HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Mac 2014

MH370: Menteri jangan mainkan parlimen dengan jawapan andaian

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Pemuda Pemuda PAS Malaysia menggesa pihak kerajaan supaya tidak bermain dengan andaian dalam isu yang melibatkan keselamatan negara.

Timbalan Kketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi (gambar) berkata, pihaknya kecewa dengan jawapan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri dalam Parlimen 26 Mac lalu bahawa TUDM sekadar beranggapan bahawa pesawat MH370 yang berpatah balik, mendapat arahan dari menara kawalan.

"Tidak layak bagi sidang Parlimen dan rakyat diberikan jawapan berdasarkan andaian untuk isu pertahanan negara dan tragedi MH370 yang kedua-duanya mempunyai kepentingan nasional.

"Ianya menjatuhkan maruah dewan yang mulia dan mandat rakyat yang mahukan jawapan yang telus dan benar ketika soalan ditanyakan secara rasmi di dalam Parlimen," kata beliau.

Khalil mempersoal, sudah lebih 20 hari insiden ini berlaku, apakah yang terlalu sukar untuk kerajaan mendapat kepastian tentang apa yang berlaku di stesen radar tentera pada malam kehilangan MH 370 sehinggakan kerajaan masih memberi jawapan berdasarkan andaian? 

Sesungguhnya isu MH 370 ini kata beliau, terus mendedahkan sikap kerajaan yang memandang enteng institusi Parlimen dengan memberikan jawapan-jawapan yang santai.

"Sekiranya benar andaian tersebut, apakah bukan menjadi protokol keselamatan untuk pihak tentera mengesahkan dengan pihak menara kawalan penerbangan awam (DCA) bahawa terdapat penerbangan awam yang mencurigakan?

"Apakah terlalu sukar untuk kawalan perintah tentera membuat panggilan telefon ke menara kawalan DCA untuk pengesahan," soal beliau lagi.

Beliau turut menuntut pengesahan dari pihak kerajaan Malaysia serta Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat mengenai status latihan ketenteraan yang berlangsung di Trang dan Korat, Thailand, dari 2 hingga 11 Mac dan 10 hingga 21 Mac baru-baru ini.

Latihan tentera udara di Korat sebagai contohnya melibatkan 76 pesawat dan 42 sistem pertahanan darat ke udara dari AS, Thailand dan Singapura.

"Apakah latihan ketenteraan tersebut telah menyebabkan pihak tentera kita membuat terlalu banyak andaian sehinggakan fokus pengesahan, pengesanan dan pencarian MH 370 terganggu?      

"Oleh itu saya bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen PAS Pokok Sena agar panel penyiasatan di Raja ditubuhkan bagi menyiasat insiden ini.

"Aspek pertahanan negara harus menjadi sebahagian dari proses siasatan ini kelak dan tidak boleh disisihkan agar rakyat jelas dengan kronologi tragedi MH370 ini," tegas beliau.

Tiada ulasan: