HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Mac 2014

Getah: Pekebun tanggung kos tak wajar

ANIS NAZRI 


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menuntut kerajaan memenuhi lima tuntutan berkaitan harga getah yang merudum muktahir ini bagi membela golongan penoreh memperoleh kehidupan yang lebih terjamin.

Selain memberi kuasa kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) mendapatkan dokumen kontrak syarikat yang menjadi rujukan harga purata getah, Pemuda PAS turut mendesak kerajaan menetapkan harga lantai yang munasabah bagi pekebun kecil getah, menetapkan harga kos atau harga kilang pada aras RM1 bagi setiap kilogram getah.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat, turut menyeru kerajaan agar mengkaji kesesuaian pekebun menanggung kos penyelidikan dan kos tanaman semula dalam keadaan harga getah yang sangat rendah serta memberi bantuan jangka pendek kepada pekebun kecil.

"Berdasarkan rujukan kami di laman web LGM, kami mendapati penentuan harga pekebun kecil mengikut harga getah SMR20. Terdapat 11 syarikat yang menawarkan harga bagi penentuan harga getah, namun LGM hanya menentukan purata harga tawaran belian getah daripada 11 syarikat tersebut yang dijadikan harga getah harian SMR20," kata beliau pada satu sidang media, di Pusat Media PAS, hari ini.

Tambah beliau, pihak LGM sebagai mewakili kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengesahkan sama ada harga tawaran yang diberikan syarikat itu mengikut harga pasaran sebenar ataupun tidak.

Beliau turut menyatakan, berdasarkan semakan harga SMR20 pada bulan Januari, Februari dan Mac 2014, terdapat hanya tiga syarikat yang menawarkan harga di atas purata berbanding lapan syarikat yang menawarkan harga di bawah purata.

"Keadaan ini menjadikan semakin rendah tawaran dan semakin banyak syarikat yang menawarkan harga rendah, maka semakin rendahlah purata harga SMR20.  Apabila harga SMR20 rendah maka pekebun-pekebun kecil akan menerima harga yang rendah," jelas beliau lagi.

Tambah Suhaizan lagi, perbezaan antara tawaran harga daripada syarikat yang paling tinggi dengan yang paling rendah juga ketara iaitu pada bulan Januari sebanyak 64 sen, Februari sebanyak 51 sen dan Mac sebanyak 44 sen bagi setiap kilo SMR 20.

Dalam pada itu, Suhaizan beranggapan pekebun kecil seumpama tempat pelupusan beban pengilang dan kerajaan apabila mereka terpaksa menangung kos proses kilang, kos penyelidikan dan kos tanaman semula.

Malah, katanya mereka juga terpaks menanggung kerugian apabila harga modal bagi satu kilogram 'cuplump' adalah RM2.80, sementara berdasarkan Memorandum Pekebun Kecil Getah Generasi Ke-2 Kampung Nyalas Melaka adalah RM3.21.

"Jika mengikut harga modal yang ditetapkan oleh LGM pun pekebun kecil sudah rugi RM0.47 bagi setiap kilogram 'cuplump'.

"Justeru, kami menuntut kerajaan untuk memenuhi lima tuntutan di atas bagi memastikan golongan ini benar-benar dapat dijamin kehidupan mereka," tegas beliau.

Tiada ulasan: