HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Mac 2014

Khalid temui menteri esok, pastikan kerjasama Selangor-Putrajaya selesai isu air

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Kerjasama antara kerajaan negeri Selangor dan Putrajaya berhubung isu air di negeri akan tetap diteruskan memandangkan kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU), kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu berkata, pihaknya akan bertemu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili minggu ini bagi meneruskan rundingan menyelesaikan isu air di Selangor.

"Kami sudah tandatangan MoU, sebab itu kami perlu bekerjasama," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Shah Alam hari ini.

"Esok (Khamis) saya akan bertemu menteri untuk memuktamadkan penggunaan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006," katanya.

Jelas Khalid, pertemuan itu dibuat untuk membincangkan beberapa perkara termasuk percanggahan modus operandi di antara kerajaan negeri dan Pusat yang melibatkan tempoh masa dan beberapa perkara lain yang terkandung dalam akta tersebut.

"Kita mempunyai perbezaan modus operandi dalam perlaksanaan di mana kita perlu berbincang dan menyelesaikannya.

"Kementerian melihat kepada pengambilalihan pengurusan aset daripada empat konsesi terlibat dalam tempoh masa tertentu pelaksanaannya iaitu enam bulan atau beberapa tahun.

"Kerajaan negeri berpendapat, ia tidak perlu menunggu begitu lama dan kita akan berbincang secara profesional bagi menyelesaikan perkara ini dan mencari jalan terbaik dan cepat boleh dilakukan demi kepentingan rakyat," katanya.

Kemelut isu air dijangka dapat ditamatkan melalui MoU yang ditandangani kerajaan negeri Selangor dan pusat.

Melalui MoU berkenaan, kerajaan negeri Selangor turut memberikan kebenaran bagi projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 diteruskan.

Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi apabila pemimpin Pakatan Rakyat (PR) melihat ia sebagai tindakan tergesa-gesa.

Mengulas lanjut berkenaan situasi catuan air di Selangor, Khalid berkata, catuan akan diteruskan sehingga awal April memandangkan Jabatan Meteorologi menjangkakan hujan hanya akan turun pada waktu tersebut.

"Kita jangka hujan minggu ini, tapi Jabatan Meteorologi berkata hanya akan berlaku dalam minggu pertama bulan April.

"Kita tidak akan ubah keputusan dalam catuan air sehingga hujan turun dan peratus takungan air di empangan melebihi 65% hingga 70%," katanya.

Tiada ulasan: