahun tersimpul rapi, walaupun bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam sebenarnya mempunyai banyak ruang untuk menceritakan segala rahsia mengenai peristiwa Memali sebelum ini, kenapa hanya sekarang beliau mendedahkan perkara itu tentunya menarik perhatian ramai.

Dalam sebuah forum anjuran kerajaan Pas Kelantan di Kota Bharu malam semalam, Musa Hitam yang ketika peristiwa Memali itu merupakan Menteri Dalam Negeri dan dipersalahkan oleh banyak pihak mengenainya, akhirnya mendedahkan bahawa ketika kejadian itu Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri, sebenarnya berada di dalam negara dan bukannnya di China sebagaimana yang diberitahu sebelum ini.

Malah Musa Hitam juga mendedahkan, dua tiga hari selepas kejadian itu pun, Mahathir masih berada di dalam negara.

Kenapa Musa Hitam mengambil masa selama 30 tahun untuk mendedahkan perkara ini sedangkan ketika bersama Team B pada 1987 dahulu atau ketika hebat mengasak Mahathir ekoran pengharaman UMNO pada 1988, beliau tidak mendedahkannya?

Apakah pula signifikannya beliau memilih Kelantan dan berucap di sebuah forum anjuran kerajaan Pas untuk mendedahkan perkara yang tersembunyi selama ini? Apakah ia bertujuan membersihkan dirinya daripada tanggapan buruk Pas selama ini terhadapnya?

Setelah lebih 11 tahun bersara sebagai Perdana Menteri iaitu pada 2003, apakah kerana Mahathir masih aktif, berpengaruh dan mencampuri banyak perkara dalam politik negara, maka tujuan Musa mendedahkan perkara ini ialah untuk menghentikan semua penglibatan Mahathir itu?

Dalam peristiwa Memali yang berlaku pada 1985 dan menyebabkan seramai 14 orang terbunuh serta berpuluh yang lain cedera termasuk Allahyarham Ibrahim Libya, Musa Hitam atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri adalah paling dipersalahkan atas kejadian itu. Ia diperkukuhkan lagi bahawa ketika kejadian itu Perdana Menteri dilaporkan tidak berada dalam negara dan berada di China.

Selain Musa Hitam menganggap insiden itu sebagai titik hitam dalan karier politiknya, apabila beliau kemudian meletakkan jawatan pada 1986 kerana berkrisis dengan Mahathir dan diikuti dengan kehilangan anaknya, Carlos Musa dalam kejadian Highland Tower, terdapat pengikut Pas yang menganggap ianya sebagai balasan Tuhan terhadap apa yang dilakukannya dalam peristiwa Memali itu.

Musa Hitam, di sebalik pelbagai dakwaan mengenai peranannya dalam peristiwa Memali itu, beliau tidak pula mahu membuka mulut mengenainya. Dengan itu, tafsiran umum ialah ianya merupakan kejadian yang melibatkan peranan penuhnya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, lebih-lebih lagi bila diketahui pula Perdana Menteri tiada dalam negara ketika itu.

Dengan pendedahan Musa Hitam ini, ia tentunya menuntut jawapan segera daripada Mahathir. Jika benar beliau berada di dalam negara, tentunya beliau tidak boleh lepas tangan mengenainya. Konsep pertanggungjawaban bersama tidak mengecualikan Perdana Menteri dalam apa juga kejadian yang berlaku di dalam negara.

Jika dalam Ops Lalang misalnya, Mahathir turut melibatkan Anwar Ibrahim dalam peristiwa itu semata-mata kerana tidak membantah di dalam mesyuarat kabinet atau meletakkan jawatan kerananya, maka dalam peristiwa Memali ini juga Mahathir tidak seharusnya dilepaskan daripada konsep pertanggungjawaban bersama kerana beliau adalah Perdana Menteri ketika itu.

Jika benar beliau berada di Kuala Lumpur ketika kejadian dan dua tiga hari selepasnya, tentulah konsep pertanggungjawaban bersama itu lebih dekat hubungannya lagi dengan kuasa Perdana Menteri yang dipegang Mahathir ketika itu.

Selain itu, apakah juga pendedahan Musa Hitam ini ada kaitan dengan beberapa kritikan yang sejak beberapa bulan lalu kerap dilemparkan oleh Mahathir terhadap kepimpinan Najib? Adakah Musa Hitam sebenarnya mahu mengurangkan kredebiliti serangan Mahathir itu dan kemudian berharap bekas Perdana Menteri itu tidak lagi mengganggu pentadbiran Najib?

Jika benar pula, apakah Musa Hitam melakukannya dengan kerelaannya sendiri atau kerana diminta oleh kelompok Najib?

Sementera Pas nampaknya gembira dengan pendedahan Musa Hitam ini dan seolah-olah mendapat "senjata baru" untuk mengecam Mahathir, melihat kegigihan Mahathir dalam politik, sama ada ketika berkuasa atau ketika sudah bersara, persoalan yang timbul juga bagaimanakah bentuk jawapannya kali ini?

Mungkinkah beliau mengaku, menafi atau akan melibas balik bekas timbalannya? Tetapi yang pastinya, apa pun jawapan Mahathir nanti, beliau bukanlah seorang yang mudah mengaku kalah.

Selepas insiden MH370, dakwaan Musa Hitam dan jawapan Mahathir mengenai di mana beliau berada ketika peristiwa Memali adalah episod yang tidak kurang menariknya bagi rakyat negara ini.

Sama-sama kita tunggu debarannya

Keluarga Kapten Zaharie selar fitnah Daily Mail

 


Akhbar Daily Mail diselar oleh ahli keluarga dan sahabat Kapten Zaharie Ahmad Shah malam tadi berhubung laporan akhbar tabloid Britain itu juruterbang MH370 mengalami gangguan fikiran beberapa minggu sebelum pesawat hilang pada 8 Mac.

Juruterbang Malaysia Airlines itu disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia selepas pesawat membawa 239 penumpang hilang tetapi Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) mendapati Kapten Zaharie tidak boleh dikaitkan dengan kehilangan pesawat itu selepas tidak menemui apa-apa yang pelik terhadap simulator penerbangan Boeing 777 miliknya.

Akhbar tabloid Britain itu sebelum ini melaporkan Kapten Zaharie yang bekerja dengan Malaysia Airlines selama 33 tahun dan pernah menerbangkan pesawat selama lebih 18,000 jam mempunyai masalah peribadi dan merupakan penyokong fanatik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Wahai Daily Mail hentikanlah membuat drama walaupun anda sangat pandai membuat cerita dan skrip yang tidak benar.

“Semoga tuhan mempunyai belas kasihan terhadap roh anda. Saya tidak akan maafkan anda,” tulis anak juruterbang itu, Aishah Zaharie di akaun Facebooknya malam tadi.

Akhbar tabloid itu versi Ahad, The Mail melaporkan semalam, isteri Kapten Zaharie, Faizah Khanum Mustafa Khan dikatakan memberitahu penyiasat suaminya menyepikan diri dan menghabiskan masa bersendirian di bilik tidur mereka.

Sudah lebih tiga minggu sejak pesawat MH370 hilang dengan 239 penumpang termasuk 12 anak kapal, dan penyiasat di Malaysia mengesyaki pesawat mungkin melencong daripada laluan asalnya dengan sengaja.

Pesawat dipercayai terbang beratus batu melepasi selatan Lautan Hindi dan kehabisan minyak sebelum terhempas ke dalam lautan.

Masih belum ada bangkai atau serpihan pesawat yang ditemui setakat ini.

Tabloid tersebut mendakwa mereka bercakap dengan isteri dan anak perempuan kepada juruterbang berusia 53 tahun itu dan kedua-duanya mengatakan beliau terganggu dan menyepikan diri beberapa minggu sebelum pesawat hilang.

Tetapi satu emel yang dihantar kepada The Malaysian Insider menafikan ahli keluarga juruterbang itu bercakap kepada Daily Mail.

Selain daripada anak lelaki Kapten Zaharie, tiada sesiapa daripada keluarganya yang pernah bercakap kepada media.

Menurut akhbar Britain itu, tiada nota bunuh diri ditinggalkan dan motif ditemui, tetapi polis akan terus menyiasat latar belakang juruterbang itu dan apakah keadaan mentalnya sebelum penerbangan menjadi faktor.

Menurut The Mail pada Ahad, soal siasat polis dengan ahli keluarga mengesahkan juruterbang yang tinggal dengan keluarganya di kawasan perumahan mewah itu tidak mempunyai masalah kewangan.
-The Malaysian Insider

Menteri: Data pesawat patut dipancar terus

MALAYSIAKINI


 


Malaysia percaya bahawa teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh memainkan peranan lebih penting dalam industri penerbangan susulan kehilangan Penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang menimbulkan misteri.

Dalam konteks ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata mengesan dan mencari kotak hitam, contohnya, seharusnya menjadi perkara yang telah berlalu, terutama dengan kemunculan teknologi 'cloud computing' (pembangunan dan penggunaan teknologi komputer dengan menggunakan internet sebagai ruang untuk menyimpan segala data).

"Saya percaya bahawa data daripada pesawat termasuk daripada kotak hitam boleh dihantar secara berterusan dan disimpan di pusat data di bumi. Kita seharusnya boleh mengambil dan menganalisis data ini tanpa perlu mengesan kotak hitam.

"Saya percaya perubahan yang mudah ini mungkin membawa hasil yang berbeza (dalam bidang penerbangan) sekarang," kata beliau dalam kenyataan dasar pada Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia (WTDC) 2014 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu, Ahad. Kenyataan itu dihantar kepada Bernama di Dubai.

Justeru, beliau menggesa Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bekerjasama dengan industri penerbangan untuk membolehkan pemantauan data penerbangan dari semasa ke semasa dan memantau apa yang berlaku di dalam kokpit.

WTDC keenam ITU, yang berlangsung hari ini sehingga 10 April, bertujuan merangka program kerja dan garis panduan bagi mendefinisikan persoalan pembangunan telekomunikasi dan menetapkan hala tuju serta panduan bagi program kerja Sektor Pembangunan Telekomunikasi (ITU-D) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Ahmad Shabery juga menarik perhatian bahawa 25 negara tampil membantu Malaysia tanpa ragu-ragu, dengan petugas lelaki dan wanita meletakkan diri dengan cara yang boleh mendatangkan mudarat dalam usaha menjejaki Penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS).

"Dalam operasi mencari dan menyelamat MH370, atas kemurahan hati negara-negara sahabat, membantu Malaysia dengan peralatan dan penggunaan satelit, teknologi sonar dan radar paling canggih serta sistem pemantauan.

"Mereka juga menghantar kumpulan pakar dalam pelbagai bidang daripada pelbagai pertubuhan antarabangsa. Ini mendekatkan kami dengan kamu semua," kata beliau.

Ahmad Shabery juga menyampaikan simpati Malaysia kepada delegasi Republik Rakyat China dan 13 negara lain yang berkongsi kesedihan serta kepiluan kerana penumpang warga negara itu berada dalam penerbangan MH370.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.

Misi mencari antarabangsa digerakkan untuk menjejaki pesawat, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian, di sepanjang dua koridor - koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand – dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Susulan analisis data satelit yang belum pernah diguna pakai sebelum ini, firma satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Udara UK (AAIB) merumuskan bahawa Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, ke barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama

PM Australia pertahan pengumuman Najib

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Australia Tony Abbott mempertahankan pengumuman rakan sejawatannya dari negara ini Datuk Seri Najib Razak bahawa penerbangan MH370 “berakhir” di Lautan Hindi.

Pengumuman tersebut, yang dipersoalkan oleh waris penumpang di China, merupakan kesimpulan dari sejumlah besar bukti, kata Abbot seperti dipetik dalam laporan akhbar Telegraph.

"Himpunan bukti menunjukkan pesawat tersebut hilang dan ia hilang di satu tempat di selatan Lautan Hindi.

“Itu adalah gelombang bukti yang amat besar dan saya rasa Perdana Menteri Najib Razak amat berhak membuat kesimpulan itu, dan saya fikir sebaik kesimpulan itu dibuat, beliau bertanggungjawab mengumumkannya,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Para waris penumpang dari China mula tiba di negara ini untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut dan untuk mendengar permohonan maaf dari Najib atas pengumuman tersebut.

Ahad, 30 Mac 2014

Tragedi MH370 lonjak Hishammuddin, mungkin pengganti Najib?

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Populariti pemangku Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melonjak susulan tragedi MH370. Gambar fail The Malaysian Insider.Populariti pemangku Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melonjak susulan tragedi MH370. Gambar fail The Malaysian Insider.



























Kepercayaan ke atas Datuk Seri Hishammuddin Hussein melonjak selepas kehilangan penerbangan MH370, lapor media yang berpangkalan di Hong Kong, South China Morning Post (SCMP).
Hishammuddin menerima kritikan hebat dalam mengendalikan krisis tersebut khususnya daripada media luar, bagaimanapun pemangku menteri pengangkutan itu mendapat banyak sokongan ramai.

“Jika semua media luar negara terus menyerang beliau, rakyat Malaysia pasti akan berada di belakangnya sebagai tindak balas," kata Oh Ei Sun, bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2009, lapor SCMP.

"Secara domestik, ia sebenarnya melonjak kepercayaan kepadanya kerana orang ramai melihat beliau lebih berkelayakan semasa berdepan situasi sukar,” katanya.

Kebanyakan wartawan turut memuji Hishammuddin apabila berkata, hanya Najib saja maju melakukannya sebagaimana yang dibuat Hishammuddin sekarang.

"Jika anda bertemu dengan mana-mana menteri kami yang lain, awak sudah tentu tahu kenapa. Hanya Najib seorang saja mampu membuat sama baik dengan beliau, tetapi bukannya lebih baik," kata seorang wartawan tempatan yang membuat liputan sidang media harian Hishammuddin kepada SCMP.

Bukan saja wartawan tempatan, pemandu teksi yang mahu dikenali sebagai Tan juga menyokong pandangan ini, lapor SCMP.

"Kerajaan di sini tidak bagus dan selalu banyak rasuah. Tetapi Hishammuddin tidak rasuah dan dia tidak memalukan Malaysia melalui televissyen. Dia buat yang terbaik dia boleh, saya boleh lihat itu," kata Tan sebagaimana dilaporkan SCMP.

Kepemimpinan Hishammuddin lebih terserlah kali ini, berbeza ketika mengendalikan pencerobohan Sulu di Lahad Datu pada 2013.

"Beliau kurang baik dan ramai yang mengkritiknya," kata Sivamurugan Pandian, penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia dipetik dalam SCMP.

"Sekarang beliau sangat berbeza dan benar, kebanyakan rakyat Malaysia merasakan beliau menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Hishammuddin dalam pemilihan Umno tahun lalu berjaya mengekalkan jawatan naib presiden dengan 101 undi, bagaimanapun beliau ditentang sengit anak bekas perdana menteri paling lama berkhidmat yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pengkritik juga meramalkan Hishammuddin sebagai bakal perdana menteri, serta meneruskan legasi keluarga Razak dalam pemerintahan negara.

ADUN Sungai Pinang salur RM20,000 beli 100 basikal, atasi masalah kesesakan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KLANG,: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim menyediakan peruntukan RM20,000 bagi menjayakan program menggalakkan pelajar sekolah sekitar DUN berkenaan berbasikal ke sekolah.

Chang Khim berkata, peruntukan itu disediakan bagi membeli kira-kira 100 buah basikal untuk disumbangkan kepada pelajar yang berminat menyertai program berbasikal, sekali gus mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara daripada asap kenderaan seperti motosikal.

“Kriteria pelajar yang dipilih, pertamanya adalah kemahuan untuk berbasikal. Itu penting kalau dia enggan berbasikal tidak guna kita bagi dan kebenaran ibu bapa sebab sesetengah mereka khuatir keselamatan anak yang berbasikal ke sekolah.

DSC_7327“Pendapatan ibu bapa bukan kriteria pertama sebab fokus kita untuk menggalakkan mereka menggunakan basikal berbanding kenderaan bermotor,” katanya pada program Karnival Berkayuh Santai di Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, beliau juga akan mencadangkan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk membina lorong berbasikal di Jalan Pekan Baru, Taman Eng Ann, di sini, bagi kemudahan pengguna basikal di kawasan terbabit sebelum diperluaskan ke lokasi lain.

Katanya, beliau akan mencadangkan program sama diperluaskan di kawasan lain seluruh Selangor jika usaha berkenaan berjaya.
DSC_7266

Sebelum itu, Chang Khim melepaskan kira-kira 250 perserta kayuhan basikal yang dibahagi kepada dua kategori iaitu kayuhan santai dan kayuhan sejauh 27 kilometer.

Selain acara kayuhan basikal, program itu juga dimeriahkan dengan pelbagai acara lain seperti pertandingan basikal lambat, pameran motorsikal berkuasa tinggi, klasik dan basikal pelbagai model, sukan rakyat, pemeriksaan kesihatan percuma serta tapak jualan.-NFN-

Perpustakaan Selangor lancar khidmat u-Pustaka, kaedah segera cari bahan bacaan

Oleh: AFIX REDZUAN


SHAH ALAM: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memperkenalkan perkhidmatan u-Pustaka bagi memudahkan rakyat Malaysia mendapatkan bahan bacaan yang diingini serta merta.

Perkhidmatan itu diilhamkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multumedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dengan konsep penyediaan perkhidmatan rangkaian perpustakaan yang sentiasa ada, tanpa sempadan masa dan tempat (ubiquitos), pada tahun 2008.

Lapan perpustakaan yang menyediakan perkhidmatan berkenan dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) melalui SKMM dengan sokongan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

2014330152517Tujuh perpustakaan lain seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan itu adalah Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan Awam Pahang, Pustaka Negeri Sarawak, Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Perpustakaan Negeri Sabah, Perpustakaan INTAN Bukit Kiara dan Perpustakaan Kuala Lumpur.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sambil diiringi Exco Pendidikan Selangor merangkap Pengerusi PPAS, Dr Halimah Ali bertempat di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, hari ini.

Abdul Khalid dalam ucapannya menyatakan Kerajaan Negeri memberi sokongan penuh terhadap usaha membudayakan ilmu dengan menyediakan peruntukan bagi membangunkan lebih banyak Pusat Siber Rakyat dan perpustakaan awam yang dilengkapi teknologi terkini untuk kemudahan masyarakat di Selangor.

khalid-ibrahim“Saya dapati konsortium u-Pustaka yang mengumpul khazanah buku di seluruh negara sudah dapat diteruskan penggunaannya untuk rakyat.

“Walaubagaimanapun, Selangor perlu buat persediaan prasarana, yang mana jika kita ingin gunakan teknolgi maklumat, sistem pengaliran maklumat harus diperkuat dan diperkemaskan.

“Sistem Wi-fi dan pengaliran maklumat melalui fiber optik harus dilihat sebagai prasarana dalam usaha membawa perpustakaan kepada rakyat,” katanya.

Sejak penjenamaan semula dilaksanakan, seramai 1.5 juta orang pengunjung dicatatkan hadir ke perpustakaan berkenaan pada tahun 2010 hingga 2013 berbanding 418,802 orang pada tahun 2008 hingga 2010.-NFN-

Kes hutang sepanjang hidup



*WALAUPUN terus berduka nestapa di atas kehilangan pesawat dan orang-orang tercinta, alihkan sejenak perhatian kita kepada satu perkara lain yang patut juga diberi perhatian, iaitu hutang.

Orang kita banyak hutang, demikianlah yang dijelaskan dalam Laporan Tahunan 2013 Bank Negara Malaysia (BNM) minggu lalu.

Menurut laporan tersebut tahap hutang isi rumah negara ini berjumlah RM854.3 bilion yang merupakan 86.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Untuk pengetahuan, hutang isi rumah ialah nilai terkumpul pinjaman yang dilakukan oleh setiap isi rumah domestik.

Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah progresif bagi memastikan pengurusan kewangan yang kukuh dan menggalakkan pasaran hartanah yang stabil dalam usaha mengawal perkembangan hutang isi rumah.

Langkah tersebut bertujuan memastikan pengembangan kredit yang berhemah, menggalakkan tingkah laku individu dan institusi yang bertanggungjawab, pasaran hartanah yang teguh dan membendung tingkah laku spekulatif.

Bagi orang biasa apa yang dilaporkan oleh BNM agak sukar untuk difahami, terutama istilah-istilah seperti KDNK, spekulatif, hartanah dan sebagainya. Tidak perlu mendalami istilah-istilah ekonomi yang pelik itu. Memadailah kita faham bahawa orang kita banyak hutang.

*MENARIK juga untuk diketahui bahawa sebanyak 61.8 peratus atau RM527.6 bilion daripada keseluruhan hutang isi rumah rakyat Malaysia adalah hutang pinjaman pembelian kediaman dan kenderaan.

Laporan Kementerian Kewangan menunjukkan daripada jumlah hutang terkumpul sebanyak RM854.3 bilion sehingga 2013, sebanyak RM377.7 bilion atau 44.2 peratus digunakan untuk membeli rumah manakala sebanyak RM149.9 bilion (17.6 peratus) untuk kenderaan.

Sebanyak RM141.5 bilion (16.6 peratus) lagi adalah hutang pinjaman peribadi dan RM65.2 bilion (7.6 peratus) adalah pinjaman pembelian harta bukan kediaman.

Dijelaskan juga hutang bagi pembelian pelbagai saham atau sekuriti ialah RM54.9 bilion (6.4 peratus), hutang kad kredit RM35.5 bilion (4.2 peratus) dan tujuan lain seperti kelengkapan rumah sebanyak RM29.6 bilion (3.5 peratus).

Pendek kata, kebanyakan kita memang sentiasa berhutang.

*INI kisah benar anak seorang kawan. Sebaik menerima ijazah dari sebuah universiti awam, dia telah menanggung hutang lebih RM30,000. Gajinya sebagai eksekutif muda di sebuah syarikat, dipotong RM130 untuk membayar hutang tersebut kepada PTPTN.

Belum setahun kerja dia berhutang lagi kira-kira RM40,000 untuk membeli sebuah kereta. Ertinya tiap-tiap bulan gajinya akan dipotong sebanyak RM650 untuk hutang kereta.

Dia kini berhasrat untuk membeli rumah, berharga RM100,000, dan itu bererti gajinya akan dipotong RM800 sebulan untuk tempoh 30 tahun. Dia juga berhutang kad kredit. Malah, di kantin tempat dia bekerja pun dia ada buku hutang.

Pendek kata, sejak mula masuk universiti, hingga pencen nanti, dia sentiasa membayar hutang. Tetapi dia bangga berhutang sebab “kalau orang memberi kita hutang itu ertinya dia percayakan kita!”

*HARAP-HARAP anak kawan saya itu akan terus menjadi peminjam yang baik dengan membayar dan melangsaikan apa sahaja hutang. Tetapi bukan semua orang jujur dan amanah macam dia!

Ramai juga yang suka berhutang, tetapi tidak suka membayar balik. Oleh sebab mudah mendapat hutang – kad kredit, Mara, Tekun, dan lain-lain agensi – ada yang tidak menghargai pinjaman diperoleh.

Ada yang dapat pinjaman perniagaan RM ratus-ratus ribu tidak menggunakan duit dengan bijak. Belum apa-apa sudah tukar kereta baharu, malah ada juga yang beristeri baharu.

Akhirnya bisnes entah ke mana, kereta tersadai, isteri baharu pun lari, dan hutang tidak dibayar. Diisytiharkan muflis pun dia tenang sahaja. Malah ada orang yang berhutang memang dengan niat untuk tidak membayar balik. Pada hal dia tahu hutang wajib dibayar.

*AKHIR kalam, setiap hari ada petunjuk baharu. Setiap hari ada sahaja objek yang dikesan satelit – setakat ini sudah lebih 400 objek berjaya dikesan di kawasan pencarian di Lautan Hindi.

Tetapi sampai kini, sudah lebih 20 hari, pesawat MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal, masih belum ditemui. Marilah kita sama-sama berdoa semoga yang hilang ditemui dalam waktu terdekat, tidak kira apa keadaannya.

Kaunselor bakal lawat keluarga penumpang, kru MH370

MH370


PUTRAJAYA - Kaunselor dari Pasukan Intervensi Krisis Malaysia (MCIT) akan berkunjung ke rumah anggota keluarga penumpang dan kru pesawat MH370 untuk terus memberi bimbingan dan perkhidmatan kaunseling kepada mereka bagi menghadapi saat-saat sukar ini.
  
Timbalan Pengerusi Pasukan Intervensi Krisis Malaysia (MCIT) Dr Abdul Jalil Hassan berkata fasa baharu perkhidmatan kaunseling itu akan bermula dalam tempoh terdekat.

Selain itu, beliau berkata anggota keluarga juga boleh menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara agar kaunselor boleh berkunjung ke rumah mereka yang memerlukan perkhidmatan kaunseling.
  
"Sudah tidak ramai anggota keluarga penumpang dan kru pesawat MH370 yang menginap di hotel. Mereka sudah pulang ke rumah untuk menjalani kehidupan biasa.
  
"Sehubungan itu, kita memasuki fasa baharu di mana MCIT akan membuat lawatan ke rumah untuk terus memberi bimbingan dan sokongan," katanya kepada pemberita di Hotel Everly di sini hari ini.
  
Dr Abdul Jalil berkata kini hanya lima keluarga yang masih menginap di Hotel Everly.
 
Mengulas pertemuan anggota keluarga penumpang MH370 dengan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam, beliau berkata langkah itu memberi kesan langsung kepada mereka yang berkenaan.
  
"Kita gembira dengan strategi yang digunakan. Anggota keluargapun berpuas hati walaupun bukan semua soalan dijawab," katanya.
 
Beliau juga berkata kesemua anggota keluarga penumpang dari Malaysia dalam keadaan baik dan stabil walaupun pesawat MH370 hilang sejak 23 hari yang lalu.
  
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
  
Pada Isnin lepas, iaitu hari ke-17 operasi mencari, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom, penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi.  - Bernama

Subsidi: Kerajaan buat keputusan tak popular

Hasan Malek Hasan Malek


KUALA PILAH - Kerajaan telah membuat keputusan kurang popular berhubung tindakan merasionalisasi subsidi, sedangkan usaha itu bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan negara, penyediaan prasarana untuk rakyat dan kewangan kerajaan.
  
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata jika kerajaan terus memperuntukkan jumlah subsidi yang begitu besar, defisit kewangan akan meningkat.
  
"Maka adalah lebih wajar untuk kerajaan melaksanakan kaedah subsidi bersasar kepada kumpulan sasaran yang tepat seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan RM100 dan Baucer Buku 1Malaysia (BB1M).
  
"Keprihatinan yang ditunjukkan kerajaan ini membuktikan betapa kerajaan mengambil serius terhadap kebajikan 29 juta rakyat.
  
"Saranan saya ialah sebagai pengguna yang bijak, kita perlu berbelanja secara sederhana dan mengikut kemampuan serta bijak memilih barangan yang memberi nilai terbaik untuk wang yang dibelanjakan," katanya pada Seminar Menangani Peningkatan Kos Sara Hidup anjuran Persatuan Pelindung Pengguna Malaysia (PPPM) di sini, hari ini.

Hasan yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah berkata bagi memudahkan pengguna membuat rujukan, portal 1Malaysia pengguna bijak disediakan sebagai platform kepada pengguna untuk mendapatkan maklumat kepenggunaan pada bila-bila masa.
  
Ia juga menyediakan 'price watch' yang memaparkan perkembangan semasa harga lebih 100 barangan yang merangkumi premis seperti pasar raya besar, pasar raya, pasar basah dan kedai serbaneka 24 jam di seluruh negara.
  
Katanya lagi kementeriannya melaksanakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) pengguna untuk menyebarkan maklumat dan pendidikan kepenggunaan kepada masyarakat.
  
Katanya peranan NGO sebagai organisasi bebas dan berpengaruh adalah sangat penting dalam membantu menyalurkan maklumat serta penjelasan yang tepat dan cepat kepada pengguna serta mendidik pengguna agar menjadi lebih bermaklumat dan cekap membuat tindakan serta pilihan dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup.
  
"Persatuan pengguna di negara ini boleh menjadi 'kumpulan pendesak' yang berkesan terutama dalam menangani isu-isu mengambil kesempatan dan keuntungan yang tidak munasabah.
  
"Di negara maju seperti di Eropah, pengguna berkuasa menentukan permintaan dan penawaran di pasaran. NGO juga bertindak sebagai saluran untuk pengguna mengetengahkan isu-isu semasa kepenggunaan kepada kerajaan," katanya.

Sementara itu, katanya kementerian menyedari isu kenaikan harga barang dijadikan isu mainan politik dan contohnya, kenaikan harga barang dijadikan senjata untuk menyerang kerajaan dan menggugat kestabilan politik negara.
  
"Ingin saya jelaskan bahawa kerajaan tidak melaksanakan kawalan harga ke atas semua barangan kerana negara ini mengamalkan sistem ekonomi terbuka yang mana harga pasaran akan dipengaruhi oleh permintaan dan penawaran.
  
"Untuk mengatasi masalah itu, kementerian saya telah mengambil pelbagai langkah termasuk menguatkuasakan Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan dan Akta Persaingan, di samping gerakan pematuhan tanda harga, menambah baik jaringan pengedaran dan mempertingkat penglibatan pasar raya besar dan koperasi," katanya.
  
Di KOTA BELUD, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya rasionalisasi subsidi yang sedang dilaksanakan kerajaan sekarang menzalimi rakyat.
  
Sebaliknya beliau berkata langkah penstrukturan semula subsidi termasuk subsidi petrol dan diesel itu adalah untuk berlaku adil kepada semua lapisan rakyat dengan memberi subsidi itu kepada golongan sasar yang benar-benar berhak menerimanya.

Abdul Rahman berkata yang zalim ialah memberikan subsidi kepada orang yang tidak berhak menerimanya dan membenarkan ketirisan berleluasa dengan begitu banyak melalui penyeludupan.
  
"Kalau pihak pembangkang mengatakan penstrukturan semula subsidi zalim, saya ingin menekankan lebih zalim lagi mereka, kerana membenarkan ketirisan subsidi yang nilainya ratusan juta ringgit sebelum ini yang tiada sekatan," katanya kepada pemberita.
  
Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan Kota Belud Ke-21 hari ini dan turut menyerahkan bantuan elaun sara hidup bernilai RM200 kepada 556 nelayan daerah Kota Belud. 
  
Menurut Abdul Rahman hasil daripada rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan itu boleh digunakan untuk pembangunan rakyat dan negara serta memberi bantuan langsung kepada rakyat seperti pemberian BR1M.
  
Terdahulu dalam ucapannya Abdul Rahman menjelaskan pengenalan rasionalisasi subsidi tidak bermakna kerajaan mengabaikan kebajikan golongan berada untuk terus maju dalam setiap bidang diceburi kerana mereka juga adalah pembayar cukai.
  
Bagaimanapun katanya kerajaan mempunyai pendekatan lain dalam membantu golongan berkenaan termasuk menyediakan infrastruktur asas yang moden dan canggih bagi memastikan aktiviti ekonomi mereka terus maju dan berdaya saing serta menyumbang kepada pembangunan negara. - Bernama

Khalid: Mereka boleh percayakan saya

Abdul Khalid Ibrahim Abdul Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - "Mereka boleh percayakan saya," demikian menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mencabar dalam perebutan kerusi Timbalan Presiden PKR berdepan enam penjuru pesaing.

Abdul Khalid yakin dengan kualiti yang dimilikinya iaitu pendirian reformasi dengan integriti yang membezakan dirinya dengan pencabar lain.

"Kalau nak buat perubahan mesti dipercayai oleh masyarakat dalam perjuangan membawa perubahan.

"Sejak terajui Selangor pada 2008 kita sudah amalkan konsep reformasi dengan integriti dan ia terkandung dalam Manifesto PR, kecemerlangan yang dicapai menunjukkan kita sudah berjaya melaksanakan reformasi," katanya ketika sidang media selepas majlis perasmian u-Pustaka di Perpustakaan Raja Tun Uda.

Malah Abdul Khalid turut menjelaskan bahawa pertembungan enam penjuru dalam merebut jawatan Timbalan Presiden PKR itu sebagai perkara biasa.

"Ini membuktikan tiada sekatan untuk sesiapa bertanding tapi bezanya saya dengan calon lain ialah akar umbi boleh percayakan saya.

"Itu biasa dan ini bagusnya PKR beri ramai orang minat sertai jawatan dalam parti. Lagipun pengundian bakal dipilih oleh akar umbi bukannya perwakilan," katanya.

Posisi berkenaan turut direbut Tian Chua, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Azmin Ali, Datuk K. Rama Chandram dan Murali Subramaniam.

Jawatankuasa Pemilihan PKR menetapkan 25 April hingga 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian pemilihan pucuk pimpinan parti dan akan dijalankan mengikut zon secara berperingkat dalam tempoh tiga minggu.

Keputusan undian dijangka diketahui selewat-lewatnya 5 petang sebaik proses pengundian tamat manakala barisan kepimpinan baharu akan diumumkan selewat-lewatnya 13 Mei.