HALAMAN SANTAI
Sabtu, 29 Mac 2014
Operasi mencari diteruskan walau peluang terselamat tipis, kata Hishammuddin
Keluarga penumpang dan anak kapal yang hilang bersama pesawat MH370 mahu jaminan Putrajaya agar pencarian pesawat malang itu diteruskan untuk mencari mangsa yang mungkin terselamat, kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau yang mengadakan pertemuan dengan ahli keluarga mangsa, berkata perkara itu adalah antara tiga perkara yang dibangkitkan dalam perjumpaan selama dua jam di Hotel Everly, Putrajaya, hari ini.
"Kita tidak akan menghentikan SAR (mencari dan menyelamat), bukan hanya Malaysia bahkan 26 negara yang mengambil bahagian dalam operasi ini.
"Kami berjanji walau sekecil mana peluang untuk menjumpai mereka yang terselamat, keutamaan kami adalah itu. Jika ada sebarang maklumat mengenai mereka yang terselamat, kami akan teruskan," katanya pada sidang media.
Katanya, ahli keluarga lega apabila mendengar jaminan itu.
Beliau berkata, pertemuan itu juga menyentuh hubungan antara syarikat penerbangan dan anggota keluarga.
"Mereka mahu hubungan yang lebih baik dengan MAS dan mahu mereka lebih sensitif," katanya.
Hishammuddin berkata, pada penghujung pertemuan itu, mereka mahu tahu di mana orang yang disayangi berada sekarang.
"Kami boleh memahami sensitiviti keluarga. Kami merayu kepada semua agar berdoa dan berharap keajaiban berlaku dan kita temui yang terselamat," katanya.
Mengenai siasatan pesawat yang hilang itu, Hishammuddin berkata, kerajaan bukan saja mendapat bantuan FBI tetapi CIA dan unit penyiasatan dari China dalam memproses imej secara terperinci dan usaha lain yang sedang dilakukan sekarang.
"Kami berbincang panjang lebar dengan mereka. Apabila kami selesai menghalusi data dan maklumat dan semua pihak bersetuju menyebarkan penemuan itu, kita akan buat," katanya.
Berhubung penyiasatan ke atas simulator pesawat milik Kaptan Zaharie Ahmad Shah, juruterbang MH370, Hishamuddin berkata, penyiasatan menunjukkan tiada apa yang pelik.
"Ia akan disahkan oleh ketua polis negara kemudian," katanya.
Pencarian dilakukan ke kawasan baru di Lautan Hindi hari ini bagi mendapatkan objek yang mungkin berkaitan dengan pesawat malang itu selepas beberapa penemuan yang dicerap satelit.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Australia, Tony Abbot, berkata pasukan pencari menghadapi kesukaran mendapatkan objek berkenaan kerana kedudukannya yang jauh.
"Kita tidak boleh memandang rendah betapa susahnya kerja ini, ia kawasan yang luar biasa jauhnya.
"Kami sedang cuba mencari serpihan kecil itu di lautan yang sangat luas. Sementara kita menggunakan segala yang kita ada, kerja ini masih berterusan," katanya, hari ini.
Pesawat dari pelbagai negara yang ditugaskan dalam operasi mencari itu menemui beberapa objek terapung di atas air semalam selepas fokus pencarian ditukar ke kawasan baharu berikutan data terkini yang menunjukkan pesawat itu terbang lebih laju dari yang dijangkakan sebelum hilang pada 8 Mac.
Pihak berkuasa berkata, semua objek tidak dapat disahkan datang daripada MH370 sehingga ia diambil secara fizikal dan kapal dari China dan Australia ditugaskan untuk berbuat demikian.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (Amsa) berkata, kapal China Haixun 01 sedang berusaha untuk mengenal pasti objek itu.
Ia disertai oleh kapal tentera Jinggangshan, yang membawa dua helikopter, kata Xin Hua, agensi berita rasmi China.
Amsa menjangka enam kapal akan berada di kawasan itu sehingga penghujung hari ini, termasuk kapal tentera Australia HMAS Success dan lima kapal China yang sedang mencari di kawasan laut sebesar Norway.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan