HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mac 2014

Tiga NGO akan hantar bantahan kepada Kedutaan Amerika berhubung liputan berita MH370

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Tiga pertubuhan bukan kerajaan iaitu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Pengguna Islam Antarabangsa (IMCA) dan Yayasan Media Malaysia (MMF) akan menghantar memorandum bantahan kepada kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia pada Selasa depan.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata memorandum itu bagi menzahirkan rasa tidak puas hati mereka sebagai rakyat Malaysia terhadap tiga agensi berita dari Amerika Syarikat yang dianggap memberi tanggapan buruk terhadap Malaysia berkenaan tragedi pesawat MH370.

"Tiga agensi berita iaitu Cable News Network (CNN), Fox News dan Washington Post yang pada kami tidak mengamalkan pemberitaan yang bertanggungjawab dengan laporan yang disiarkan mengikut kaca mata mereka sahaja," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama adalah Setiausaha Agung IMCA Sheikh Abd Kareem S Khadaied dan Ketua Pegawai Eksekutif MMF Dzulkarnain Taib.

Pada sidang media itu turut ditayangkan klip video analisis laporan berita sebuah agensi berita berkenaan.

Sheikh Abd Kareem menganggap ia sebagai gerakan terancang untuk memberi persepsi negatif kepada masyarakat dunia terhadap Malaysia.

Dzulkarnain pula berkata MMF sedia menawarkan latihan di negara ini bagi pengamal media mengenai etika kewartawanan.

Pesawat Boeing 777-200ER milik Malaysia Airlines itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam.

Hasil penyiasatan dan analisis data satelit, perjalanan pesawat itu disimpulkan berakhir di selatan Lautan Hindi. Operasi mencari masih diteruskan dengan kerjasama pelbagai negara. – Bernama

Tiada ulasan: