HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Mac 2014

Anwar lawan Wan Azizah gimik pemilihan PKR

Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim


PETALING JAYA - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencalonkan dirinya bertanding jawatan presiden PKR menentang isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat sebagai gimik politik pada pemilihan parti itu kali ini.

Walaupun berdepan risiko hilang kelayakan jika menang jawatan itu ekoranhukuman penjara lima tahun dihadapinya atas sabitan kes liwat, Anwar tetap menghantar borang pencalonan di ibu pejabat PKR di sini hari ini, menerusi wakilnya.

Tindakan Ketua Umum PKR itu dilihat sebagai usaha memastikan tiada calon lain akan bertanding jawatan nombor satu PKR yang disandang isterinya sejak 1998.

Ketua PKR Cabang Tanjung Karang, Selangor Mohd Yahya Saari mendakwa tindakan Anwar itu merupakan gimik pada pemilihan kali ini bagi menarik tumpuan media terhadap pertembungan suami isteri itu.

Katanya, Dr Wan Azizah masih dilihat sebagai calon terbaik bagi jawatan itu kerana suaminya berhadapan risiko hilang kelayakan jika bertanding dan menang nanti.

"Saya tidak nampak ada pertandingan akan berlaku, ini hanya gimik dalam pemilihan supaya tidak ada perpecahan berlaku," katanya.  

Sebelum ini Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dilaporkan berhasrat menentang Dr Wan Azizah, namun anak emas Anwar itu terpaksa melupakan hasrat itu kerana pasti berasa bersalah untuk menentang mentornya itu.

Desas-desus mengatakan Anwar berkemungkinan akan menarik diri daripadabertanding dan membiarkan isterinya menang, selain tidak akan mengambil risiko bertanding kerana jika menang bakal berdepan hilang kelayakan ekoran hukuman penjara dihadapinya.

Mengikut Seksyen 9A (1)(b) Akta Pertubuhan 1966, seseorang tidak boleh menjadi atau kekal memegang jawatan dalam pertubuhan yang berdaftar jika disabitkan dengan apa-apa kesalahan dan didenda tidak kurang daripada RM2,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun.

Azmin yang akhirnya memutuskan mempertahankan jawatan timbalan presidenterpaksa berdepan cabaran sukar pada pemilihan kali ini apabila ditentang lima calon termasuk Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut menghantar borang pencalonan bagi merebut jawatan nombor dua itu  ialah Chua Tian Chang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk K.Ramachandram dan Murali Subramaniam

Jawatankuasa Pemilihan PKR menetapkan 25 April hingga 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian pemilihan pucuk pimpinan parti dan akan dijalankan mengikut zon secara berperingkat dalam tempoh tiga minggu.

Keputusan undian dijangka diketahui selewat-lewatnya 5 petang sebaik prosespengundian tamat manakala barisan kepimpinan baharu akan diumumkan selewat-lewatnya 13 Mei. - Bernama

Tiada ulasan: